Oleh NURUL FADILA AWALUDIN
Foto HALIM KHALID
Dalam misi berjalan kaki dari Shah Alam ke UIAM, Gombak,
Rosyam turut diiringi beberapa wakil Yayasan Warisan Ummah Iklas serta pasukan
keselamatan.
PERJALANAN beribu batu bermula dengan langkah pertama.
Begitulah gambaran semangat penerbit dan pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor
yang memulakan misi Walk World Quran Hour (WWQH) dengan berjalan kaki sejauh
47.2 kilometer (km) bermula dari Masjid Media Karangkraf, Shah Alam hingga
Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Gombak.
Mengaplikasikan konsep sama seperti program Earth Hour,
umat Islam di seluruh dunia digalakkan memperuntukkan masa sekitar satu jam
untuk membaca al-Quran, sekali gus dijadikan amalan dalam kehidupan seharian.
Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas selain idea
cetusan Rosyam sendiri tersebut sebagai langkah menggalakkan umat Islam membaca
kitab suci al-Quran.
Program WWQH itu juga merupakan sebagai salah satu rangka
usaha sebelum menjelang hari kemuncak World Quran Hour yang akan diadakan di
Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM, Gombak pada Ahad ini (esok).
Biarpun kedengaran satu usaha yang agak sukar untuk
direalisasikan aktor tersebut, sementelah Rosyam kini mencecah usia 49 tahun,
ternyata tahap stamina dan kesihatannya cukup mengizinkan niat murni tersebut dijayakan.
Disifatkan sebagai satu sumbangan kepada masyarakat,
pelakon filem KL Gangster 2 itu tidak hanya ingin memupuk kesedaran penghayatan
ilmu agama Islam khususnya bacaan al-Quran dalam masyarakat, bahkan WWQH
diharapkan menjadi acara tahunan.
“Bersempena Hari Arafah atau juga dikenali Hari Wukuf
yang jatuh pada 11 September (esok), ia menjadi permulaan pertama yang baik
buat World Quran Hour.
“Diharapkan kempen itu tidak hanya berlaku pada tahun
ini, sebaliknya diteruskan pada masa akan datang, sekali gus dijadikan sebagai
acara tahunan,” jelas Rosyam optimis.
Berkongsi pengalaman menjayakan misi berjalan kaki
bermula dari pukul 6 pagi dan berakhir sekitar 4.15 petang, Rosyam nyata tidak
dapat menahan emosi apabila menitiskan air mata sewaktu tiba di garisan
penamat.
Diiringi dengan selawat nabi, detik tersebut menjadi
momen bermakna buat Rosyam termasuk semua kakitangan Yayasan Warisan Ummah
Ikhlas selepas mengharungi lebih 10 jam perjalanan.
Berdepan dengan cabaran cuaca yang tidak menentu, menguatkan
lagi semangat beliau untuk meneruskan langkah sehingga ke garisan penamat.
Hampir mengangkat bendera putih setelah berjalan sekitar
25 km, Rosyam bagaimanapun berasa ‘diselamatkan’ oleh hujan. Beliau terpaksa
menaiki kenderaan kerana bimbang situasi tersebut akan menjejaskan
keselamatannya.
“Ketika itu saya berasa seperti ingin mengalah, namun
berkat kuasa Tuhan, hujan turun dengan lebat. Atas saranan pihak polis trafik,
saya terpaksa menaiki kereta sejauh beberapa kilometer,” ujarnya.
Selain itu, menjelang World Quran Hour yang julung
kalinya berlangsung esok, Rosyam muncul di kaca televisyen membaca surah Al
Khafi, ayat 46 hingga 48. Bacaan selama dua minit tersebut akan disiarkan
secara langsung menerusi TV3, esok.
Ia merupakan sesuatu yang tidak pernah terbayang di
fikirannya selama ini.
Cabaran
Bagi Ketua Projek World Quran Hour, Izahar Atan, tempoh
dua hari yang diberikan menjadi cabaran utama saat ingin menjayakan program
tersebut.
Pertama kali dilakukan pada tahun ini selepas pertubuhan
yang sama selepas kejayaan program Rumah Ngaji pada Ramadan lalu.
Sehubungan dengan itu, Izhar mengharapkan kejayaan sama
hasil kerjasama daripada UIAM dan media untuk memahatkan World Quran Hour
setaraf dengan kempen amal antarabangsa yang lain.
“Sekiranya mereka berjaya menjadikan program-program yang
dijalankan sebagai aktiviti wajib, mengapa tidak kita sebagai umat Islam
memandang serius tentang bacaan al-Quran,” kata Izahar.
Untuk tahun-tahun akan datang, penyertaan lebih ramai
golongan selebriti popular tanah air dan masyarakat amat diharapkan bagi
menjadikan World Quran Hour sebagai ibadat, bahkan mengajak umat Islam kembali
mengingati fitrah kehidupan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0910&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm#ixzz4JqkvxU8S
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan