Rabu, 14 September 2016

Slot khas RTM sempena kemerdekaan

ARKIB : 18/08/1998
Sempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke 41 pada 31 Ogos ini, RTM turut prihatin dengan menyediakan slot khas untuk menayangkan filem, drama dan rancangan yang bercorak nasionalisme.

Walaupun tiada arahan rasmi daripada Kementerian Penerangan seperti tahun lalu tetapi RTM nampaknya turut memikul tanggungjawab moral dan berjiwa patriotik.

Drama bercorak patriotik yang ditayangkan di stesen televisyen mampu mencetuskan sedikit rasa cintakan negara di kalangan masyaraat pelbagai kaum setelah negara ini merentasi pengalaman pahit manisnya.

RTM menerusi saluran perdananya, TV1, membariskan beberapa rancangan berkonsep sedemikian menjelang 31 Ogos ini.

Malah kini beberapa buah drama yang disiarkan di stesen itu menjurus ke arah itu walaupun rata-ratanya merupakan drama ulangan.

Filem lakonan Alahyarham P.Ramlee yang dihasilkan dalam warna warni, Hang Tuah terpilih untuk menemui penonton pada 30 Ogos ini pukul 1.30 petang. Filem arahan Phandi Majundar ini disiarkan menerusi slot Mustika Merdeka.

Pelakon-pelakon lain yang turut menjayakan filem ini ialah Zaiton, Saadiah, Ahmad Mahmud dan S. Kadarisman.

Filem itu berdasarkan Hikayat Hang Tuah dan memaparkan kesetiaan Hang Tuah kepada pemerintah iaitu Sultan Melaka sehingga sanggup menghambakan diri demi rajanya.

Telefilem Seorang Tua Di Sungai Lembing arahan Dr. Anuar Nor Arai dan lakonan Vanidah Imran akan disiarkan pada 31 Ogos pukul 12.30 tengah hari.

Ia mengisahkan kesukaran menjalani hidup di zaman kolonial. Pertentangan antara prinsip hidup, kemanusian dan survival menjadi persoalan utama yang ditonjolkan oleh Dr. Anuar.

Shukry Hashim, Aida Rahim dan Rosyam Noor akan menemui penonton pada 31 Ogos pukul 3.30 petang menerusi slot Prima Merdeka berjudul Setiaku Di Sini.

Drama ini mengisahkan perjalanan yang dilalui oleh seorang wartawan dalam usaha menghasilkan berita yang terbaik.

Peminat hiburan turut disajikan dengan Hiburan Minggu Ini - Istimewa Merdeka pada 30 Ogos dengan penampilan banyak penyanyi popular seperti Spring, KOOL, Safura, Rozita Izlyn, Mazleela, Shajiry, Halida, Yusni Hamid, Adibah Noor dan banyak lagi.

Turut disajikan rancangan Merdekarama menerusi slot Musical Special pada 31 Ogos pukul 2.30 petang yang menampilkan pertandingan mencipta lagu-lagu bertema kemerdekaan.

Selain itu banyak lagi rancangan khas merdeka disajikan. Rancangan Selamat Pagi Malaysia turut memperkatakan mengenai semangat merdeka.

TV3 juga turut menyediakan beberapa buah filem untuk tontonan khusus sempena sambutan merdeka.

TV3 menyediakan slot khas iaitu Merdeke Movie Festival mulai 24 hingga 31 Ogos setiap pukul 11.30 malam.

Filem Lexx: The Dark Zone Stories akan disiarkan pada 24 Ogos diikuti filem Tamil berjudul Surai Chalai dan filem Melayu, Srikandi.

Pada 28 Ogos filem The War Between Us disiarkan dan diikuti keesokan harinya oleh filem The Saint Of Ford Washington.

Pada 30 Ogos filem The Destinguished Gentleman disiarkan dan kemuncak hari merdeka TV3 siarkan filem The Mean Street Story.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=et_03.htm#ixzz4KH9BziwT

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan