Jumaat, 30 September 2016

Dr. Asma wanita pertama Naib Canselor USM


Dr. Asma Ismail
30 September 2016 5:12
PUTRAJAYA 30 Sept. - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini mengumumkan pelantikan Profesor Datuk Dr. Asma Ismail sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) berkuat kuasa mulai 4 Oktober 2016 sehingga 3 Oktober 2019.
Dr. Asma Ismail
Dr. Asma Ismail

KPT dalam kenyataan hari ini berkata, dengan pelantikan ini, Dr. Asma merupakan wanita pertama memegang jawatan tersebut di USM.

Dr. Asma merupakan graduan daripada University of Nevada, Reno, Amerika Syarikat (AS) dengan kepujian dalam bidang Biologi.

Beliau telah menerima Ijazah Sarjana dalam bidang Biologi Mikro dari Indiana University, Bloomington, AS serta Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Biologi Molekular dan Selular dari University of Nevada, Reno, USA pada tahun 1986.

Dr. Asma merupakan seorang yang berpengalaman luas dalam bidang pengajian tinggi. Beliau memulakan kerjayanya sebagai pensyarah pada tahun 1986 dan telah memegang pelbagai jawatan yang penting sehingga kini termasuk sebagai Timbalan Naib Canselor USM (Penyelidikan (amp) Inovasi) dan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) pada tahun 2013, yang juga merupakan Ketua Pengarah wanita pertama.

Dr. Asma juga adalah satu-satunya Naib Canselor yang telah berkhidmat di dua buah Universiti Awam Negara. Beliau merupakan seorang saintis dan pentadbir yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Banyak pencapaian yang telah beliau lakarkan di persada antarabangsa antaranya adalah memfailkan 30 paten yang mana 13 daripadanya telah diiktiraf dan dianugerahkan lebih daripada 162 pencapaian.

Ini termasuk Anugerah National Young Scientist Award pada tahun 1991, Malaysian Toray Science and Technology Award pada tahun 2002, National Inventor Award pada tahun 2003, National Innovation Award, 2006 dan National Academic Award for Product and Commercialization pada tahun 2007.

Beliau juga dianugerahkan Top Research Scientist Malaysia pada 2012 oleh Akademi Sains Malaysia (ASM).

“Kementerian amat yakin dengan keupayaan Dr. Asma untuk membawa USM ke peringkat yang lebih tinggi agar dapat terus menyumbang kepada pendidikan dan pembangunan negara.

“Kementerian juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Profesor Datuk Dr. Omar Osman di atas perkhidmatan cemerlang beliau sebagai Naib Canselor USM selama lima tahun bermula dari 27 September 2011 hingga 27 September 2016,” kata kenyataan itu
- Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/dr-asma-wanita-pertama-naib-canselor-usm-1.388989#sthash.K3fwEyij.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan