Khamis, 15 September 2016

PM bangga kejayaan pasukan badminton

ARKIB : 15/09/1998
KUALA LUMPUR 14 Sept. - Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad melahirkan rasa bangga di atas kejayaan pasukan lelaki dan wanita badminton negara yang masing-masing mengutip pingat emas dan perak dalam acara berpasukan di Stadium Badminton, Cheras, malam ini.

Kemenangan itu, kata Dr. Mahathir, adalah cukup bermakna, terutama pasukan badminton wanita negara yang pertama kali mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.

''Malaysia mendapat kemenangan yang baik, emas untuk pasukan lelaki dan perak untuk pasukan wanita dan ini adalah kali pertama pasukan badminton wanita mencapai kejayaan yang bagus sekali.

''Dan mereka (pasukan wanita) semuanya berumur bawah 19 tahun, bermakna mereka mempunyai masa depan yang amat cerah. Saya harap mereka akan pergi ke pertandingan peringkat dunia,'' katanya.

Dr. Mahathir sempat menyaksikan perlawanan beregu Cheah Soon Kit dan Yap Kim Her yang menewaskan pasangan England, Simon Archer dan Christopher Hunt, 15-8, 15-5.

Perdana Menteri yang diiringi isterinya, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali telah berada di Stadium Badminton, Cheras sejak awal perlawanan untuk memberi sokongan kepada pasukan negara.

''Inilah kali kedua pasukan lelaki mendapat prestij tinggi dan jika mereka teruskan persembahan baik mereka di masa akan datang, akan lebih banyak kejayaan dapat dikecap,'' katanya.

Dr. Siti Hasmah yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia, yakin pemain negara akan meraih dua lagi pingat emas dalam acara perseorangan lelaki dan beregu lelaki dan mengharapkan semua rakyat Malaysia sama-sama memberi sokongan kepada pasukan badminton negara.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0915&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4KKsBETVb © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan