Rabu, 14 September 2016

UKM IPT pertama terima ISO 9000

ARKIB : 21/08/1998
Pensijilan ISO 9000 yang merupakan satu bentuk piawaian antarabangsa mengiktiraf ketinggian pengurusan dan kualiti menyeluruh UKM dalam mengendalikan sektor pendidikan di negara ini.

Menurut Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Anuwar Ali, ke arah itu, UKM kini giat meningkatkan mutu perkhidmatan yang ditawarkan, terutamanya yang berkaitan dengan pelajar, penyelidikan dan khidmat masyarakat secara menyeluruh.

''Sebagai contoh, UKM telah memulakan dan kini melaksanakan dengan giat proses penilaian kendiri menerusi amalan audit akademik, iaitu meneliti kecekapan UKM dalam menjalankan program akademik, penyelidikan dan khidmat masyarakat,'' katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Kualiti UKM, di Bangi, semalam.

Sebelum ini, pensijilan ISO 9000 yang dianugerahkan kepada IPT hanyalah terhad kepada jabatan-jabatan dan subbidang tertentu dan bukan kepada IPT secara keseluruhan.

Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Indera dan Sekolah Menengah Derma di Perlis merupakan institusi pendidikan peringkat sekolah pertama di negara ini yang mendapat pengiktirafan antarabangsa ISO 9000 di negara ini.

Dr. Anuwar menambah, dasar kualiti yang sedia ada ialah untuk menjadikan UKM sebagai Pusat Ilmu Terpilih.

Di samping itu, katanya, ke arah penganugerahan ISO 9000 itu UKM juga telah bertindak secara proaktif dalam menangani isu akauntibiliti IPT dengan meletakkan Unit Pengurusan Kualiti UKM di bawah Pusat Pembangunan Akademik.

''Kesanggupan untuk menilai prestasi sendiri sudah tentu akan membolehkan kita mengetahui prestasi serta kekangan yang dihadapi dan seterusnya merancang strategi yang lebih berkesan untuk menjadikan UKM sebagai IPT terkemuka di rantau ini,'' jelasnya.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Pro Canselor UKM, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Ismail menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 292 kakitangan UKM.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4KHN8xX3f © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan