Ahad, 25 September 2016

Bukan 
di Kelantan, tetapi 
di Perak



MOHAMAD ATHIR ISMAIL  |  24 September 2016 12:18 AM
 
DERETAN kedai lama di Jalan Panggung, Kota Bharu.

APABILA menyebut sahaja Kota Bharu, pasti kita akan membayangkan bandar berstatus ibu negeri terletak di Kelantan. Tidak ramai yang tahu, negeri Perak juga mempunyai tempat bernama Kota Bharu. Terletak dalam daerah Kampar, pekan kecil Kota Bharu mempunyai sebuah stesen kereta api kecil, balai polis, klinik komuniti serta beberapa deretan rumah kedai.

Jaraknya dengan pekan yang lebih dikenali ramai, Gopeng adalah kira-kira tujuh kilometer, manakala perjalanan memandu dari bandar raya Ipoh memakan masa sekitar 40 minit. Tiada yang menarik di Kota Bharu, tetapi pekan kecil itu kaya dengan khazanah sejarah. Selain kisah penjajahan British, Kota Bharu turut memiliki sejarah berkaitan kerabat diraja Perak.

Antara kisah penting di Kota Bharu ialah landasan kereta api yang dibina menghubungkan Kuala Teja dengan pekan kecil Kota Bharu, serangan komunis, perlombongan bijih timah dan kisah Almarhum Teja serta Tengku Syed Jaafar.

Secara ringkasnya, pembukaan kawasan di Kota Bharu ada kena mengena dengan aktiviti perlombongan bijih timah. Jika anda ke sana, pasti akan ternampak banyak bekas lombong yang kini menjadi tasik dan kolam air, sekali gus membentuk pemandangan yang cantik.

Bercerita tentang sejarah Kota Bharu, seorang bekas ketua kampung, Abdullah Mohd. Sham, 70, memberitahu, kawasan itu menjadi sebuah pekan kecil sekitar kurun ke-19 atau mungkin lebih awal sedikit.

Menurutnya, Kota Bharu merupakan antara kawasan yang menjadi persinggahan Sultan Perak dalam program menziarahi makam-makam diraja dalam istiadat pertabalan.

“Di Kota Bharu, terdapat makam diraja yang dipanggil Almarhum Teja. Baginda merupakan Bendahara Raja Alang Sikandar yang bersemayam di Kuala Keboi, Kampar.

“Baginda bertugas mengutip hasil seperti cukai atas segala barang yang keluar masuk di Kota Bharu, umumnya Kuala Sungai Kinta. Di Kota Bharu ketika itu, terkenal dengan aktiviti perlombongan bijih timah.

“Tidak lama selepas dilantik menjadi Bendahara oleh Sultan Perak ke-22, Sultan Abdullah Muhammad Shah I, baginda telah mangkat dan dimakamkan di Kuala Teja, Kota Bharu dan digelar sebagai ‘Almarhum Teja’,” katanya ketika ditemui S2 di Kota Bharu baru-baru ini.

Tambah beliau, ketika Raja Alang Iskandar dilantik sebagai Bendahara, nama baginda sudahpun berada dalam sistem giliran untuk dinobatkan sebagai Sultan Perak. Namun baginda mangkat sebelum menaiki takhta. Baginda merupakan ayahanda kepada Sultan Idris Murshidul Adzam Shah iaitu Sultan Perak ke-28.

Makam baginda terletak tidak jauh dari makam Orang Kaya Besar Seri Maharaja Diraja iaitu Tengku Syed Jaafar, tidak jauh dari pekan Kota Bharu.

Menurut Abdullah, Tengku Syed Jaafar merupakan pembesar Perak yang menjaga hal ehwal agama Islam. Terdapat sebuah kisah menarik berkaitan dengan makam beliau suatu ketika dahulu.

“Makam Tengku Syed Jaafar terletak berhampiran dengan sebatang sungai yang bersambung dengan Sungai Kinta. Dahulu, terdapat sebuah masjid yang digunakan segenap masyarakat, termasuk mereka yang datang jauh dari Kampar,” ujarnya.

Katanya, setiap kali menjelang hari Jumaat, jemaah dari kampung yang terletak jauh dari masjid itu akan tiba sehari lebih awal. Mereka menaiki rakit melalui Sungai Kinta dan tiba lebih awal iaitu pada Khamis untuk menunaikan solat Jumaat, keesokan harinya.

“Di masjid berkenaan, terdapat sebuah tempayan yang digunakan jemaah untuk membasuh kaki. Hairannya, orang dahulu cerita, air di dalam tempayan itu tidak pernah habis sehinggakan ada orang mengambilnya untuk dijadikan penawar,” ujarnya.

Beliau menambah, disebabkan kisah air perigi tidak pernah surut itu, orang kampung menaruh bermacam-macam kepercayaan. Kini, masjid tersebut sudah tiada lagi dan hanya tinggal tapak sahaja.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/bukan-8232-di-kelantan-tetapi-8232-di-perak-1.386465#sthash.wL2G6lSk.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan