ARKIB : 30/08/1998
Di sepanjang sungai yang masih
mengalir tenang itulah banyak memahat nostalgianya yang sehingga kini sukar
untuk dilupakan.
Sambil tersenyum, seolah-olah
ada kenangan lucu mengusik perasaan, beliau berkata: ''Sewaktu kecil, di kawasan
sungai itulah saya bermain dengan kawan-kawan, kami berenang dan belajar
menongkah arus sungai yang kadangkala deras terutama selepas hujan.
''Saya masih ingat, selepas
puas berendam dalam sungai itu kami akan masuk ke hutan berhampiran, memburu
burung, memanggangnya dan makan beramai-ramai di kawasan tepi sungai
tersebut,'' kata Affifuddin.
Semua pengalaman itu
sesungguhnya menyembunyikan rahmat yang tidak terhingga buat Timbalan Menteri
Kewangan ini kerana dari situlah beliau belajar menjadi manusia yang berani
menghadapi risiko.
''Bagi saya semua orang ada
keistimewaannya. Tuhan memberikan segala-galanya untuk manusia kecapi, cuma
pengucapan perasaan, jiwa dan fikirannya saja yang berbeza.
''Ditakdirkan, Tuhan telah
mengamanahkan saya kebolehan dalam politik,'' katanya ketika diminta membuka
'rahsia' hidupnya.
Persekitaran semasa kecil,
menurutnya, turut menjadi faktor. ''Bapa saya seorang ulama dan ahli politik.
Rajin baca akhbar dan kitab. Itu yang memperkenalkan saya kepada minat membaca
dan dunia politik,'' jelasnya yang sampai kini masih terbawa-bawa dengan minat
berenang dan membaca.
Minat membaca disemai kepada
Affifuddin oleh ayahnya dan tidak hairanlah pada awal usia kanak-kanaknya lagi
beliau sudah kenal dengan bahan bacaan seperti Utusan Melayu, majalah Qalam dan
Mastika.
Sambil mengakui beliau juga
minat berkebun, Affifuddin, 55, berkata, sehingga kini beliau gemar membaca
pelbagai jenis buku, akhbar dan majalah terutama yang berkaitan dengan jurnal
ilmiah dan penemuan-penemuan terkini.
''Selain bahan ilmiah, saya
juga gemar dengan action novel seperti karya-karya yang ditulis oleh Mario Puzo
Jeffrey Archer dan Harold Robbins.
''Selalunya novel-novel begini
mampu saya habiskan dalam masa beberapa jam sahaja terutama apabila saya
membacanya sewaktu dalam perjalanan ke sesuatu destinasi,'' katanya.
Mengimbau sejarah hidupnya,
bapa kepada lima cahaya mata - Amran Hafiz, Azhar Ansari, Amirul Husni, Amilia
Amrina dan Aiman Afif - mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Jitra.
Beliau kemudian menyambung
pelajaran ke Sultan Abdul Hamid College, Alor Setar hingga ke tingkatan enam.
Kata orang, intan kalau
dicampak ke lumpur sekalipun tetap bersinar. Walau terkenal sebagai budak nakal
yang gemar menghabiskan masa di sungai, anak ketiga daripada 10 orang
adik-beradik ini memang cerdas.
Sejak usia remaja, Affifuddin
memang mengutamakan pelajaran dan hasil kerja keras serta 'minat membaca'
itulah beliau muncul sebagai salah seorang pelajar terbaik dalam setiap
peperiksaan.
Ketika di bangku sekolah, anak
kelahiran Kampung Kubang Lembu, Jitra ini cenderung kepada subjek sains tulen
dan sejarah.
''Saya selalu yakin dan percaya
bahawa ilmu adalah penyuluh hidup dan selepas bersusah payah melanjutkan
pelajaran, akhirnya saya berhasil memperolehi empat ijazah,'' katanya bangga.
Affifuddin sebetulnya insaf
atas latar belakang masa silam. Lahir dan membesar dalam keadaan negara dijajah
itulah yang memberi kekuatan hingga beliau berjaya melanjutkan pelajaran di
Universiti Malaya (UM) pada 1963 dan mendapat Sarjana Muda Kepujian dalam
bidang Sains Pertanian.
Beliau kemudian melanjutkan
pelajaran ke Universiti Kentucky, Amerika Syarikat dan memperolehi Sarjana Muda
Kepujian serta Sarjana dalam jurusan Pembangunan Sosiologi sebelum memperolehi
Ph.D dalam jurusan Ekonomi Politik dari Universiti Cornell.
Dalam pada itu Affifuddin juga
selalu percaya bahawa kejayaan tidak sepatutnya boleh mengubah nilai baik dalam
diri seseorang.
''Memang sering dikatakan
kejayaan mungkin mengubah sikap manusia, tetapi jelas sekali ia tidak memberi
kesan negatif jika individu itu mempunyai pegangan nilai murni yang kukuh,''
katanya.
Dalam meniti liku cabaran di dunia
politik yang semakin dipenuhi pelbagai dugaan, Affifuddin dengan falsafah
hidupnya yang tersendiri jelas berjaya membuktikan beliau mempunyai pegangan
hidup yang baik dan wajar dicontohi.
''Mungkin latar belakang hidup
saya banyak mempengaruhi cara saya berfikir,'' akuinya ringkas.
Sejarah hidup Affifuddin
'berliku' kerana beliau dididik oleh guru-guru Inggeris dari sekolah rendah
hingga ke menara gading. Dulu jiwa anak remaja katanya, berat kepada
perjuangan. ''Ini membezakan generasi saya dan baru. Kami insaf pengalaman
dijajah sekali gus melatih generasi seangkatan saya menjadi sangat komited
kepada masyarakat, bukannya individualistik,'' tegasnya.
Biar berbelas tahun 'dididik'
oleh orang Inggeris sekalipun, Affifuddin dan generasinya tahu perjuangan orang
Melayu - yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
''Memang benar saya menuntut
dengan guru-guru Inggeris dan menerima ilmu daripada mereka, namun itu tidak
pernah mengubah nilai baik yang ada dalam diri saya sebagai bangsa Melayu,''
katanya.
Dalam nada kesal Affifuddin
menarik perhatian terhadap segelintir generasi baru kini yang lain keadaannya,
mereka lahir dalam zaman serba mewah dan sofistikated telah menyebabkan jiwa
mereka tak cukup tabah menghadapi kejutan budaya.
Berbicara tentang hobinya, kini
selepas bergelumang dengan dunia politik, Affifuddin masih mencari ruang untuk
mengisi masa lapangnya sendiri.
''Saya memiliki banyak minat
tetapi tak cukup masa, jadi terpaksalah mengikut kemampuan waktu dan keselesaan
saya sendiri,'' ujarnya.
Katanya, beliau masih suka
berenang dan aktiviti itu hanya sempat dilakukannya dua kali seminggu kerana
kebetulan kediamannya di Bukit Damansara dilengkapi dengan kolam renang.
Sambil berseloroh beliau
berkata: ''Bolehlah berenang tetapi taklah terror sangat... kalau setakat
hendak selamatkan diri sendiri tu tak ada masalahlah, kalau orang lain belum
tentu''.
Selain itu Affifuddin juga sedar
badan sihat menentukan kecergasan berkekalan dan atas faktor itulah dia masih
memilih aktiviti berenang.
Ahli Parlimen Padang Terap ini
juga tidak ketinggalan amat berminat berkebun. Minatnya yang mendalam dalam
bidang pertanian sebenarnya bukan baru, malah bermula sejak kecil lagi.
Beliau pernah memberikan
sumbangan penting dalam ilmu pertanian hingga membawa kepada kejayaan besarnya
kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sewaktu berkhidmat di bawah
agensi tersebut.
''Ilmu dan teknologi pertanian
yang saya miliki juga saya garap untuk mengindahkan landskap kawasan rumah
saya,'' katanya sambil menunjukkan pokok-pokok yang hijau merimbun di
kediamannya.
Bagi Affifuddin, persekitaran
yang nyaman dan alam hijau penting kerana elemen itulah yang akan terus
memberikan inspirasi kepada kehidupannya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz4KHqQsNvh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan