Rabu, 14 September 2016

Ghafar dedah pemimpin jadi tali barut asing

ARKIB : 31/08/1998
KUALA LUMPUR 30 Ogos - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba hari ini mendedahkan terdapat pemimpin politik yang menjadi tali barut kepada pihak asing dengan membekalkan maklumat kepada mereka.

Tanpa menamakan pemimpin terbabit yang disifatkannya sebagai tidak patriotik dan pandai berpura-pura, beliau mahu kerajaan mengambil tindakan paling tegas ke atas pemimpin berkenaan.

''Di negara asing (tali barut) dikenakan hukuman berat seperti penjara seumur hidup atau ditembak sehingga mati.

''Saya tidak sangka perkara ini turut berlaku di Malaysia. Tindakan menjadi tali-barut asing merupakan satu dosa yang sukar dimaafkan.

''Oleh itu perlu tindakan segera kerana jika tindakan lambat diambil, orang asing akan sempat selamatkan tali barut mereka di negara ini,'' katanya.

Ghafar menegaskan demikian ketika ditemu bual dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) di Sri Pentas di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai tindakan segelintir rakyat negara ini yang sanggup menjadi pengkhianat negara dengan memberikan pelbagai maklumat kepada pihak asing semata-mata atas kepentingan tertentu termasuk tujuan peribadi.

Beliau menambah, tindakan segera perlu diambil kerana khuatir pembocoran maklumat akan berulang jika tiada sebarang tindakan keras dikenakan terhadap mereka yang terlibat.

Menurutnya, kerajaan juga tidak boleh teragak-agak untuk mengambil tindakan demi memastikan keadaan politik dan ekonomi negara sentiasa stabil serta terhindar dari sabarang masalah yang boleh memudaratkan negara.

Tegas Ghafar, pemimpin terbabit sebenarnya merupakan pemimpin yang langsung tidak mempunyai semangat patriotik dan nasionalisme yang penting dalam mempertahankan negara ini dari sebarang bentuk penjajahan.

''Mereka hanya berpura-pura dengan menonjolkan diri sebagai ahli agama, seorang yang bersih dan punyai semangat kebangsaan.

''Hakikatnya, orang ini telah mengelirukan orang ramai, mengabaikan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan parti serta orang ramai yang menaikkan mereka,'' katanya.

Sementara itu, ketika ditemui oleh pemberita selepas itu, Ghafar menegaskan, pemimpin politik sedemikian tidak harus diberikan kuasa dan tanggungjawab untuk memerintah negara.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_02.htm#ixzz4KHuoGI00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan