ARKIB : 12/09/1998
KONTINJEN Malaysia dengan atlet
lelaki berpakaian baju Melayu serta bersongkok sementara atlet wanita berbaju
kebaya melangkah bergaya sewaktu upacara perbarisan pada upacara perasmian
Sukan Komanwel XVI di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.
KUALA LUMPUR 11 Sept. - Sukan
Komanwel XVI (KL '98) dibuka rasmi dalam upacara gilang-gemilang dan bersejarah
oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Ja'afar di hadapan kira-kira 100,000
penonton di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Tembakan meriam 16 das
dilepaskan bagi menandakan pembukaan rasmi temasya sukan kedua terbesar dunia
yang akan berlangsung hingga 21 September ini.
Upacara penuh warna-warni itu
disiarkan secara langsung ke seluruh dunia dan disifatkan terbaik dalam sejarah
penganjuran sukan tersebut. Temasya itu juga mencipta sejarah baru dengan
penyertaan kontinjen terbanyak.
Malaysia yang muncul sebagai
negara Asia pertama menjadi tuan rumah temasya itu turut membuktikan
keupayaannnya untuk menjadi tuan rumah walaupun masih menghadapi kegawatan
ekonomi.
Upacara malam ini turut
mengetengahkan keunikan seni budaya berbilang kaum negara ini yang
dipersembahkan dalam formasi sungguh menarik.
KL'98 juga disifatkan temasya
bersejarah sejak dimulakan pada 1930 dengan nama asal Sukan Empayar Britain dan
kemudiannya ditukar kepada Sukan Komanwel pada 1978.
Dalam tempoh 68 tahun sejak ia
diperkenalkan, penyertaan terbanyak 70 negara dengan lebih 6,000 atlet mencatat
rekod baru buat temasya ini selepas kali terakhir di Victoria, Kanada pada
1994.
KL '98 mempertandingkan 15
acara sukan iaitu olahraga, akuatik, badminton, tinju, lumba basikal,
gimnastik, boling padang, menembak, skuasy, angkat berat, tenpin boling, serta
acara berpasukan yang pertama kali diperkenalkan, kriket, hoki lelaki dan
wanita, bolajaring dan ragbi.
Upacara gilang-gemilang di
stadium tercanggih itu, turut disaksikan oleh Sultan Brunei, Perdana Menteri,
Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, Presiden Persekutuan Sukan Komanwel (CGF),
Putera Edward, Pengerusi CGF, Michael Fennel, Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri
Muhyiddin Yassin serta tetamu-tetamu kehormat.
Acara dimulakan dengan
perbarisan kawalan kehormatan, diikuti perbarisan masuk kontinjen negara-negara
peserta yang didahului Kanada selaku tuan rumah temasya sebelum ini.
Pertunjukan kebudayaan
bertemakan Selamat Datang Anda dan Semuanya menyusul, diikuti persembahan
tarian oleh 2,000 penari dengan gabungan formasi flora dan fauna sebagai
mencerminkan kekayaan dan keindahan bumi Malaysia.
Putera Ratu Elizabeth II,
Putera Edward turut membacakan perutusan bondanya pada upacara itu. Perutusan
itu dibawa keluar dari Baton Ratu yang telah dibawa merentasi negara-negara
Komanwel di enam benua dan diarak ke seluruh negeri di Malaysia, sebelum dibawa
masuk ke Stadium Nasional untuk majlis perasmian itu.
Selain itu, persembahan grafik
manusia oleh 4,840 anggota Soka Gakkai Malaysia (SGM) yang menggunakan 16
keping kad warna untuk membentuk 287 grafik bermacam corak dan perkataan,
berjaya memikat perhatian penonton.
Persembahan artis-artis
tempatan bersama dendangan lagu utama Standing In The Eyes of The World hasil
gubahan komposer terkenal, David Gates turut memeriahkan upacara itu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4KKO9OXf7
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan