Adam Salleh
Diselak fail lama, majoriti
rekod mencatat nama sebenar Ahmad CB adalah Ahmad Cass Bara. Singkatan CB itu
untuk tarikan komersial.
Menyorot atikel minggu lalu
perihal pencipta dan penyanyi asal lagu Tanggal 31 itu, ada hamba Allah tampil
memberi penjelasan ketika hayat ada, setiap kali ke Kuala Lumpur tiada orang
lain yang dicari Ahmad CB kecuali kawan rapatnya dipanggil Jalal atau Abang
Gambar.
Hubungan akrab Ahmad CB dengan
Abang Gambar ini jelas setiap kali diundang Gapena (Gabungan Persatuan Penulis
Nasional) ke Kuala Lumpur, Ketua Satu Gapena, Tan Sri Profesor Ismail Hussein
mempelawa tinggal bersama keluarganya, tetapi Ahmad CB menolak dengan alasan
lebih selesa menetap di rumah sewa Abang Gambar iaitu rumah kedai di Jalan Chow
Kit yang berhampiran dengan lorong gelap.
Hasil selidik serta menghubungi
beberapa kenalan, akhirnya penulis berjaya bertemu Abang Gambar ini di Restoran
Haslam kelmarin. Banyak cerita mengenai Ahmad CB dikongsi bersama, yang
pastinya boleh membantu generasi akan datang sekiranya tiba masa mereka mahu
buat tesis atau mengkaji Ahmad CB ini, pahlawan seni yang berjuang di sebalik
kemerdekaan nusantara Melayu, Malaysia dan Indonesia.
Apabila penulis bertanyakan
benarkah nama Ahmad CB itu Ahmad Cass Bara?” dijawab pantas Abang Gambar,
“Siapa kata!” Menurut Abang Gambar, nama sebenar Ahmad CB itu Ahmad bin Awab.
Rahsia perkataan Cass Bara itu adalah refleksi jiwanya yang sentiasa membara
dan perlu dicas (elektrik) setiap hari agar tenaganya tidak luntur. Memang
benar semangatnya begitu membara untuk mencipta lagu Tanggal 31 sebaik mendapat
tahu Malaya akan merdeka. Walhal ketika itu beliau berada di Batam untuk ‘road
tour’ kumpulan bangsawannya.
Tanpa berlengah Ahmad CB
sanggup menaiki perahu merentas Selat Singapura untuk merakam suara Tanggal 31.
Dari Batam ke Singapura jika menggunakan feri laju dalam 45 minit, tetapi
sekiranya berperahu seperti dilakukan Ahmad CB, ia bergantung kudrat sang pengayuh.
Selesai proses rakaman lagu
Tanggal 31 itu, Ahmad CB patah balik ke Batam meneruskan kegiatan bangsawannya.
Lagu dan lirik Tanggal 31 itu ditulis Ahmad CB dalam jawi. Jika diamati kembali
liriknya, Ahmad CB sengaja tidak mahu letak perkataan Ogos lalu diganti bulan
lapan.
Sebabnya lidah Ahmad CB masih
kuat dengan telo Indonesia dan sekiranya bulan lapan itu diganti Ogos, pastilah
dia menyebut Agustus. Bayangkan jika perkataan Agustus itu diguna pakai, sudah
tentulah kita akan menyanyikan begini, “Tanggal 31, bulan Agustus 57!”
Lagu Tanggal 31 itu ketika itu
tidaklah sepopular sekarang. Sehinggalah apabila Datuk Sudirman Haji Arshad
menyuntik nafas baru pada lagu itu dalam album diterbitkan komposer S Atan.
Sebelum itu, Sudirman (Allahyarham) bersemuka dengan Ahmad CB untuk minta izin.
Dan hasilnya Ahmad CB bukan
saja berpuas hati bahkan menganggap Sudirman anak seni sarat kreativiti apabila
membawa kanak-kanak ke studio rakaman bagi menjadi suara latar menyanyikan lagu
Tanggal 31 itu. Abang Gambar tidak tahu apakah Sudirman memberi imbuhan.
Dek lagu itu juga sekitar 1993,
pengacara program Sekapur Sireh, Aziz Desa (Allahyarham) yang mengetahui Ahmad
CB berada di Kuala Lumpur menghubungi Abang Gambar mohon jasanya membawa Ahmad
CB ke studio TV3 di Jalan Liku, Bangsar, bagi sesi interviu.
Abang Gambar dan Ahmad CB ke
Jalan Liku pagi itu hanya menaiki teksi. Melalui sesi interviu itulah Ahmad CB
meluahkan kata-kata azimatnya, “Saya dilahirkan di Medan tetapi dibesarkan di
Singapura dan Malaya. Ibarat kata orang badan di Indonesia tetapi jiwa saya di
Semenanjung kerana itulah saya hasilkan lagu Tanggal 31.” Sebaik interviu
selesai, Aziz menghulurkan RM100 kepada Ahmad CB dan sebagai menghormatinya
sebagai tokoh dan tetamu, pihak TV3 menghantar Ahmad CB dan Abang Gambar pulang
menaiki van.
Menyingkap peribadi, Ahmad CB
bukanlah sebatang kara sebaliknya pernah berkahwin dengan perempuan Melayu di
Medan dikurnia tujuh anak (sulung bernama Faridah). Beliau berkahwin lagi
dengan perempuan Jawa di Jakarta tetapi tidak diketahui mempunyai anak atau
tidak.
Ahmad CB lahir antara 1907 atau
1908 dan meninggal dunia pada 1997 di Medan selepas seminggu terjatuh tiba-tiba
di dalam rumahnya. Selama hayatnya Ahmad CB sudah menghasilkan 98 lagu termasuk
lagu joget Rentak 106, namun tidak pasti apakah dia mendapat royalti?
Ikutkan, hati Ahmad CB sudah
terbuka jadi warganegara Malaysia, bahkan diberi lampu hijau oleh Tan Sri
Sanusi Junid, namun hasratnya itu terencat pada waktu sama Presiden Indonesia,
Suharto memberi pengiktirafan padanya dan diberi pencen mengenang jasanya
menentang penjajah Belanda melalui kegiatan bangsawan. Bak kata Ahmad CB, “Saya
ini tokoh dua negara, tetapi taat setia tetap pada Tanah Melayu.”
Penulis ialah Pengarang Rencana
Metro Ahad
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Khamis, 8 September 2016 @ 9:07 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan