Najib sempurnakan
pecah tanah MRT Laluan SSP
KAMIL MASLIH | 16
September 2016 12:46 AM
PUTRAJAYA 15
Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyempurnakan majlis pecah tanah
bagi projek laluan kedua Mass Rapid Transit (MRT) iaitu MRT Laluan Sungai
Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP) sepanjang 52.2 kilometer dan meliputi 37
buah stesen.
Majlis itu
berlangsung lima tahun selepas pelancaran laluan pertama, MRT Laluan Sungai
Buloh-Kajang (Laluan SBK) kini hampir siap sepenuhnya dan bakal beroperasi.
MRT Laluan SSP
yang sebelum ini dikenali sebagai MRT2 dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2022
dan akan menghubungkan Sungai Buloh dan Putrajaya melalui Kepong, Batu, Jalan
Sultan Azlan Shah, Titiwangsa, KLCC, Tun Razak Exchange (TRX), Bandar
Malaysia, Sungai Besi, Serdang, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Cyberjaya.
Projek bernilai
RM32 bilion melibatkan 11 stesen bawah tanah itu dijangka menampung 530,000
orang penumpang harian apabila siap kelak dan memudahkan perjalanan
menghubungkan pusat bandar raya Kuala Lumpur dengan Pusat Pentadbiran Kerajaan
Persekutuan di Putrajaya.
Menurut Perdana
Menteri, pelancaran projek MRT Laluan SSP itu lambang pemodenan Malaysia
selain memudahkan perjalanan warga Lembah Klang.
Katanya, laluan
baharu itu akan diintegrasikan dengan pengangkutan awam rel sedia ada iaitu
KTM Komuter, LRT, Monorel dan Express Rail Link (ERL) selain Kereta api
Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura yang kini dalam pembangunan.
“Tidak berapa
lama lagi, kita hanya perlukan 30 minit (dari Putrajaya) untuk ke KL (Kuala
Lumpur) dan jika kita mahu ke Singapura, hanya 90 minit sahaja. Ini semua
bayangan Malaysia pada masa hadapan yang moden,” katanya dalam majlis yang
diadakan di tapak kerja Putrajaya Sentral di sini yang bakal menjadi stesen
penghujung selatan MRT Laluan SSP.
Dalam majlis
pelancaran tersebut, Perdana Menteri telah memakaikan jaket keselamatan dan
topi keledar kepada pengendali mesin cerucuk gerek di tapak projek itu dan
kemudian membunyikan siren sebagai tanda projek pembinaan dimulakan.
Yang turut hadir,
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ketua Setiausaha Negara yang juga
merupakan Pengerusi Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), Tan
Sri Dr. Ali Hamsa.
Hadir sama ialah
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar dan Pengerusi
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Dr. Syed Hamid Albar.
MRT Corp adalah
pemilik dan pemaju projek bagi MRT Laluan SSP manakala MMC-Gamuda KVMRT (PDP)
Sdn. Bhd. merupakan rakan pelaksana bagi projek berkenaan.
Dalam pada itu,
Najib menyeru para kontraktor dan subkontraktor yang sebelum ini terlibat dalam
pembinaan MRT Laluan SBK supaya memanfaatkan pengalaman dan kepakaran sedia ada
untuk pembinaan MRT Laluan SSP.
“Kita mesti
pastikan projek seperti ini disiapkan mengikut jadual dan mengikut bajet, semua
ini mesti dikawal sebaik-baiknya. Kita mesti pastikan tahap kepuasan pelanggan
yang tinggi,” katanya.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mrt-kl-putrajaya-30-minit-1.383261#sthash.TbhDwlOM.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan