Khamis, 15 September 2016

PM Menteri Kewangan 1 -- Mustapa Menteri Kewangan 2, Ali Abul Gabenor Bank Negara

ARKIB : 08/09/1998
KUALA LUMPUR 7 Sept. - Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri. Dr. Mahathir Mohamad sebagai Menteri Kewangan Pertama dan Datuk Mustapa Mohamed sebagai Menteri Kewangan Kedua.

Pelantikan itu dibuat bagi mengisi kekosongan dalam kabinet selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada kerajaan dan UMNO minggu lalu.

Kedua-dua pelantikan berkuat kuasa mulai hari ini.

Menurut JPM, Mustapa, 48, akan menjalankan dua tugas iaitu sebagai Menteri Kewangan Kedua dan pada masa yang sama selaku Menteri di Kementerian Pembangunan Usahawan.

Beberapa jam sebelum pelantikan Dr. Mahathir dan Mustapa diumumkan oleh JPM pada pukul 1 tengah hari, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan kenyataan akhbar menamakan Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baru.

Ali Abul Hassan, 57, ialah Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri.

Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Dr. Zeti Akhtar Aziz, 51, pula yang memangku jawatan Gabenor sejak Tan Sri Ahmad Mohamed Don meletakkan jawatan pada 27 Ogos lalu, dilantik sebagai Timbalan Gabenor.

Dr. Zeti menggantikan Datuk Fong Weng Phak yang juga meletakkan jawatan.

Perubahan kepimpinan di Bank Negara tidak dapat dielakkan apabila Ahmad Mohamed Don berundur selepas beliau tidak dapat bersetuju dengan kerajaan berhubung isu pengawalan modal, mata wang dan dasar-dasar ekonomi.

Berhubung pelantikan Menteri Kewangan, kenyataan JPM hari ini tidak menyatakan alasan mengapa kerajaan mengambil langkah mewujudkan dua jawatan Menteri Kewangan iaitu satu keunikan baru kepada Jemaah Menteri Malaysia.

Juga tidak dinyatakan ialah status kedudukan Timbalan-Timbalan Menteri Kewangan yang ada sekarang iaitu Datuk Dr. Affifuddin Omar dan Datuk Wong See Wah.

Sejak merdeka, kabinet Malaysia hanya mempunyai seorang Menteri Kewangan pada satu-satu masa.

Antara Menteri Kewangan pada masa lalu ialah Tun H.S Lee (1957-59) Tun Tan Siew Sin (1959-74), Tun Hussein Onn (1974-76), Tengku Razaleigh Hamzah (1976-83), Tun Daim Zainuddin (1983-91) dan Anwar Ibrahim (1991-1998).

Dengan pengumuman hari ini, selain bertugas sebagai Menteri Kewangan Pertama, Dr. Mahathir juga memegang portfolio Menteri Dalam Negeri selain Perdana Menteri.

Pembahagian tugas antara beliau dengan Mustapa masih belum diketahui.

Mustapa pula, yang merupakan anak kelahiran Bachok, Kelantan, merupakan lulusan Universiti Melbourne, Australia. Beliau memperoleh sarjana muda ekonomi kepujian kelas satu.

Ketika mengulas pelantikannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada Dr. Mahathir.

''Saya terkejut dengan pelantikan ini. Ia adalah satu penghormatan dan amanah. Insya-Allah saya akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin membantu Perdana Menteri dalam menjalankan tugas di Kementerian Kewangan,'' katanya.

Petang ini, beliau yang ''suka berterus-terang dan dikatakan tidak menonjolkan diri'' diberi taklimat oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan mengenai Kementerian Kewangan.

Bagaimanapun, Mustapa bukan orang baru di kementerian tersebut. Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam di Perbendaharaan sebagai penolong setiausaha pada 1974.

Pada tahun 1980, beliau menjadi pensyarah di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) sebelum dilantik sebagai pegawai khas kepada Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin pada tahun 1984.

Mustapa menyertai politik pada tahun 1984 dan terus menjadi Setiausaha Politik kepada Daim.

Beliau dilantik sebagai Senator di Dewan Negara pada bulan Mac 1991 dan seterusnya dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan.

Pada Januari 1994, Mustapa dinaikkan pangkat ke jawatan Timbalan Menteri Kewangan sebelum dinamakan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan selepas beliau memenangi kerusi Parlimen kawasan Jeli pada pilihan raya umum April 1995.

Di dalam UMNO, Mustapa mendapat jumlah undi ketiga terbanyak dalam pemilihan Majlis Tertinggi UMNO pada 1996.

Apabila Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) ditubuhkan pada awal tahun ini, Mustapa adalah salah seorang ahli majlis itu yang diamanahkan untuk menggubal strategi mempercepatkan pemulihan ekonomi negara.

Mustapa berkahwin dengan Datin Khamarzan Ahmad Meah dan mempunyai empat orang anak - dua lelaki dan dua perempuan.

Oleh: BAHAROM MAHUSIN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0908&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4KJvqsoWp © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan