Jumaat, 23 September 2016

PENYERAHAN SEMULA MELAKA KEPADA BELANDA 21.9.1818



Inggeris mula menduduki Melaka pada tahun 1795, iaitu selepas Perjanjian Kew yang ditandatangani oleh Raja Belanda, William ke 5 dengan Kerajaan Inggeris di Eropah. Dalam perjanjian ini Belanda telah membenarkan Inggeris memasuki tanah jajahannya di seberang laut termasuk Melaka sebagai membalas jasa Inggeris yang membearkan Raja William menubuhkan kerajaan buangan bagi menentang Perancis di England. Apa yang terjadi selepas itu ialah Inggeris telah menetap di Melaka selama 23 tahun iaitu sehinggalah pada hari ini 21 September 1818. Penyerahan semula Melaka kepada Belanda pada hari ini dalam tahun 1818 telah dilakukan oleh Colonel Farquhar, Residen British di Melaka kepada Pesuruhjaya Belanda, Laksamana Muda Walterback dan Timmermann Thyssen di Bukit St. Paul. Upacara telah dimulakan pada pukul tujuh pagi dengan bendera Inggeris dinaikkan sebelah timur Bukit St. Paul. Semua tentera yang tidak bertugas pada hari itu diarah beratur di hadapan berek masing-masing. Pegawai-pegawai tentera dan orang awam  dikehendaki berkumpul di hadapan rumah kerajaan. Residen British dan Pesuruhjaya Belanda tiba di Bukit St. Paul bersama-sama kakitangan masing-masing dan telah disambut oleh satu pasukan tentera yang lengkap dengan senjata serta diiringi pukulan gendang. Pengisytiharan penyerahan telah dibaca oleh Residen British dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu dan Cina. Pada masa yang sama tembakan meriam dilepaskan dan bendera Inggeris diturunkan perlahan-lahan diringi oleh lagu kebangsaan Inggeris `God Save the King'. Setelah pengisytiharan oleh pihak Inggeris dibaca, Pesuruhjaya Belanda membaca pengisytiharannya pula. Ini diikuti dengan menaikkan bendera Belanda dan diiringi oleh tembakan meriam kedua-dua pasukan. Selepas upacara penyerahan tersebut, pengambilan alih tugas dan tempat dilakukan. Pendudukan sementara Inggeris di Melaka selama 23 tahun ini telah menghilangkan sebahagian besar pengaruh Belanda ke atas Melaka. Perjanjian Kew ini dibuat sebagai usaha Belanda untuk menghalang tanah jajahanya jatuh ke tangan Perancis tetapi secara tidak langsung pengaruh mereka telah hilang di tangan Inggeris. Akhirnya pada 1824 Melaka telah diserahkan  kepada Inggeris. Dari itu bermulalah pula penjajahan Inggeris ke atas negeri-negeri Melayu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan