Rabu, 14 September 2016

Syor bantu peniaga di rancangan Felda

ARKIB : 20/08/1998
MUAR 19 Ogos - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi diminta melaksanakan satu program bersepadu bagi membantu peniaga-peniaga bumiputera di 365 rancangan Felda di seluruh negara.

Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Datuk Ahmad Arshad berkata, usaha bersepadu kedua-dua kementerian itu perlu bagi mengelakkan peniaga dan pengusaha di rancangan berkenaan diperalatkan oleh golongan yang mengutamakan kepentingan diri.

Beliau mendakwa, banyak peniaga-peniaga di rancangan tersebut termasuk di 15 buah pusat bandar Felda di negara ini diperalatkan oleh peniaga luar kerana mereka tidak mempunyai modal yang mencukupi.

''Kedai dan gerai-gerai perniagaan mereka juga tidak tersusun dan dalam keadaan kotor,'' ujarnya di sini hari ini sambil memberitahu ''banyak peniaga luar mengaut keuntungan besar kerana memperalatkan peniaga berkenaan.''

Ahmad berkata, rancangan Felda terutama 15 pusat bandarnya boleh dijadikan lubuk perniagaan bumiputera tulin jika peniaga-peniaga yang terlibat diberi khidmat nasihat dan modal mencukupi.

Kata beliau, kebanyakan mereka menjalankan perniagaan seperti bengkel membaiki motor dan kereta, barang-barang runcit, stesen minyak, perkhidmatan bas dan lain-lain dalam keadaan tidak begitu sempurna.

''Sebahagian daripada mereka ini cuma menjadi ejen kepada peniaga besar dari bandar yang menjual barang-barang tertentu termasuk mesin dan sebagainya.

''Peniaga luar pula menawarkan berbagai kemudahan untuk menarik minat peneroka supaya membeli barangan secara berhutang.

''Ini menjadikan peneroka sentiasa dalam keadaan berhutang,'' ujarnya.

Beliau berharap dengan adanya campur tangan kedua-dua kementerian tersebut, perkara itu dapat diperbetulkan supaya peniaga-peniaga bumiputera tidak terus diperalatkan oleh orang lain tetapi menjadi pengusaha yang tulin.

Beliau juga meminta Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) membangunkan rumah kedai di kawasan Felda untuk membantu peniaga-peniaga bumiputera di rancangan berkenaan berniaga dengan sempurna dan tersusun.

Oleh: TUKIRAN KITAM

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_07.htm#ixzz4KHElroUU © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan