ARKIB : 31/08/1998
KOTA BHARU 30 Ogos - Maktab
Rendah Sains Mara (MRSM) disarankan supaya bergerak selari dengan apa yang
telah disasarkan oleh Wawasan 2020 dan mengusahakan secara serius bagi
menjayakannya.
Penaung Gabungan Persatuan
Pelajar Lepasan MRSM Malaysia (Ansara), Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali
berkata, kegawatan ekonomi yang sedang melanda negara sekarang tidak boleh
dijadikan alasan untuk berasa sangsi akan masa depan Wawasan 2020.
Katanya, MRSM juga mestilah
terus melahirkan bakal-bakal cendekiawan Melayu yang tidak hanya cemerlang
dalam akademiknya, malah pelbagai bidang agar akhirnya dapat melahirkan
pemimpin-pemimpin negara, sektor awam dan korporat bertaraf dunia.
''Kita mahu mereka nanti
berupaya menaikkan nama dan martabat bangsa Melayu dan negara di kaca mata
dunia. Justeru itu, adalah perlu bagi MRSM untuk menyediakan infrastruktur dan
kemudahan lengkap bagi mencapai matlamat dan cita-cita besar dan mulia ini,''
katanya.
Beliau berkata demikian ketika
berucap di majlis perasmian sambutan ulang tahun ke-25 MRSM, Pengkalan Chepa di
sini hari ini yang turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk
Mustapa Mohamed.
Kehadiran Dr. Siti Hasmah
tentunya amat bermakna sekali kerana kedua-dua anak lelaki beliau, Mokhzani dan
Mokhriz Mahathir juga merupakan bekas pelajar maktab tersebut.
Sementara itu, pada majlis
tersebut, pakar jantung, Dr. Mohd. Azhari Yakub diumumkan sebagai pemenang
Anugerah Personaliti Cemerlang Ansara Kota Bharu 1998.
Anugerah yang baru
diperkenalkan oleh MRSM Kota Bharu itu bagi menghargai bekas pelajar yang
menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang yang diceburi.
Dr. Mohd. Azhari pelajar di
maktab itu dari 1973 hingga 1977 yang kemudiannya melanjutkan pelajaran ke
Kolej Teknikal Leederville di Western Australia, Universiti of Western
Australia dan FRCS, Glasgow merupakan pakar jantung di Institut Jantung Negara.
Beliau juga merupakan salah
seorang dari kumpulan pakar bedah yang menjalankan pemindahan jantung pertama
di negara ini.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_04.htm#ixzz4KHsoEwie
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan