Rabu, 21 Januari 2015

Semua kementerian akan dilengkapi kemudahan IT

ARKIB : 01/05/1998

Semua kementerian akan dilengkapi kemudahan IT
ABDUL Halim Ali menunjukkan buku bertajuk 'Perkhidmatan Awam Malaysia-Membudayakan Teknologi Malaysia' pada majlis pelancaran buku itu di INTAN di Bukit Kiara, semalam.

KUALA LUMPUR 30 April - Semua kementerian dan jabatan kerajaan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan Teknologi Maklumat (IT) tidak lama lagi, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Abdul Halim Ali hari ini.

Beliau berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk menjadikan negara sebagai kerajaan elektronik yang serba canggih.

''Sebagai permulaan Jabatan Perdana Menteri akan menjadi peneraju dan seterusnya menjadi 'pengarah' kepada jabatan atau kementerian lain bagi memudahkan penyeragaman pelaksanaan.

''Sebelum itu, latihan menyeluruh teknologi IT akan diberikan kepada semua pegawai kerajaan dan surat pemberitahuan mengenainya telahpun diedarkan termasuk bagi membentuk satu Jawatankuasa Khas IT dan Internet Kerajaan (JITIK) di semua jabatan dan kementerian,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melancarkan Buku Perkhidmatan Awam Malaysia bertajuk 'Perkhidmatan Awam Malaysia-Membudayakan Teknologi Maklumat' di sini.

Halim berkata, bagi memastikan rancangan itu berjalan lancar, peruntukkan sebanyak RM150 juta telah dikeluarkan pada tahun ini.

Beliau menyeru agar semua ketua jabatan memberikan perhatian sepenuhnya terhadap rancangan berkenaan untuk memastikan kakitangan mereka memperolehi pengetahuan sewajarnya.

Tambahnya, beberapa syarikat IT dalam dan luar negara beserta Perbadanan Pembangunan Multimedia (MSC) telah memberikan komitmen mereka untuk membantu kerajaan mencapai tujuan tersebut.

''Mereka berjanji akan berkongsi kepakaran dengan pegawai-pegawai kerajaan serta syarikat swasta tempatan terutama memendekkan masa perkhidmatan di semua jabatan kerajaan,'' katanya.

Sementara itu beliau berkata kerajaan sedang memikirkan cara untuk mengatasi masalah berhubung kewujudan unsur negatif seperti pornografi dalam Internet.

Beliau berkata, adalah penting difikirkan langkah-langkah yang dapat menyekat anak-anak daripada mengakses bahan-bahan seperti itu.


Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_02.htm#ixzz3PS6bytdw © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 17 Januari 2015

PERASMIAN MENARA BERKEMBAR BANK RAKYAT

Berita Harian Online

14hb Januari ·
 
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hassan Malek (dua dari kiri), melihat potret bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak yang dilukis oleh Muslim Matajim (dua dari kanan), pada Majlis Perasmian Menara Kembar Bank Rakyat, di Kuala Lumpur. - Foto Sairien Nafis
SUMBER- Berita Harian Online 14hb Januari 2015

Khamis, 1 Januari 2015

Peranan Piagam Madinah



Piagam Madinah merupakan Perjanjian bertulis atau perlembagaan pertama di dunia. Piagam ini merupakan satu undang-undang tertinggi di Madinah selain al-Quran. Piagam Madinah memainkan peranan yang besar dalam menggariskan dasar-dasar umum pemerintahan negara dan pentadbiran masyarakat yang menjadi asas pemerintahan Nabi Muhammad SAW dan umat baginda selepas itu.[1]

Kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai Pemerintah tertinggi dan Unggul
Baginda merupakan seorang negarawan yang unggul dan berperanan sebagai pemimpin bagi kerajaan Madinah yang memiliki masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama.Masyarakat Madinah menerima baginda sebagai ketua negara Madinah.

       Baginda memberi tumpuan terhadap aspek akidah dan juga aspek duniawi dalam pemerintahannya. Piagam Madinah meletakkan baginda sebagai ketua kerajaan dan hakim yang tinggi dan unggul. Sebagai ketua hakim, baginda menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat Madinah seperti perselisihan kaum berdasarkan hukum Allah SWT dan keputusan baginda. Masalah ini juga diselesaikan dengan adil dan bermusyawarah.Baginda juga mewujudkan institusi kehakiman dan keadilan untuk menyelesaikan masalah yang timbul.[2]
Mewujudkan Rasa Tanggungjawab Mempertahankan Madinah
Semangat Piagam Madinah telah mendorong masyarakat Madinah yang terdiri daripada umat Islam dan bukan Islam bersama-sama mempertahankan kerajaan Madinah daripada serangan musuh.Masyarakat Madinah dilarang menjalinkan hubungan dengan musuh-musuh Islam yang menentang kerajaan Islam Madinah.
       Untuk mengukuhkan perpaduan dan mengelakkan sebarang permusuhan antara masyarakat Madinah, semangat cintakan negara dipupuk. Oleh itu, semangat ini dapat mengelakkan musuh Islam mengambil kesempatan menawan Madinah.

       Kaum Yahudi dianggap sebagai warganegara Madinah seperti masyarakat Islam selagi mereka melaksanakan tanggungjawab mereka menurut Piagam Madinah.

Mewujudkan Perpaduan Umat lslam
Masyarakat Islam Madinah terdiri dua kumpulan, iaitu golongan Ansar dan Muhajirin.Penekanan berkaitan dengan kerjasama dan bersatu padu antara masyarakat ini terdapat dalam Piagam Madinah.

       Selain daripada masyarakat Islam, piagam ini juga merangkumi  kedudukan kaum-kaum lain yang terdapat di Madinah seperti kaum Yahudi, Aus, Khazraj, Quraisy, Parsi dan Habsyi.Tuntutan terhadap hidup bersatu padu dan persaudaraan Islam dalam masyarakat Madinah dilaksanakan dengan mendidik masyarakat menjadi anggota masyarakat atau ummah yang kuat tanpa mengira kaum, keturunan dan tempat tinggal.Hai ini dapat mengelakkan perpecahan antara masyarakat Madinah.Jika berlaku perpecahan ini, musuh Islam boleh mengambil kesempatan untuk menawan Madinah

       Persaudaraan Islam dapat mewujudkan masyarakat Islam yang tulen berlandaskan akidah dan keimanan kepada Allah swt.Persaudaraan inilah yang akan mewujudkan kerjasama antara masyarakat serta cintakan kedamaian dalam kehidupan.

Penekanan terhadap musyawarah dalam pemerintahan.
Piagam Madinah mengamalkan prinsip musyawarah yang berlandaskan keadilan dalam pemerintahan. Semua kaum diberikan hak menyuarakan masalah kaum masing-masing.Penduduk Madinah juga diberi hak menyuarakan pandangan terhadap pemimpin. Hal ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara rakyat dengan Pemerintah.

Mewujudkan Keadilan dan Persamaan Terhadap Masyarakat Madinah.
Untuk mengelakkan jurang perbezaan dan penindasan berlaku dalam masyarakat Madinah, Piagam Madinah telah menetapkan persamaan antara semua penduduk tanpa mengira keturunan,bangsa dan kedudukan seperti antara pemerintah dengan yang diperintah.Kekayaan dibahagikan sama rata antara masyarakat untuk mengelakkan penindasan golongan kaya ke atas golongan miskin.

       Setiap masyarakat juga bertanggungjawab untuk melaksanakan keadilan berlandaskan ajaran Islam agar mereka sentiasa hidup dalam keadaan aman dan sejahtera. Keadilan yang dilaksanakan berdasarkan syariat Islam ini memberi hak dan kebaikan kepada mereka. Hal ini juga dapat menghalang sebarang keburukan berlaku ke atas masyarakat tersebut.

       Piagam Madinah telah menetapkan masyarakat Madinah tidak boleh bersikap zalim seperti menindas golongan yang lemah. Mereka perlu memiliki sikap tolong-menolong antara satu sama lain.

Kedudukan Kaum Yahudi
Masyarakat Yahudi diberi kebebasan untuk mengamalkan agama adat dan budaya mereka. Namun demikian, mereka tidak boleh memaksa penduduk Madinah untuk menganut agama mereka.Masyarakat Yahudi juga dilarang menindas kaum atau golongan yang lemah.

       Keselamatan kaum Yahudi dijamin melalui Piagam Madinah selagi mereka mematuhi piagam tersebut.

Kebebasan beragama
Piagam Madinah memberi kebebasan beragama terhadap kaum Yahudi dan penganut agama lain. Kebebasan ini diberikan kerana:
(a) Islam menghormati kebebasan beragama, iaitu tiada paksaan dalam kepercayaan setiap individu
(b) Menghindarkan permusuhan antara masyarakat
(c) Mengelakkan kaum Yahudi daripada menyebarkan agama mereka di Madinah

Pembinaan sebuah kerajaan Islam yang kuat
Untuk membentuk sebuah kerajaan Islam yang kuat, masyarakat Madinah bebas membincangkan hal politik dan pentadbiran.

       Piagam Madinah memberi kesedaran kepada masyarakat Madinah bahawa mereka merupakan masyarakat yang utuh dan bersatu padu. Piagam ini juga menyatakan bahawa kerajaan Madinah adalah hak milik mereka bersama.

       Oleh itu, masyarakat Madinah bertanggungjawab mempertahankan kerajaan ini daripada ancaman musuh.Hak dan tanggungjawab penduduk Madinah diakui dalam Piagam Madinah tanpa mengira agama mereka. Penduduk Madinah yang beragama Islam dan bukan Islam mempunyai hak yang sama untuk memperoleh perlindungan, keselamatan dan keadilan.

Kebebasan Masyarakat Madinah
1 Penindasan ke atas golongan yang lemah seperti yang biasa dilakukan oleh kaum Yahudi adalah dilarang kerana Piagam Madinah menjamin kebebasan hak asasi yang sama rata untuk
setiap penduduk.
2 Hal ini dapat menjamin keharmonian hidup masyarakat Madinah.
3 Kebebasan hak asasi ini meliputi kebebasan beragama, beramal,bekerja, bersuara dan sebagainya selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam kerana kebebasan yang tiada batas akan mewujudkan kezaliman yang boleh memecah-belahkan perpaduan ummah sesebuah kerajaan.

Menyatupadukan penduduk Madinah.
1 Masyarakat Madinah khususnya umat Islam dapat disatukan menerusi Piagam Madinah.
2 Piagam ini juga menitikberatkan hubungan baik antara masyarakat Islam dengan masyarakat bukan Islam seperti saling hormat-menghormati, tolong-menolong dan sebagainya.
Melalui Piagam Madinah ini dapat dirumuskan bahawa masyarakat Madinah yang dahulunya mengamalkan tradisi jahiliah seperti mementingkan diri sendiri dan kaum masing-masing telah berubah dengan menerapkan nilai-nilai persaudaraan Islam.[3]


[1] Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad Wan Sulong, Teks Pra-U STPM Sejarah Islam,(Petaling Jaya : Sasbadi, 2014),40. 
[2] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,33.
[3] Ibid,35

1.3.1 Piagam Madinah

Kandungan Piagam Madinah

Penduduk Madinah terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang berbeza dari segi agama dan budaya seperti orang Islam,Yahudi dan Musyrikin. Mereka sememangnya memerlukan sebuah undang-undang bagi menjamin kesejahteraan dan keamanan hidup.
       Nabi Muhammad SAW telah membentuk Piagam Madinah untuk menjadi pedoman sebuah negara berdaulat setelah berjaya mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar. Undang-undang ini dipanggil Sahifah Madinah atau Piagam Madinah yang digubal pada tahun pertama dan kedua Hijrah. Undang-undang ini melibatkan perjanjian antara penduduk Madinah, iaitu antara orang Islam sesama Islam (Muhajirin dan Ansar) dan antara orang Islam dengan kaum Yahudi.[1]
       Piagam ini digubal berdasarkan wahyu dan norma-norma masyarakat pada waktu itu yang terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam yang kebanyakannya terdiri dari kaum Yahudi.[2] Kaum Yahudi pada mulanya memberikan sambutan yang baik.Baginda telah berusaha untuk mendapatkan sokongan mereka.Baginda telah membentuk undang-undang yang dikenali sebagai sahdah setelah kedua-dua pihak saling mempercayai.
       Piagam yang dirangka oleh Nabi Muhammad SAW merupakan piagam pertama di dunia yang mantap dari aspek isi kandungannya kerana mampu memenuhi tujuan dan objektif berhubung kewajipan dan tanggungiawab pemerintah rakyat serta keperluan-keperluan lain.
Piagam Madinah terdiri daipada 47 fasal . Secara umumnya piagam ini terbahagi kepada lima bahagian umum: ,
(a) Fasal I merupakan pengenalan kepada piagam ini dan mengakui tentang keesaan Allah SWT dan kerasulan Nabi Muhammad SAW.
(b) Fasal 2 hingga 11 menerangkan kedudukan kaum-kaum dalam negara Islam Madinah.
(c) Fasal l2,hingga 23 menerangkan kewajipan umat Islam dari segi tanggungiawab sesama sendiri dan perkara-perkara yang patut dilakukan dan yang patut ditinggalkan.
(d) Fasal 24hingga 38 merupakan fasal yang menyebut kedudukan kaum Yahudi dalam negara Islam Madinah.
(e) Fasal 39 hingga 47 pula menerangkan kedudukan Yathrib (Madinah) sebagai sebuah kota yang suci dan harus dipertahankan oleh penduduknya dalam segala peperangan.
       Sahifah ini juga memberi garis panduan tentang prinsip umum tentang dasar pentadbiran masyarakat dan negara Islam yang penduduknya terdiri daripada berbilang kaum.
(a) Wahyu Allah SWT merupakan sumber utama undang-undang negara.
(b) Masyarakat di Madinah dianggap sebagai sebuah ummah yang bertanggungjawab ke atas negara mereka.
(c) Nabi Muhammad SAW ialah pemimpin masyarakat.
(d) Semua anggota masyarakat bebas menganut sebarang agama.
(e) Setiap anggota sahifah mesti menjalinkan hubungan yang erat.
(f) Fungsi sahifah adalah untuk menegakkan keadilan.
(g) Memberi jaminan keselamatan kepada orang bukan Islam
Piagam Madinah, secara khususnya terbahagi kepada dua bahagian, iaitu:
a.Bahagian pertama mengandungi 23 fasal menyentuh tentang hubungan umat Islam dengan kaum Yahudi dan tanggungiawab sesama sendiri. Bahagian ini ditulis pada tahun pertama dan kedua Hijrah, iaitu sebelum Perang Badar. Isi kandungannya adalah seperti yang berikut:
Fasal 1: Piagam ini adalah daripada Nabi Muhammad  SAW, antara orang Islam dengan
              penduduk Madinah yang lain, iaitu kaumYahudi dan penyokong-penyokong mereka.
Fasal 2: Bahawa mereka (penduduk  Madinah samada orarg islam atau bukan Islam) adalah
           satu ummah.
Fasal 3: Golongan Muhajiirin bertanggjawab membayar dan menerima wang daripada
            mereka yang ditawan seeara makruf dan adil terhadap orang yang beriman.
Fasal 4; Bani Auf kekal dengan keadaan lama mereka dan sama-sama bertanggugjawab 
           membayar dan menerima wang tebusan seperti dahulu dau menebus daripada mereka
          yang ditawan dengan cara makruf dan adil sesama yang beriman.
Fasal 5: Banu Harith Ibnu Khazraj tetaplah  dengan keadaan lama mereka  sama-sama
            bertanggungjawab menerima dan membayar wang tebusan seperti dahulu dan
            menebus daripada mereka yang ditawan dengan cara makruf dan adil sesama
           yang beriman.[3]
b)Bahagian kedua mengandungi 24 Fasal yang membabitkan kaum Yahudi dan tanggungjawab mereka terhadap negara Islam Madinah. Bahagian ini ditulis selepas Perang Badar.Kandungan umum Piagam Madinah meliputi perkara-perkara
yang berikut:
(a) Perjanjian yang berkaitan dengan golongan Muslimin.
(b) Perjanjian yang berkaitan dengan golongan Yahudi.
(c) Perjanjian yang berkaitan dengan golongan Musyrikin
(d) Perjanjian yang melibatkan semua pihak, berkaitan dengan peraturan-peraturan umum.
Umumnya, Piagam Madinah ini menentukan kedudukan Nabi Muhammad SAW dan penduduk Madinah yang terdiri daripadamasyarakat majmuk . Piagam ini menyusun sebuah negara kota serta menggariskan hak-hak, tanggungjawab dan peraturan antara mereka berdasarkan prinsip-prinsip Islam.
       Piagam ini telah membolehkan Nabi Muhammad SAW membina negara Islam yang aman dan damai. Piagam ini penting untuk membentuk negara yang berdaulat, malah piagam ini dianggap undang-undang bertulis yang pertama di dunia dan berjaya membuktikan keunggulan Nabi Muhammad SAW.[4]


[1] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,28.
[2] Mahayudin Hj.Yahya, Tamadun Islam, (Shah Alam: Fajar Bakti,1998), 100.
[3] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,28
[4] Ibid,32.