16 September 2016
1:43 PM
Belangsungkawa
KUALA LUMPUR 16
Sept. - Setelah sekian lama menghidapi penyakit jantung, Musyidul Am PAS Datuk
Dr. Haron Din menghembuskan nafas terakhirnya hari ini di Hospital Stanford
University, San Francisco.
Haron, 76,
meninggal dunia pada 10.10 pagi (waktu Malaysia) di sisi anggota keluarganya.
Beliau
meninggalkan seorang isteri Datin Khatijah Din serta dua lelaki dan tiga
perempuan.
Allahyarham
dilahirkan pada 18 Ogos 1940, di Bohor Mali, Kangar, Perlis kepada pasangan
guru Al-Quran dan merupakan anak ketiga daripada 10 beradik yang mendalami
ajaran Islam.
Selain dikenali
sebagai pemimpin PAS, Haron juga terkenal sebagai tokoh pendidik kekeluargaan
Islam dan pengamal perubatan Islam.
Allahyarham
menyandang jawatan Mursyidul Am PAS pada Mac tahun lepas bagi menggantikan
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yan meninggal dunia pada Februari akibat kanser
prostat.
Haron bergiat
aktif dalam PAS sejak 1974 ketika berusia 34 tahun sebelum dilantik sebagai
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983).
Allahyarham
pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahli Majlis Syura Ulama dan
Timbalan Mursyidul Am.
Beliau mendapat
pendidikan awal di Madrasah al-Islahiah al-Wataniah, Bohor Mali, Madrasah
al-'Alawiyah al-Diniah, Al-Kuliah al-Islamiah sebelum menyambung pelajaran di
Kolej al-Islamiah Klang, Selangor dan Kolej Islam Malaya.
Allahyarham
kemudian melanjutkan pengajian dalam jurusan Pendidikan di Universiti Kaherah
sebelum menyambungnya di peringkat doktor falsafah dalam jurusan Syariah di
Universiti Darul Ulum, Kaherah.
Selepas kembali
ke tanah air, beliau kemudian bertugas sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan
Malaysia dan meneruskan khidmatnya dalam perubatan Islam.
Allahyarham Haron
merupakan pengasas Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia
(Darussyifa') iaitu sebuah klinik rawatan Islam alternatif yang terkenal dalam
kalangan umat Islam.
Darussyifa', yang
ditubuhkan pada 17 April 1988 di Bangi, kini memiliki lebih daripada lima
cawangan di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.
Haron juga pernah
dilantik sebagai Anggota Majlis Penasihat Syariah di beberapa institusi
perbankan termasuk Bank Negara Malaysia, CIMB dan Muamalah Financial
Consulting.
Pada 2010,
Allahyarham dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1432 Selangor.
Mempunyai bakat
dalam bidang penulisan, Allahyarham telah menulis beberapa buku ilmiah termasuk
Manusia dan Islam, Falsafah Pendidikan Islam, Obor Islam, Tasawur Islam dan
Hudud dalam Perudangan Islam.-BERNAMA
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/berita/politik/belasungkawa-haron-din-tokoh-agama-berjasa-besar-kepada-negara-1.383408#sthash.DmMNaQ5o.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan