Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my
Pernah dikenali sebagai Bukit
Emas Mini, Pekan Batu Arang memiliki banyak kisah sejarah yang belum dirungkai
dan dipulihara.
Mengambil nama sempena aktiviti
arang batu di sini, perlombongan berkenaan bermula hasil inisiatif pelombong
arang batu British, John Archibald Russell yang menubuhkan Malayan Collieries
Ltd pada Jun 1913.
Disebabkan permintaan arang
batu yang tinggi, aktiviti perlombongan itu terpaksa beroperasi tanpa henti
dengan 5,000 pekerja bertugas dalam sistem tiga giliran sehari.
Sehingga tahun 1930-an, pekan
ini turut menempatkan Jabatan Penerbangan sebagai isyarat awal trafik sebelum
kapal terbang mendarat di Subang. Selain itu, terdapat balai polis, stesen
kereta api pengangkut arang batu, kilang batu-bata, rumah pekerja lombong dan
banglo untuk pegawai British dan pengurus lombong.
Kawasan ini memiliki lebih 10
terowong bawah tanah dan tempat saluran udara (air shaft) yang membekalkan
udara kepada pekerja di dalam terowong dengan kedalaman 1,000 kaki di bawah
tanah.
Namun kini, hanya sesetengah
bangunan lama masih wujud manakala landasan kereta api dan hospital sudah tidak
kelihatan jejaknya.
Pada tahun 1960, perlombongan
arang dihentikan kerana hasilnya makin berkurangan dan tidak lagi ekonomik
untuk diteruskan.
Hampir 15 juta tan arang batu
dilombong selama lebih 47 tahun dan nilainya bersamaan kira-kira RM163 juta
pada 1960.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 12:28 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan