ARKIB : 14/09/1998
Mutalib perak, Emran gangsa --
Sabar berhempas-pulas selama empat tahun tidak sia-sia
BARISAN pemenang pingat negara
dalam acara menembak (dari kiri), Mohd. Emran Zakaria, Mutalib Razak, Norsita
Mahmud dan Bibiana Ng Pei Chin adalah atlet negara paling gembira di Langkawi,
semalam.
KESABARAN empat tahun yang
disertai semangat berjuang yang tinggi mendorong Malaysia meraih dua pingat,
perak dan gangsa dalam kejohanan menembak Sukan Komanwel 98, di Lapang Sasar
Antarabangsa Langkawi (LISRAM), semalam.
Penembak Abdul Mutalib Razak
yang memperolehi pingat perak bersama pasangan barunya Mohamad Emran Zakaria
dalam acara raifal angin 10 meter berpasangan lelaki berkata, penantian empat
tahun itu mendorongnya untuk menaikkan maruah negara.
"Saya bertanding dengan
penuh keyakinan dengan sasaran untuk meraih pingat emas tetapi terpaksa berpuas
hati di tempat kedua setelah memberikan saingan sengit kepada lain- lain
penembak,'' kata Mutalib.
Emran, 23, pula berkata,
tumpuan sepenuhnya kepada sasaran, tanpa menghiraukan catatan mata penembak
lain memberikan kelebihan kepadanya dan juga Mutalib untuk terus menambah
pungutan mata.
"Kami tahu penembak lain
juga handal tetapi tetap yakin dapat menewaskan mereka sehingga akhirnya
berjaya juga mendapatkan pingat.
"Terima kasih kepada
Mutalib, guru yang banyak memberi saya tunjuk ajar sehingga kami berdua dapat
bergandingan dengan mantap walaupun baru pertama kali berpasangan dalam Sukan
Komanwel,'' katanya.
Sementara itu, Norsita Mahmud
berkata, semangat yang menyerap dalam dirinya sewaktu mengambil bahagian dalam
pembukaan Sukan Komanwel di Kuala Lumpur mendorongnya untuk membantu negara
memungut gangsa acara pistol sport berpasangan wanita bersama Bibiana Ng.
"Sorakan penonton dan
laungan 'Malaysia Boleh' sudah cukup menaikkan semangat sehingga saya menyimpan
azam tinggi untuk mencipta kejayaan hari ini (semalam),'' kata anggota polis
berusia 33 tahun itu yang kini bertugas di Kelantan.
Mengenai satu tembakannya yang
tersasar sehingga kehilangan banyak mata, Norsita memberitahu, pengalaman
tersebut sudah dialamainya dalam Kejohanan Dunia di Milan sebelum ini.
"Jadi pengalaman yang
ditempuhi memberikan kekuatan kepada saya untuk memperbaiki kedudukan dalam
saingan seterusnya ketika Bibiana banyak membantu dalam usaha menambah pungutan
mata,'' tambahnya.
Bibiana, 21, penuntut
Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berasal dari Sarawak memberitahu, ini
adalah pingat paling bermakna kerana diperoleh dalam kejohanan besar.
Menurut Bibiana, ketika satu
tembakan pasangannya, Norsita tersasar sehingga kehilangan banyak mata, dia
tidak merasa gentar, malah yakin mereka berdua dapat memberikan saingan.
"Saya tahu Norsita kehilangan mata ketika itu tetapi saya cukup yakin dia
(Norsita) tidak mudah mengalah sehingga dapat beraksi dengan baik sehingga
tamat pertandingan,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4KKoFVLLH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan