Rabu, 14 September 2016

Generasi muda hayati sejarah kemerdekaan

ARKIB : 31/08/1998
SEJARAH boleh diibaratkan seperti cermin pandang belakang sebuah kereta, walaupun kita sedang menuju hadapan kita perlu juga melihat cermin untuk mengetahui apa yang terjadi di belakang.

Generasi muda seharusnya menanam minat mendalam untuk mengetahui sejarah perjuangan tokoh-tokoh negara yang banyak berkorban untuk memperjuangkan hak-hak orang Melayu serta menuntut kemerdekaan daripada penjajah British.

Dengan mengenali tokoh-tokoh seperti Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra dan pemimpi-pemimpin kanan yang lain, generasi muda juga boleh menyemai semangat cintakan negara.

Seorang veteran UMNO, Datuk Rosedin Yaakub, 71, berkata, sejarah tokoh-tokoh veteran sebelum merdeka banyak sekali merakamkan semangat pengorbanan sama ada harta atau pangkat mereka untuk memastikan kemerdekaan negara tercapai.

Walaupun negara telah mencapai kemerdekaan dan sedang membangun, tetapi generasi kini seharusnya mengetahui bagaimana pejuang-pejuang Melayu dahulu bersusah payah berkorban untuk menjadikan Malaysia seperti sekarang.

Pengalaman dipenjara selama 4 tahun atas dakwaan menentang British tidak pernah mematahkan semangat Rosedin yang pada ketika itu sanggup menggadaikan nyawa sendiri menentang penjajah.

''Selepas melalui zaman Jepun semangat untuk menuntut kemerdekaan semakin membara, tambahan pula Indonesia ketika itu mengadakan konfrantasi menentang Belanda.

''Orang lama punya matlamat bukan begitu pemimpin parti bekerja sukarela, tak cari kemewahan sebaliknya kita keluar belanja sendiri untuk menggerakkan parti tak pernah minta itu ini,'' katanya.

Semangat juang yang ada dalam diri Rosedin turut dikongsi bersama cucunya, Dzulhaziq Dzulkifli, 11, supaya cucunya itu tahu betapa besarnya erti kemerdekaan dan perjuangan.

''Saya bangga menjadi cucu kepada seorang pejuang kemerdekaan, walaupun zaman penjajahan sudah lama berlalu saya tidak pernah mengabaikan pengorbanan para pejuang kerana tanpa mereka kita takkan dapat hidup senang,'' katanya.

Anak sulung dari tiga beradik ini sering berdampingan dengan datuknya untuk mengetahui kisah-kisah di sebalik perjuangan dulu dan tokoh-tokoh kemerdekaan seperti Tun Abdul Razak, Tunku Abdul Rahman dan Datuk Onn Jaafar.

Datuknya sering mengingatkan Dzulhaziq supaya jangan leka dengan kemewahan yang dikecapi sebaliknya berusaha untuk meningkatkan martabat bangsa Melayu dan mempertahankan maruah negara.

Adiknya, Zulhafiz Zulkifli, 8, takut setiap kali mendengar cerita tentang penderitaan yang pernah dialami oleh datuknya pada ketika dulu yang terpaksa hidup dalam kesusahan di zaman penjajah.

''Datuk selalu berpesan agar saya belajar bersungguh-sungguh dan jadi orang berguna, kalau dah besar nanti saya mesti jadi orang baik dan jaga martabat bangsa, agama dan negara,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4KHvyVAN3 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan