16 September 2016
12:15 AM
Masjid Kampung
Laut diiktiraf sebagai masjid tertua di Asia Tenggara terletak di Pusat
Pengajian Islam Universiti Malaya, Nilam Puri, Kelantan.
KOTA BHARU 15
Sept. – Masjid Kampung Laut yang terletak di Pusat Pengajian Islam Universiti
Malaya (UM) Nilam Puri, dekat sini diiktiraf oleh Jabatan Arkib Negara sebagai
masjid tertua di Asia Tenggara.
Menurut portal
jabatan itu, Masjid Kampung Laut dibina sekitar kurun ke-18 tanpa menggunakan
paku dan struktur binaannya mempunyai persamaan dengan Masjid Demak di Jawa
Timur; Masjid Kono di Champa serta Masjid Nad Tanjung dan Masjid Wadi Hussien
di Thailand.
Masjid itu pada
asalnya dibina di Kampung Laut, Tumpat sebelum dipindahkan ke kawasan kampus
Pusat Pengajian Islam UM.
Seorang penuntut
di Pusat Pengajian Islam UM, Idris Salleh, 23, berkata, kajian mengenai
pembinaan masjid itu perlu dibuat secara terperinci kerana terdapat beberapa
versi berlainan mengenai asal usulnya.
“Ramai yang
berpendapat bahawa masjid ini dibina oleh sekumpulan orang-orang Jawa yang
terkandas di Pantai Kelantan. Kumpulan ini sering berulang-alik antara Jawa dan
Champa.
“Sementara itu
ada pula mendakwa masjid ini dibina oleh orang tempatan. Jadi, kesahihan
sebenar perlu diperoleh untuk dijadikan catatan sejarah yang lengkap,” katanya.
Difahamkan, suatu
ketika dulu, masjid tersebut merupakan pusat komuniti Kampung Laut yang
menjadi tempat persinggahan pedagang kerana lokasinya yang terletak di tebing
Sungai Kelantan.
Sekarang, masjid
itu bukan sekadar monumen sejarah tetapi terus berfungi sebagai pusat
kegiatan keagamaan apabila digunakan untuk beribadat oleh para pelajar serta
orang awam.
Seorang lagi
penuntut, Azhar Ahmad, 26, berkata, keberkatan masjid berkenaan yang dibina
dengan keringat dan keikhlasan kumpulan penduduk yang membinanya menjadikan
Masjid Kampung Laut cukup istimewa.
“Mengikut sejarah
yang saya baca, akibat banjir besar di negeri ini pada Januari 1967, sebahagian
tapak masjid di Kampung Laut dikatakan telah jatuh ke dalam sungai. Ekoran itu,
masjid asal menjadi senget dan goyah.
“Usaha
menyelamatkan warisan yang bernilai tinggi ini dilakukan oleh Persatuan
Sejarah Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan dengan cara
memindahkannya ke Nilam Puri sehingga sekarang,” katanya.
Difahamkan, usaha
membina semula masjid berkenaan mengikut reka bentuk asalnya dilakukan oleh
sekumpulan tukang rumah Melayu diketuai oleh Husin Saleh dari Kampung Bunut
Payong, Kota Bharu.
Pembinaan semula
dijalankan pada November 1968 dan siap sepenuhnya pada November 1969.
Ketinggian seni
bina Masjid Kampung Laut ialah reka bentuk yang unik, tidak menggunakan
sebarang paku tetapi menggunakan potongan kayu dan buluh sebagai pasak.
Mereka memilih
tidak menggunakan paku kerana pada zaman dahulu, paku bukan sesuatu yang mudah
untuk diperoleh.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/masjid-kampung-laut-diiktiraf-tertua-di-asia-tenggara-1.383156#sthash.ElFE321r.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan