Isnin, 30 April 2018

RIDAKSI MAJALAH JAYA 1979

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
PENAUNG                               : GURU BESAR EN IBRAHIM BIN HJ MUHAMAD
GURU PENASIHAT                ; EN MOKHTAR HUSSAIN
                                                    EN RAZAK JAMAL
                                                    EN AZIZ SALLEH
KETUA PENGARANG           ; PUTERI SALMAH MEGAT AHMAD
PENOLONG PENGARANG   ; ABDUL BASIK ABDUL RAHMAN
PENGERUSI                            ; SALMIAH BT ABDULLAH
JURUTAIP                                ; PARIDAH BT BAHAROM
                                                     ROHAINI  BT RAMLI
JURULUKIS                             ; AZHARI PEN
                                                     SARIPAH SALATON
PERSATUAN                            ; MAD NOOR ZAKARIA
                                                     PARIDAH JAAFAR
FOTO                                         ; ZAHARUDDIN IBRAHIM
PENYEMAK                             ; ZAHARI BIN ISMAIL
                                                     KHAMSIAH BT SAMAH
SUKAN                                      ; SHAMSUDDIN MOHAMMAD
                                                      NORFAIZAH OTHMAN
DAIRI                                         ; SOBRIYAH BT AHMAD

Ahad, 22 April 2018

MAJALAH JAYA BIL.BIL.2 1979

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB


SUMBER- DR ZAHARAH BT HUSSIN

Sejarah Penghijrahan Orang Melaka ke Felda Jengka 2.

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Penulis menemuramah Hj Yaakob Mahadi

        Felda Cempaka Jengka 2 (Jengka 2), merupakan salah satu daripada kawasan petempatan peneroka Felda yang telah dibuka sekitar tahun 1971. Felda Jengka 2 berada di dalam kawasan daerah Maran dan terletak berhampiran Felda Jengka 3 dan Ulu Jempol. Perjalanan dari Bandar Jengka yang terletak 10 kilometer mengambil masa kira-kira 15 minit. Terdapat lebih daripada 400 buah keluarga yang terdiri daripada generasi pertama dan Felda  peneroka.

       Tanah Rancangan Felda Jengka 2 telah dimajukan dalam  peringkat kedua pembangunan tanah Felda dalam tahun 67/68. Perancangan pembangunan wilayah ini berdasarkan kajian kumpulan pakar perunding Tams/Hunting. Ini merupakan projek utama negara yang pertama dibiayai melalui pinjaman Bank Dunia berjumlah sebanyak 52 juta dollar Amerika. Pinjaman ini digunakan untuk membiayai projek Jengka 1-23.[1]

     Kebanyakkan penduduk di Felda Cempaka Jengka 2 berasal daripada masyarakat Melaka kerana terdiri daripada saudara- mara mereka. Pada tahun 1970 seramai 133 orang peneroka yang berasal dari Melaka telah masuk ke Felda Cempaka Jengka 2 tetapi mereka datang secara berorganisasi. Kebanyakkan orang Melaka ditempatkan di kawasan peringkat 2. Di peringkat 2 mempunyai 3 lorong dan lorong tengah di kawasan kubur kebanyakkannya terdiri daripada orang Melaka. Orang Melaka yang ada di Felda Jengka 2 berasal dari Kampung sekitar Mukim Sungai Rambai, Alor Gajah, Jasin, dan sebagainya.[2]

     Perjalanan mereka untuk sampai ke Felda Cempaka Jengka 2 dengan menaiki bas yang disediakan. Mereka berhijrah ke sini kerana pada mulanya mereka menerima tawaran untuk menjadi peneroka. Felda ini ditubuhkan bagi membasmi kemiskinan yang melampau di kalangan masyarakat orang melayu di negara ini.[3]




[1]Rokiah Talib, “Raja Muhammad  Alias Arkitek Felda”, (Penerbitan UKM, Bangi 2010), 49.
[2] Temu ramah Haji Yaakob Mahadi pada 5 April 2016.
[3] Ibid

Rabu, 18 April 2018

NABI MUSA

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Nabi Musa merupakan seorang Nabi dan Rasul. Dilahirkan di Mesir pada zaman Firaun (Raja Mesir) daripada keturunan Bani Israil yang tinggal di Negeri Sham. Pemerintahan firaun sangat zalim. Beliau mengaku dirinya Tuhan.[1] Ramses II yang dinobatkan sebagai penguasa Mesir 1290 sebelum Masihi. Peringkat awal dia berkedudukan sebagai anak Tuhan dan kahirnya  dia mengaku dirinya sebagai Tuhan.[2]

      Pada satu malam Firaun bermimpi bahawa Negeri Mesir telah terbakar dan rakyatnya banyak yang mati dan orang-orang yang tinggal adalah orang-orang Bani Israil. Para ahli nujum di Mesir mentawilkan mimpi itu bahawa pada tahun itu akan lahir seorang bayi lelaki dari BaniIsrail yang akan meruntuhkan kerajaan Firaun. Firaung merasa takut, lalu beliau memerintahkan supaya kesemua bayi Bani Israil yang lahir pada tahun itu dibunuh. Hal ini telah diterangkan dalam al-Quran (surah al-Baqarah: 49)

      Ahli sejarah berpendapat, Nabi Musa a.s dilahirkan sekitar tahun 1285 Sebelum Masihi. Ini bertepatan dengan tahun ketujuh pemerintahan Ramses II. Peristiwa kelahiran Musa a.s terjadi ketika Firaun dan bala tentera Mesir di Kadesh Barnea kalah dalam pertempuran melawan bala tentera Kerajaan Het. Penderitaan dan penindasan orang-orang Israil di Mesir semakin besar. Di tengah penderitaan dan penindasan ini, isteri Imran atau Amram, anak Yafet putera Levi, melahirkan seorang bayi lelaki.

      Selepas melahirkan Musa, ibunya berasa cemas atas keselamatan bayinya. Ppada mulanya, dia memutuskan mahu menyembunyikan Musa selama tiga bulan. Namun, rasa cemas dalam hatinya tidak hilang. Bahkan, rasa itu berubah menjadi rasa takut, sehingga terlintas dalam fikirannya mahu membunuh bayi yang baru dilahirkan. Namun Allah s.w.t mengilhamkan ibu Musa bagi memasukkan bayinya ke dalam peti, lalu menhanyutkannya ke Sungai Nil. Yokhebed berduka ketika berpisah dengan Musa. Bahkan dia bimbang anaknya tenggelam di dalam sungai ataupun dipungut tentera Firaun. Tetapi Allah s.w.t memberi ketenangan kepada iub Musa supaya tidak berduka dan cemas. Ini kerana, Dia akan memulangkan Musa kepangkuannya dan menyampaikan kepadanya, Musa diangkat sebagai rasul.[3]

      Tuhan Yang  Maha Berkuasa telah mengilhamkan kepada ibu Nabi Musa a.s agar anaknya (Nabi Musa a.s) dihanyutkan  ke dalam Sungai Nil. Pada keesokkan harinya isteri Firaun elah mengambil Nabi Musa a.s yang sedang terapung-apung dalam peti yang dihanyutkan oleh ibunya. Bayi itu dibawa kepada Firaun (Ramses II) Apabila Firaun hendak membunuhnya lalu ditahan oleh isterinya, Änak ini janganlah dibunuh, Aku sayang padanya dan elok kita jadikan sebagai anak sen diri kerana aku tidak mempunyai anak. “Firaun menurut kehendak isterinya itu.

      Nabi Musa a.s enggan menyusu dengan wanita-wanita selain daripada ibunya sendiri. Ibunya telah pergi menyudukannya seperti yang disebut dalam al-Quran (al-Qasas: 7-13).[4]



[1]Mahayudin Hj, Yahaya, Ensikloedia Sejarah Islam jilid III L-O, (Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1987),909.
[2]Amanullah Halim, Musa vs Firaun, Pertarungan Paling Hebat Dalam Sejarah, (Batu Caves: Publishing House 2016)  ,26.
[3] Ibid,35.
[4] Mahayudin Hj, Yahaya, Ensikloedia Sejarah Islam jilid III L-O,910.

Selasa, 17 April 2018

GERAKAN NASIONALISME MESIR DAN SYRIA

 Peranan Golongan Intelektual -Muhammad Rashid Rida
Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
Gerakan pembaharuan di Mesir juga turut didukung oleh Muhammad Rashid Rida (1865-1935 M), yang juga merupakan seorang revivalis dan reformis Islam. Nama sebenar beliau ialah Muhammad Rashid bin 'Ali bin Muhammad Shams al-Din bin Muhammad Baha'al-Din bin Munla al-Khalifa. Beliau dilahirkan pada 23 September 1865 M di Qalamun, Tripoli, Lubnan.[1]

      Pada zaman kanak-kanak, beliau belajar di kuttab. Setelah lancar membaca dan menulis, beliau belajar di Madrasah al-Rashidilyah dan mempelajari ilmu alam, ilmu hisab, nahu, saraf serta ilmu-ilmu agama lain seperti akidah dan ibadah. Ketika berumur 18 tahun, beliau melanjutkan pengajian ke Madrasah al-Wataniyyah al-Islamiyyah yang didirikan oleh Shaykh Husayn al-Jisr. Di sini, beliau mempelajari mantit falsafah dan juga ilmu-ilmu agama lain. Shaykh Husayn al-Jisr memainkan peranan dalam menanamkan semangat ilmiah dan idea pembaharuan dalam diri Muhammad Rashid Rida. [2]

      Di sini juga, Rida mendalami ilmu alam, bahasa Turki dan Perancis serta mempelajai karya-karya Imam al-Ghazali dan Ibn Taymiyyah. Selain menekuni pembelajarannya, Rida juga mengikuti perkembangan dunia Islam ketika itu dengan menelaah akhbar al-'Urwah al-lluthqa. Melalui akhbar ini, beliau mengenali gagasan pemikiran dua orang tokoh pembaharuan yang sangat dikaguminya, iaitu al-Afghani dan Muhammad'Abduh. Idea pembaharuan yang terdapat dalam al:Urwah al-Wuthqa membuahkan keinginan yang sangat tinggi kepada Rida untuk bertemu dengan dua orang tokoh tersebut.

      Keinginan Rida untuk bertemu dengan al-Afghani tidak tercapai kerana tokoh- tersebut meninggal dunia sebelum Rida dapat bertemu dengannya. Manakala, Muhammad Abduh, sempat ditemui ketika tokoh tersebut berada dalam buangan di Beirut. Rida meninggal dunia pada tahun 1935 M ketika dalam perjalanan pulang ke Suez, Mesir setelah mengiringi Putera Su'ud al-Faysal. Kenderaan yang dinaiki beliau mengalami kemalangan dan beliau menderita gegaran otak yang membawa kepada kematiannya.[3]

      Rida merupakan seorang penulis yang prolifik dan berpengaruh dengan reformasi Islam, Pan-Arabisme serta nasionalisme Arab. Penelitiannya terhadap karya Imam al-Ghazali dan Ibn Taymiyyah memberikannya inspirasi mengenai kepentingan memperbaiki kemunduran umat Islam dan memumikari ajaran Islam dalam kalangan umatnya. Sepanjang karier intelektualnya, Rida mendukung reformasi dan meyakini bahawa kemunduran umat Islam adalah kesan daripada kebekuan ulamanya dan kezaliman para pemimpin.[4]

      Rasyid Rida juga menulis dalam akhbar Salafiya telah banyak membuka minda rakyat Mesir. Beliau yang merupakan orang kanan kepada Muhammad Abduh banyak menulis persoalan yang menyenfuh soal modenisasi Islam.Rasyid Rida menyemai dan menyemarakkan semangat nasionalisme dalam penulisan beliau dengan mengkritik dan menganggap penjajah adalah penyebab kepada kemunduran umat Islam. Beliau bersama penyokongnya telah mempopularkan konsep modenisasi Islam dan cuba menegakkan warisan dan keperibadian Arab terutamanya dalam memperkukuhkan bahasa Arab Mesir (Lanjah Misriyah).[5]

      Namun begitu, Rida juga menyeru kepada umat Islam agar mengambil iktibar daripada peradaban Barat dan mengambil aspek-aspek yang positif seperti ilmu pengetahuan dan juga teknologi. Rida juga menekankan pendidikan dakwah dan bimbingan dengan menyerasikan pendidikan moden dan pendidikan agama menerusi penubuhan Madrasah al-Da'wah al-Irshad pada l9l2 M di Kaherah.[6]

      Selain peranan dalam aspek pendidikan, Rida juga aktif dalam dunia politik dengan memegang jawatan Presiden Kogres Syria pada tahun 1920M, di samping sebagai wakil delegasi Palestin-Syria ke Geneva pada tahun 1921 M. Rida turut menghadiri Persidangan Islam di Makkah pada tahun 1926. Dan di Jerusalem pada tahun 1931M.

      Beliau berpendapat, penjajahan kuasa Barat terhadap umat Islam adalah akibat daripada kelemahan umat Islam yang tidak menguasai ilmu pengetahuan, menyusun organisasi politik dan membatasi kekuasaan pemerintahan. Penyelesaian kepada perkara di atas adalah dengan cara menekankan aspek pendidikan yang menjadi prasyarat kepada pembaharuan dan kemerdekaan.[7]


[1] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),194
[2] Ibid,195.
[3] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Kemaskini(Shah Alam:Oxford Fajar,2014),210.
[4] Ibid.
[5] “Gerakan Nasionalisme”,dalam Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah,(Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013), 119.
[6] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Ketiga(Shah Alam:Oxford Fajar,2014),242.
[7] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),196.

Ahad, 15 April 2018

3.5 PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA TURKI PADA ABAD KE-20


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Konsep Negara Bangsa
Menurut John Stuart Mill, bangsa bermaksud bahagian rumpun manusia yang terikat dengan rasa taksub bersama yang tidak wujud dalam hubungan antara rumpun tertentu dengan rumpun bangsa lain. Rasa kesatuan sedemikian lazimnya terjalin oleh kesamaan bahasa, kesatuan wilayah, budaya, sejarah dan agama.[1]  Sebuah negara bangsa ialah negara berdaulat yang didiami oleh satu bangsa.Negara bangsa membentuk sebuah negara dengan rakyatnya hidup bersatu padu, berkeyakinan, harmoni, mempunyai  daya saing yang tinggi dan mempunyai semangat patriotik yang kental.[2]

      Ringkasnya, Konsep 'negara bangsa' ialah sebuah negara yang berdaulat dan bebas dengan penduduknya yang mempunyai kesedaran bahawa mereka adalah milik bersama berasaskan bahasa, adat dan tradisi yang sama, mempunyai pemerintah tersendiri,sempadan wilayah, dan hak untuk menggubal undang-undang sendiri.

Sejarah pembentukan negara bangsa
seawal abad ke-15M khasnya selepas berlakunya perubahan politik di Eropah kesan daripada Zaman Renaissance dan zaman Revolusi. Contohnya negarabangsa England, perancis dan Sepanyol. Idea negara bangsa semakin berkembang di Barat pada penghujung abad ke-18 dan 19M ekoran tercetusnya Revolusi Inggeris 1688, Perang Kemerdekaan Amerika 1776 dan Revolusi Perancis 1789. Muncul idea tentang hak rakyat, kerajaan berpelemb agaan dan negara bangsa moden mengikut sempadan rumpun bangsa bagi menggantikan bentuk negara feudal. Kemunculan negara bangsa
melemahkan pengaruh agama dan gereja.[3]

Faktor-faktor pembentukan rregara bangsa dunia:
Kemunculan semangat nasionalisme - faktor utama
Keruntuhan sistem feudal
Kesan perang salib
Perkembangan bandar
Kemunculan golongan pertengahan ekoran kemajuan
pesat dalam ekonomi perdagangan dan perindustrian.
Kemajuan ekonomi dan institusi kebangsaan seperti
pentadbiran pusat, tentera kebangsaan dan undang-undang kebangsaan.
g. Perkembangan bahasa kebangsaan

Faktor pembentukan negara bangsa di Turki :
a. Kekalahan dalam Perang Dunia Pertama pembentukan negara bangsa Turki semakin ketara setelah Turki tewas dalam Perang Dunia Pertama.Bermula daripada penentangan terhadap campur tangan kuasa asing pimpinan Mustafa Kemal Attaturk, aksi erjuangan berubah menjadi penentangan terhadap khalifah. Akhirnya, sistem khilafah dihapuskan dan Turki menjadi sebuah negarabangsa tersendiri, terpisah daripada wilayah-wilayah dulu yang merupakan kesatuan 'Khilafah Islamiah'. 1923 Turki dipanggil Republik Turki.[4]
b. Pembentukan kerajaan –
perubahan struktur kerajaan Uthmaniyyah ke arah pembentukan negara bangsa bermula sejak Perang Dunia Pertama. Sentimen kebangsaan nasionalisme bertambah kuat dengan lahirnya Pan Turkisme dan Pan Arabisme. Selepas menguasai Istanbul, British cuba mencari pengaruh politik dalam kerajaan Uthmaniyyah. Berlaku ketidakstabilan dalam tegara. Situasi ini dimanfaatkan oleh Mustafa Kemal Auaturk untuk membentuk dan memimpin Dewan Perwakilan Nasional Turki. Beliau menjadikan Ankara sebagai pusat aktiviti politiknya.

      Kesannya, wujud dua bentuk pemerintahan di Turki iaitu pemerintahan Khilafah di Istanbul dan pemerintahan Dewan Perwakilan Nasional di Ankara. 1923, Dewan Perwakilan Nasional mengisytiharkan terbentuknya negara republik Turki dan melantik
Mustafa Kamal Attaturk sebagai presiden pertama. Mustafa Kamal Attaturk memindahkan pusat pemerintahan dari Istanbul ke Ankara. Beliau memecat Sultan Abdul Majid II (Khilafah Uthmaniyyah) dengan membubarkan sistem khilafah dan menghapuskan pengaruh Islam dari negara Turki. Berakhirnya daulah Islamiah dan digantikan dengan daulah sekular. Turki menjadi sebuah negara bangsa dan sebuah republik berpelembagaan yang demokratik dan sekular.

Sekularisme
Mustafa Kemal Attaturk melaksanakan pelbagai pembaharuan bagi melahirkan generasi bangsa Turki moden dan mengikut model Barat. Perubahan melibatkan pembangunan sosial dan politik dalam usaha membentuk identiti kebangsaan yang baharu. Norma hidup masyarakat yang baharu dan moden yang cuba diterapkan oleh kerajaan republik Turki ialah memisahkan Islam daripada amalan dalam masyarakat Turki moden.[5]

      Kerajaan Turki menerbitkan beberapa prinsip Kamalisme yang menjadi ideologi negaraTurki moden iaitu republikanisme, sekularisme, nasionalisme, revolusionisme dan modenisme. Sekulari sme menj adi prinsip paling utama dalam proses pemodenan Turki dan seterusnya melemahkan pengaruh Islam. Bagi Mustafa Kamal Attaturk, untuk mencapai tahap bangsa bertamadun, Turki perlu mengikut acuan Barat. Sebuah jawatankuasa dibentuk di Fakulti Teologi di Universiti Istanbul untuk memodenisasikan Islam.

d. Perundangan
Mustafa Kemal Attaturk memansuhkan Kementerian Kehakiman Syariah dan digantikan dengan badan Kehakiman Sivil Turki yang mengikut acuan Barat. Pelaksanaan undang-undang sivil ini bertentangan undang-undang syariah. Bagi membentuk generasi Turki sekular, undang-undang pendidikan negara diselaraskan. 1924, sistem pendidikan sekular telah dijadikan dasar utama di semua peringkat pengajian. 1925, semua madrasah, sekolah agama rakyat, gerakan tarekat dan amalan sufi dimansuhkan.[6]


[1] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,Edisi Ketiga (Shah Alam:Oxford Fajar,2017),268.
[2]Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2, Edisi Kedua, (Kuala Lumpur: Pearson Malaysia Sdn. Bhd, 2015),389.
[3] “Pembentukan Negara Bangsa”,dalam Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah,(Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),134.
[4] Ibid,135
[5] Ibid,136.
[6] Ibid,137

PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA MESIR PADA ABAD KE-20

Oleh- AHMAD BIN YAAKOB
Pengenalan pembentukan negara bangsa di Mesir
Mesir merupakan sebuah negara yang terletak di benua Afrika. Penduduk asal Mesir ialah orang fellahin.Pembentukan negara bangsa Mesir bermula apabila Mesir cuba mengasingkan diri daripada penguasaan pemerintahan Uthmaniyyah.Berlaku beberapa percubaan untuk membebaskan beberapa kawasan dari penguasaan Turki Uthmaniah tetapi gagal kerana gerakan ini tidak mendapat sokongan rakyat berbangsa Arab yang lebih mengutamakan hubungan keagamaan.Ali Bek al-Kabir cuba membebaskan diri daripada Turki Uthmaniah pada separuh kedua kurun ke-18. Beliau menghalau Pasha Utmaniah dan mengawasi angkatan tentera Utmaniah. Beliau cuba menguasai Syria dan menggabungkannya dengan Mesir.[1]
Faktor pembentukan negara bangsa Mesir :
a. Penjajahan Perancis terhadap Mesir – membawa perubahan dalam pemikiran rakyat Mesir dengan masuknya fahaman nasionalisme dan demokrasi.[2] Walaupun penguasaan Perancis hanya sekitar tiga tahun sahaja,namun kesan jangka panjangnya telah berjaya mengubah demografi politik Mesir. Penaklukan Perancis ke atas Mesir 1798 - 1801M meninggalkan kesan mendalam dalam bidang ekonomi,politik, sosial dan pemikiran rakyat Mesir. Penaklukan ini merupakan peristiwa penting yang mengubah landskap sosiopolitik Mesir. Konsep modenisme dan sekularisme meresap dalam pemikiran rakyat.
Ia juga  telah membawa kepada kejayaan penjajahan Britain ke atas Mesir pada tahun 1882. Sebelum ini, Britain pernah cuba menjajah Mesir pada tahun 1807, namun usaha tersebut tidak berjaya.Selama tiga tahun Perancis di Mesir, beberapa perubahan telah dilakukan. Antaranya adalah seperti membuka kilang senjata.,mengadakan perkhidmatan percetakan dan menerbitkan akhbar dan menggalakkan pengkajian dalam bidang sains.[3]

b. Dasar pemerintahan Muhammad Ali Pasha –
Muhamad Ali Pasha merupakan tokoh pembaharuan dan pembangunan Mesir moden. Muhamamad Ali merupakan pemimimpin angkatan tentera yang dihantar oleh Sultan Salim III yang berpakat dengan British untuk merampas Mesir dari tangan Perancis. Selepas berjaya menghalau Perancis dari bumi Mesir, Sultan Turki Uthmaniah mengiktiraf kekuasaan Muhammad Ali Pasha di Mesir.[4]

      Pada awal pemerintahannya, Muhammad Ali berusaha mengambil hati para ketua kaum sebagai membalas jasa mereka.Sedangkan beliau sebenarnya menunggu masa yang sesuai untuk mengenepikan mereka. Akhirnya beliau mencapai matlamatnya dan memerintah Mesir secara diktator.[5] Menerusi Perjanjian London 1840, Britain menewaskan Ali Pasha dan mendesak beliau berundur dari Mesir. Era pasca Muhammad  Ali Pasha diteruskan oleh anaknya, Khedif Ismail. Namun pengganti-pengganti Ali Pasha terutamanya Ismail banyak dilanda masalah. Khedif Ismail berhutang sebanyak 100 juta pound Euro dengan bank-bank Eropah. Ini membuka pintu kuasa imperialis Barat campur tangan secara terang-terangan dalam pentadbiran Mesir.[6]  
Pembaharuan bidang ketenteraan.
Jurulatih tentera dari Barat dijemput untuk melatih tentera Mesir. Pusat latihan ketenteraan ditubuhkan.
 Pelajar Mesir dihantar ke luar negeri.
Meningkatkan ekonomi rakyat dengan pelbagai pembaharuan.
 Aktiviti penterjemahan.
c. Pemberontakan Urabi –
pemberontakan pertama oleh keturunan asal (fellahin) menentang pentadbiran Muhammad Ali Pasha berketurunan Turki kerana memberi layanan istimewa kepada tentera berketurunan
Turki-Circassia. Gerakan ini menuntut dihapuskan pengaruh asing dalam pentadbiran Mesir.
d. Dasar penjajahan British :
. Dasar diskrimanasi British dalam pentadbiran mewujudkan golongan nasionalis Mesir. Golongan ini terdedah kepada nilai politik dan sentimen kebangsaan yang dibawa British.
. British menggalakkan rakyat Mesir bertutur dalam dialek Misriyah bagi mengukuhkan idenditi Mesir.
. Di sekolah agama dan sekolah rendah, British menggalakkan penggunaan dialek tempatan (bahasaMisriyah atau Amiiyah) dalam pengajaran. Ini mengukuhkan identiti bangsa Mesir sambil menjauhkan generasi baharu Mesir memahami
bahasa Arab Fushah yang digunakan dalam al-Quran.
e. Kemerdekaan Mesir
1922 Britain isytihar kemerdekaan Mesir
18 jun 1953 Mesir menjadi republik.Jeneral Muhamad Najib mengetuai pemberontakan tentera yang disokong oleh rakyat sehingga mencetuskan Revolusi 23 Julai 1952. Raja Fuad I menyerahkan takhtanya kepada Ahmad Fuad II  dan Mesir menjadi sebuah republik. Jeneral Muhammad najib menjadi Presiden Mesir pertama



[1]Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2, (Kuala Lumpur: Pearson Malaysia Sdn. Bhd, 2014), 397.
[2] “Faktor pembentukan negarabangsa Mesir”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah,20.
[3] Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini, (Shah Alam: Oxford Fajar.2014) ,236.
[4] Mahdi Shuid, Sazlina Othman dan Arjuna @ Mohd. Noor Yunus, Teks STPM Pra U Sejarah  Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd, 2014), 315.
[5]Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan  Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2, 399.
[6] Mahdi Shuid, Sazlina Othman dan Arjuna @ Mohd. Noor Yunus, Teks STPM Pra U Sejarah  Islam Penggal 2, 315.

FAKTOR KEMUNCULAN SEMANGAT NASIONALISME DI SYRIA BAD KE-20


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB

Konsep Nasionalieme
Secara umum nasionalisme bermaksud perasaan cinta dan taat setia yang tidak berbelah bahagi akan tanah air dan ingin membebaskan negara dan bangsa daripada penguasaan dan cengkaman asing. Nasionalisme juga ada kaitan dengan negara dan bangsa. Nasionalisme pada umumnya bertujuan mewujudkan kebebasan individu dan negara daripada cengkaman dan koonkongan pemerintah dan kuasa asing.

      Intipati utama nasionalisme ialah mewujudkan kebebasan dan maruah seseorang serta membentuk nasib dan masa depan sesebuah negara dan bangsa. Dengan itu, nasionalisme bergerak ke arah pembentukan satu identiti bangsa yang berbudaya tinggi.[1]

      Selepas tamat Perang Dunia Pertama pada tahun 1918, menyaksikan kejatuhan empayar Turki  Uthmaniyah yang menaungi negara-negara Arab Islam.Kuasa imperialis Barat mula mengambil peranan empayar Turki Uthmaniyah.Di Syria, Perancis telah diberi mandat untuk menjaga hal-ehwal negara tersebut. Walau pun Perancis dikatakan ingin memberi kemerdekaaan kepada Syria, namun mereka  telah menjajah negara tersebut selama tujuh tahun.  Pada tahun 1927, Perancis telah menganjurkan pilihan raya di Syria yang dimenangi oleh Parti Blok Nasional. Namun, Syria masih berada di bawah penguasaan Perancis tanpa mendapat kemerdekaan penuh.[2]

Pengenalan
Gerakan nasionalisme di Syria.
Setelah tamatnya Perang Dunia pertama 1918 M, kuasa Barat telah mula mengambil alih peranan empayar Turki Uthmaniyah yang semakin lemah di mana kekalahan Turki dalam Perang Dunia 1 menyebabkan Turki terpaksa menyerahkan sebahagian wilayah kekuasaannya di bawah pengawasan Liga Bangsa.[3]

      Keputusan Konferensi San Remo yang ditandatangani pada tahun 1922 di London, perancis telah diberi kuasa oleh Liga Bangsa untuk menjaga hal ehwal Syria dan Lebanon yang merupakan sebahagian wilayah kerajaan Turki Uthmaniyyah sejak 1516M.

Faktor kemunculan gerakan nasionalisme di Syria :
a. Pengaruh agama .
Pengaruh dan kesedaran agama telah menyebabkan kemunculan keinginan dan usaha untuk menyatukan semua negara dan bangsa Arab sehingga mewujudkan gerakan nasionalisme di Syria.Kedudukan Palestin yang bersempadan di bahagian barat daya Syria menyebabkan penduduk Syria sangat mengambil berat perihal saudara Islam mereka di Palestin yang ditindas penjajah British. Di samping itu, Gerakan Yahudi yang mahu menempatkan penduduk mereka di Palestin jelas kelihatan apabila golongan Turki Muda yangmemerintah Turki dikuasai oleh pertubuhan al-Ittihad wa al-Taraqqi yang didalangi oleh orang Yahudi.Suasana ini menyemarakkan lagi sentimen agama dan semangat penduduk tempatan di Syria menentang pihak penjajah.

b. Peranan bahasa dan kesusasteraan
Pada abad ke l9-20M, berlaku perkembangan baru dalam kesusasteraan Arab bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh dunia Arab. . Karya Francis Marrash iaitt Ghabat al-Haqq pada 1865 dan Qustaki al-Hilmi dengan karyanya The Reseacher's Source in the Science of Critism adalah berkisar tentang idea-idea keamanan, kebebasan dan kesaksamaan.[4]

     Perkembangan bahasa dan sastera ini turut menyuntik dan menyemarakkan kebangkitan gerakan nasionalisme di Syria di mana sebelum ini, istilah-istilah Turki dan bahasa asing banyak mempengaruhi kehidupan rakyat dan telah digantikan dengan bahasa dan sastera tempatan. Fenomena ini dapat meningkatkan perkembangan semangat nasionalismedi Syria.

c. Pengaruh kewartawanan
Pengaruh kewartawanan juga telah mencetuskan semangat nasionalisme di Syria. Penerbitan majalah Al-Manar yang merupakan majalah bulanan yang membahaskan idea pembaharuan dan tajdid di Kaherah dan majalah tersebut dipelopori oleh Rasyid Rida yang dilahirkan di Syria.Majalah ini telah mengungkapkan dan mengutarakan pemikiran baru yang berasaskan idea-idea pembaharuan yang dicetuskan oleh Jamaluddin al-Afgani dan Muhammad Abduh dalam majalahnya iaitu al-Urwa al-Wuthqa. Fokus pemikiran ini adalah ke arah usaha pembaharuan dan perkembangan dakwah Islamiah di Syria. Tatkala akhbar lain membicarakan keburukan penjajahan dan kegawatan dunia Islam ketika itu, al-Manar pula mencadangkan penyelesaian terhadap isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat Islam.[5]
Al-Manar juga menggerakkan perbincangan tentang dakwah, idealisme dan islah, menerangkan dasardasar Pan-Islamisme, meneroka persoalan yang berkait dengan ajaran aqidah dan hukum, membincangkan fahaman modenisme, sekularisme, nasinalisme dan mempelopori dan mempopularkan bidang dialog dan pertukaran idea antara budaya dan pemikiran baharu berkait dengan falsafah agama dan budaya, serta menangani isu-isu sosial dan peradaban.

      Al-Manar yang pertama kali diterbitkan pada 17 Mac 1898 sebagai majalah mingguan yang memuatkan lapan halaman, menyiarkan berita mutakhir di samping artikel utama yang ditulis oleh ketua editor iaitu, Rasyid Rida sendiri.Bermula pada tahun kedua, majalah ini dikeluarkan setiap bulan dan tersebar dengan meluas ke seluruh jajahan Islam dalam wilayah Turki, India, Mesir, Syria, Maghribi dan turut diseludup ke Kepulauan Melayu. Kerancakan penerbitan akhbar telah mempercepatkan penerimaan masyarakat terhadap gerakan nasionalisme untuk membebaskan diri daripada penjajahan.
d. Peranan pendidikan .
Di Syria, sebuah akademi telah ditubuhkan bagi menjemput dan mengumpul ahli bahasa dari seluruh pelusuk Tanah Arab untuk datang, bertemu dan bertukar-tukar fikiran dan tumpuan akademi bahasa ini adalah untuk menyesuaikan dan mengharmonikan bahasa masing-masing dengan keadaan masyarakat Arab yang mengamalkan pelbagai budaya.

Dalam hal ini, walaupun secara politiknya mereka berbeza, namun mereka bersatu di bawah satu perkara, iaitu bahasa Arab. Antara tokoh terkenal yang menyokong usaha penubuhan negara Syria yang merdeka ialah Abu Khaldun Sati al-Husri. Beliau dilahirkan di Aleppo dan pada masa mudanya, beliau bekerja sebagai pegawai pendidikan dalam kerajaan Turki Uthmaniyah.[6]

Di Damsyik dan Beirut pula, beberapa buah univeriiti telah dibina dan menjadi medan perdebatan golongan terpelajar tempatan dan hal ini turut mencetuskan idea-idea nasionalisme di Syria.

Peranan golongan intelektual .
Tokoh intelektual Syria yang terkenal iaitu Rasyid Rida yang juga merupakan seorang intelektual muslim Syria turut mengembangkan gagasan pemikiran modenisme Islam yang pada awalnya dipengaruhi dan dicetuskan oleh tokoh-tokoh nasionalisme Mesir iaitu Jamaluddin al-Afgani dan Muhammad Abduh. . Rasyid Rida juga turut mengkaji kelemahan masyarakat Islam ketika itu dan membandingkannya dengan masyarakat penjajah Barat dan akhirnya beliau berpendapat bahawa kelemahan ini dapat diatasi jika masyarakat Islam kembali kepada prinsip-prinsip asas agama Islam dan melakukan transformasi dan ijtihad dalam menghadapi kehidupan moden yang semakin mencabar.[7]

Pengaruh luar .
Syria yang masih berada di bawah pemerintahan empayar Turki Uthmaniyah pada awal abad ke-20M juga telah terpengaruh dengan dasar pan-Islamisme menjadi dasar kerajaan Turki Uthmaniyah di mana dasar ini telah meniup dan meningkatkan semangat penduduk tempatan menangkis dan melawan ancaman pihak Barat. Shakib Arselan yang berasal dari Lubnan telah menghasilkan penulisan yang menyeru penduduk Syria supaya bersatu di bawah kerajaan Turki Uthmaniyah dan menolak konspirasi dan dakyah Barat yang inginkan penduduk Syria menentang penguasaan kerajaan Turki Uthmaniyah dan turut menggesa penduduk Syria bangun secara sukarela menentang pihak British semasa perang Dunia Pertama.[8]


[i1Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2, Edisi Kedua, (Kuala Lumpur: Pearson Malaysia Sdn. Bhd, 2015), 365.
[2] Mahdi Shuid, Sazlina Othman dan Arjuna @ Mohd. Noor Yunus, Teks STPM Pra U Sejarah  Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd, 2015),302.
[3] “Gerakan Nasionalisme” dalam Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah,(Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013), 122.
[4] Ibid,123.
[5] Ibid,124.
[6] Ibid,125.
[7] Ibid,126.
[8] Ibid,127.