ARKIB : 04/08/1998
RANCANGAN dokumentari Laluan
Sutera yang disiarkan di TV1 mulai hari ini menampilkan pelbagai maklumat yang
boleh dikongsi mengenai laluan yang menghubungkan China dengan negara Eropah.
Laluan tersebut juga menjadi
laluan utama kepada pendakwah mengembangkan Islam ke negara tersebut pada zaman
sahabat Nabi Muhamamad lagi.
Selain laluan kepada
pengembangan ajaran agama, laluan tersebut juga amat bermakna kepada masyarakat
China terutamanya kepentingannya dalam meningkatkan perdagangan China dengan
Eropah.
Itulah antara paparan yang
dapat ditonton di dalam rancangan dokumentari terbitan bersama 59
Communications dan Layar Consult. Laluan Sutera disiarkan setiap hari Khamis
pukul 8.30 malam.
Laluan Sutera juga turut
memaparkan aspek sejarah, kehidupan masyarakat, maklumat geografi dan
sebagainya.
Menurut Pengarah Urusan Layar
Consult, Abu Hassan Morad, pihak penerbit turut membuat alih suara ke bahasa
lain untuk dipasarkan ke luar negara pada masa akan datang.
''Penonton berpeluang mendapat
maklumat mengenai China dan sekaligus memahami budaya mereka terutamanya
masyarakat Islam yang berjumlah lebih 30 juta di negara itu,''kata Abu Hassan
lagi.
Dokumentari ini menekankan
Islam sebagai cara hidup boleh dipraktikkan di mana sahaja, ujarnya lagi.
Antara intipati rancangan
tersebut ialah mengenai kegigihan pejuang agama yang mengembara merentasi benua
untuk menyampaikan ajaran Islam. Malah ada di antara mereka yang tidak pulang
kerana meninggal dunia semasa dalam perjalanan.
Laluan tersebut juga dipercayai
laluan purba yang digunakan oleh Marco Polo, Ghenhiz Khan, Saad Abi Waqas dan
banyak lagi untuk memasuki China suatu masa dulu.
''Sebagai satu tarikan, pihak
penerbit turut menyediakan kuiz untuk menguji minda penonton, ''katanya lagi.
Sementara itu Abu Hassan
memberitahu, kini krew rancangan tersebut sedang giat membuat musim kedua yang
akan disiarkan selepas musim pertama ini.
Dia juga berharap menerusi
bahan yang dipaparkan dapat memberi pengajaran kepada penonton.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=et_01.htm#ixzz4KCpDp98R
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan