Rabu, 28 September 2016

PENUBUHAN BANK RAKYAT



Pada hari ini dalam tahun 1954, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia atau lebih dikenali sebagai Bank Rakyat telah ditubuhkan di bawah Ordinan Syarikat Kerjasama 1948. Penubuhan bank itu bertujuan untuk membantu ahli-ahli dan juga koperasi-koperasi dari segi kewangan. Di awal penubuhannya bank tersebut lebih dikenali sebagai Bank Agong Kampong. Keahliannya terdiri dari 12 buah persatuan kerjasama dan beribu pejabat di Bukit Mertajam. Bagaimanapun selepas itu ia mengalami beberapa perubahan nama apabila Ibu Pejabatnya telah dipindahkan ke Kuala Lumpur. Pada tahun 1967, Bank Agong ditukarkan namanya kepada Bank Kerjasama Malaysia Berhad. Manakala keahliannya dibuka bukan saja kepada koperasi yang berdaftar tetapi kepada orang perseorangan. Pada tahun 1973, sekali lagi namanya ditukar pula kepada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad atau dikenali sebagai Bank Rakyat. Bank Rakyat telah berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatannya melalui cawangan-cawangan di seluruh negara. Di samping bilangan keahlian yang semakin bertambah, Bank Rakyat juga turut memberikan banyak perkhidmatan kepada rakyat.  Dalam usia sedemikian, Bank Rakyat yang telah ditubuhkan pada hari ini dalam tahun 1954, telah menunjukkan pertumbuhan dan perkembangan pesat di sektor kewangan. Adalah menjadi harapan bank tersebut terus memikul peranan yang lebih aktif dalam memajukan kegiatan kewangan untuk ahli-ahli dan pelanggan-pelanggannya bersesuaian dengan perkembangan yang berlaku pada masa kini.
SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan