Rabu, 30 November 2016

Ahmad Sarji Tokoh Maal Hijrah 1420


 

ARKIB : 18/04/1999
DR. AHMAD Sarji menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1420 daripada Yang di-Pertuan Agong pada sambutan Maal Hijrah di Stadium Putra, Kompeks Sukan Negara Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 17 April - Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ahmad Sarji Abdul Hamid, 61, diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1420 bagi peringkat kebangsaan pada sambutan Maal Hijrah di sini hari ini.

Pemilihan beliau dibuat berdasarkan sumbangan yang cemerlang dalam bidang pentadbiran kerajaan dan berjaya meningkatkan institusi pentadbiran Islam di negara ini.

Anugerah itu disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong pada majlis sambutan kali ini yang diadakan di Stadium Putra, Kompeks Sukan Negara Bukit Jalil, yang dihadiri kira-kira 10,000 orang.

Ahmad Sarji dilahirkan pada 16 September 1938 di Kampung Batu Tiga, Jalan Temoh, Tapah, Perak.

Sepanjang bertugas selama 35 tahun di dalam perkhidmatan kerajaan, Ahmad Sarji telah menjawat beberapa jawatan penting, antaranya sebagai Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam dan Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi.

Pada 1 Februari 1990, beliau telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara sehingga beliau bersara pada 16 September 1996.

Pada masa ini, Ahmad Sarji diberikan kepercayaan untuk menerajui Institut Kefahaman Islam (IKIM) sebagai pengerusi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_02.htm#ixzz4RY6NuxAQ © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 29 November 2016

PTPTN ambil alih urus pinjaman IPT

ARKIB : 10/04/1999
KUALA LUMPUR 9 April - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Kementerian Pendidikan akan mengambil alih fungsi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memberikan pinjaman kepada para pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) mulai sesi pengajian tahun ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkata, bermula pada sesi pengajian 1999/2000 fungsi pemberian pinjaman itu akan dipindahkan daripada Bahagian Latihan JPA ke PTPTN dengan peruntukan tambahan dari kerajaan sebanyak RM900 juta.

''Pemindahan fungsi ini bermakna JPA tidak lagi akan menyediakan pinjaman kewangan kepada pelajar-pelajar IPT,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata Najib, pelajar-pelajar yang sudah diluluskan pinjaman pendidikan oleh JPA akan terus dibiayai oleh badan itu sehingga mereka tamat pengajian.

Selepas ini, kata beliau, JPA hanya akan menyediakan pembiayaan dalam bentuk biasiswa dengan jumlah yang terhad kepada pelajar-pelajar dalam bidang tertentu selaras dengan keperluan negara.

Beliau menjelaskan, pemindahan fungsi itu dibuat ekoran keputusan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang mahukan semua urusan berkaitan dengan pinjaman pendidikan dipusatkan kepada satu badan sahaja bagi mengelakkan pertindihan.

''Oleh kerana sudah ada satu badan khas (PTPTN) ditubuhkan untuk melaksanakan program pinjaman, jadi MTEN buat keputusan supaya lebih baik segala urusan pinjaman pendidikan dipusatkan kepada sebuah badan sahaja,'' jelasnya.

Kata beliau, pemindahan fungsi itu bagaimanapun tidak melibatkan peranan Mara serta agensi-agensi kerajaan negeri seperti yayasan dan lembaga biasiswa negeri.

Mengulas mengenai langkah kerajaan memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM900 juta kepada PTPTN, Najib berkata, perkara itu dilakukan ekoran bertambahnya jumlah pelajar yang layak ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Beliau memberitahu, penambahan peruntukan itu juga bagi memastikan ibu bapa berpendapatan rendah dan sederhana tidak menghadapi masalah pembiayaan pendidikan untuk anak-anak mereka.

''Dengan peruntukan tambahan itu menjadikan peruntukan keseluruhan kepada PTPTN untuk tempoh Rancangan Malaysia Ke-7 sebanyak RM1.526 bilion,'' katanya.

Untuk tahun ini, menurut Najib, kira-kira RM689.3 juta akan digunakan bagi membiayai 63,708 pelajar di 11 buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan empat institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam dua peringkat pengajian iaitu program ijazah pertama dan diploma.

Menurut beliau, permohonan untuk mendapatkan pinjaman itu boleh dibuat sebaik sahaja pelajar-pelajar diterima masuk oleh IPT terbabit.

Najib memberitahu, empat IPTS yang pelajar mereka layak memohon pinjaman dari PTPTN ialah Universiti Telekom (Unitele), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar).

Sementara itu, katanya, pelajar-pelajar di IPTS bertaraf kolej yang mendapat pengiktirafan dari Lembaga Akreditasi Negara (LAN) tidak termasuk dalam skim ini dan mereka boleh mendapatkan pembiayaan melalui Mara.

Menurut beliau, jumlah pinjaman yang diberikan kepada pelajar-pelajar IPTA sama seperti sebelum ini iaitu RM7,000 setahun untuk aliran sains dan RM6,500 sastera.

Bagi IPTS pula, kata beliau, Kementerian Pendidikan telah mengambil keputusan menaikkan jumlah pinjaman dari RM12,500 kepada RM16,500 setahun bagi pelajar aliran sains.

Untuk pelajar aliran sastera di IPTS dinaikkan dari RM12,000 kepada RM16,000 setahun dengan tempoh pembayaran balik yang akan dipanjangkan untuk kedua-duanya.

Di samping itu, kata Najib, kementeriannya juga memutuskan untuk meluaskan skim pinjaman kepada pelajar-pelajar di peringkat diploma di IPTA dan IPTS yang melibatkan 15,000 pelajar pada kadar RM5,000 setahun dan bayaran balik 10 tahun.

PTPTN juga, kata beliau, akan meneruskan tanggungjawab yang dipegang oleh JPA iaitu membiayai secara pinjaman untuk anak-anak diplomat yang memasuki kolej-kolej swasta lain termasuk yang mengikuti program 3+0.

Oleh: AZNAN BAKAR

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4RSpQ8C3G © Utusan Melayu (M) Bhd

Olahragawan '98 milik Keng Liat, Shanti

ARKIB : 07/04/1999
PEMENANG pingat emas Sukan Asia, Lim Keng Liat dan pelari veteran G. Shanti dimahkotakan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 1998 di Kuala Lumpur, semalam, lapor NORZIE MOHD. KHASBI.

Ini adalah anugerah kedua diraih Keng Liat, yang bukan sekadar meraih emas pertama negara menerusi acara renang Sukan Asia, malah mencipta rekod 100m kuak lentang dan meraih perak acara 200m.

Keng Liat, yang muncul pemenang Impian Keemasan SAM-Benson & Hedges bulan lalu, mengetepikan calon lain Hidayat Hamidon (angkat berat), G. Saravanan (olahraga) dan Kenny Ang (boling).

Manakala bagi Shanti, yang mengumumkan persaraannya Februari lalu, kemenangan ini menyusul selepas dia dianugerah Olahragawati Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), bulan lalu.

Shanti, 32, meraih sebutir pingat gangsa acara 100m pada Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Fukuoka serta muncul atlet Malaysia pertama mara ke separuh akhir acara 100m dan 200m.

Shanti yang turut memecah rekod kebangsaan pada kejohanan itu berjaya mengetepikan calon pilihan iaitu juara skuasy Sukan Asia, Nicol David dan pemenang pingat emas Sukan Komanwel, Nurul Hudda Baharin (menembak).

Kedua-dua pemenang masing-masing menerima RM10,000 dan hadiah disampaikan oleh Yang di Pertuan Agong Tuanku Ja'afar.

Sementara itu C. Muralitharan yang meraih pingat perak acara karate Sukan Asia, muncul Olahragawan Harapan Kebangsaan, manakala bintang badminton negara, Joanne Quay dipilih sebagai Olahragawati Harapan.

Muralitharan dan Joanne, yang meraih pingat perak Sukan Komanwel dalam acara berpasukan masing-masing membawa pulang RM3,000.

Pasukan Lelaki Terbaik Kebangsaan jatuh kepada skuad hoki, yang merangkul pingat perak pada Sukan Komanwel, manakala skuad gimrama yang meraih emas pada temasya yang sama muncul pasukan Wanita Terbaik Kebangsaan. Kedua-dua pemenang meraih RM10,000.

Bekas Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Hamzah Abu Samah menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Sukan Kebangsaan 1998, manakala Timbalan Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA), Dr. Harjit Singh menerima Anugerah Khas.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0407&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RSBIiJQK © Utusan Melayu (M) Bhd

Keadilan dilancar, Wan Azizah jadi presiden

ARKIB : 05/04/1999
KUALA LUMPUR 4 April - Parti Keadilan Nasional (Keadilan), sebuah parti yang didukungi penyokong gerakan reformasi dilancarkan hari ini dengan diketuai oleh Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, bagaimanapun, tidak menganggotai parti yang diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 8 Mac lalu menerusi pindaan nama parti Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (Ikatan) walaupun asas perjuangan parti itu untuk membela Anwar yang didakwa telah dizalimi.

Barisan kepimpinan Keadilan selain Dr. Wan Azizah selaku Presiden ialah Presiden Just World Trust (Just), Dr. Chandra Muzaffar (Timbalan Presiden), tiga Naib Presiden iaitu bekas Mufti Pulau Pinang, Datuk Sheikh Azmi Ahmad, bekas Naib Presiden Parti Melayu Semangat 46 (S46), Marina Yusoff dan Pengerusi Gagasan Demokrasi Rakyat (Gagasan), Chua Tian Chang (Tian Chua).

Ketua Eksekutif Yayasan Salam, Mohd. Anuar Tahir dilantik sebagai Setiausaha Agung, Ramli Ibrahim sebagai Pemangku Bendahari, Ketua Penerangan disandang oleh bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Ruslan Kasim.

Bekas Setiausaha Politik Anwar, Mohamad Ezam M. Nor dan Nell Onn masing-masing memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda dan Ketua Wanita.

Keadilan turut dibarisi oleh 19 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), yang antaranya ialah peguam Anwar, Zainur Zakaria, Pengerusi Tenaganita, Irene Fernandez dan bekas Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Saifuddin Nasution Ismail yang masih bersembunyi di luar negara.

Selain itu, MPT dianggotai oleh Dr. Mohd. Nor Nawawi, Dr. Halili Rahmat, Ng Lum Yong, Goh Keat Peng, Sahri Bahari, Dr. Ismail Hamid, Johari Abdul, Dr. Mansor Othman, Khalil Shah, Dr. Ghazali Basri, Mohamad Rafaie Ab. Malek, Omar Jaafar, Kahar Ahmad, Dr. Abdul Wahid Ahmad Suhaime, Nik Aziz Nik Hassan dan Yusuf Abdul Rahman.

Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran parti itu di sini, Dr. Wan Azizah berkata, Keadilan muncul sebagai susulan kepada perjuangan menegakkan keadilan melalui pembangkang baru.

''Tiada sebab parti-parti pembangkang lain melihatnya sebagai ancaman sebaliknya mereka mesti menerima baik Keadilan.

''Kemunculannya akan memperkuatkan barisan pembangkang dan membawa sejumlah besar masyarakat yang sebelum ini memihak kepada status quo dan Barisan Nasional (BN),'' katanya.

Keadilan, katanya, yang menjurus konsep parti multi-etnik akan bekerjasama dengan parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang inginkan reformasi dan keadilan serta menawarkan alternatif kepada rakyat.

Turut hadir pada pelancaran parti itu ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang, Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr. Syed Hussin Ali serta wakil-wakil dari Pas, Parti Setia (Sabah) dan beberapa NGO.

Sementara itu dalam perutusan khas yang dibacakan Mohamad Ezam, Anwar berkata, penubuhan Keadilan adalah untuk menentang gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa, nepotisme dan kronisme yang didakwanya berleluasa di negara ini.

Dalam pada itu, Dr. Chandra berkata, Anwar tidak menganggotai Keadilan supaya beliau dapat menumpukan perhatian menyatupadukan parti-parti politik dan NGO yang memperjuangkan reformasi dan keadilan sosial.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_04.htm#ixzz4RS0h6HU9 © Utusan Melayu (M) Bhd

SPM '98 catat rekod -- 71,382 calon sekolah kerajaan dapat pangkat satu


 

ARKIB : 02/04/1999
DUA pelajar terbaik SPM yang mendapat 10A1, Mohamad Faizal Mohamad Sharin (kanan) dan Abdul Wahid Abdul Kahar (kiri) dijulang oleh rakan-rakan selepas keputusan diumumkan oleh Najib di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah Melaka semalam. - Gambar ABDUL MOES MOHD. YUSOF.

MELAKA 1 April - Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu menunjukkan peningkatan di segi kualiti dan sekali gus mencatatkan rekod apabila 71,382 daripada 280,870 calon sekolah-sekolah kerajaan memperoleh pangkat satu.

Sebanyak 12 buah sekolah pula mencatatkan prestasi cemerlang dengan menampilkan 100 peratus calon yang menduduki peperiksaan itu lulus pangkat satu, sementara 65 orang calon memperoleh 10A1.

Bilangan sekolah yang lulus 100 peratus juga meningkat kepada 111 buah, termasuk 10 buah sekolah menengah biasa dan empat buah sekolah swasta.

Keputusan SPM dan Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM) 1998 diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, pada sidang akhbar di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Sekolah-sekolah yang 100 peratus lulus pangkat satu ialah Sekolah Menengah (SM) Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan; SM Sains Pokok Sena Kedah; SM Sains Muzaffar Shah Melaka; Sekolah Shah Alam, Kuala Lumpur dan SM Kebangsaan Agama Slim River, Perak.

Lima lagi ialah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), iaitu MRSM Taiping Perak; MRSM Pengkalan Chepa Kelantan; MRSM Kem Terendak dan MRSM Jasin di Melaka serta MRSM Kuala Berang Terengganu.

Dua buah sekolah swasta pula yang mencatat 100 peratus lulus pangkat satu ialah Kolej Yayasan Saad Melaka dan Sekolah Menengah Lodge Kuching Sarawak.

Menurut Najib, bilangan calon yang memperoleh pangkat satu bertambah sebanyak 5,162 orang, iaitu 71,382 calon (25.4 peratus) berbanding 66,220 (26.2 peratus) pada tahun 1997.

Sementara calon yang mendapat pangkat dua sebanyak 68,921 (24.6 peratus) dan pangkat tiga berjumlah 54,243 (19.3 peratus).

Ini bermakna daripada 280,870 calon sekolah kerajaan, 194,546 orang atau 69.3 peratus lulus pangkat satu, dua dan tiga pada tahun 1998 berbanding 178,231 (70.6 peratus) daripada 252,435 calon yang lulus pada tahun 1997, katanya.

''Bagaimanapun asas perbandingan prestasi keputusan SPM antara tahun 1998 dengan 1997, iaitu perbezaan sebanyak 1.3 peratus bukan menunjukkan penurunan di segi pencapaian,'' kata Najib.

Beliau menjelaskan, penurunan di segi peratusan yang lulus juga tidak boleh dijadikan bandingan kerana pada tahun 1997 kementerian telah melonggarkan syarat kemasukan pelajar ke tingkatan empat dengan memberi peluang kepada pelajar yang mendapat 3D hingga 1D.

Katanya, ini bermakna tambahan sebanyak 23,399 pelajar masuk ke tingkatan empat pada tahun 1997, iaitu tujuh peratus lebih tinggi daripada tahun sebelumnya.

Kelonggaran itu, tambah beliau, menyebabkan jumlah calon yang mengambil SPM tahun lalu meningkat 10.8 peratus berbanding hanya 4.9 peratus pada tahun 1997.

''Hakikatnya keputusan tahun lalu lebih baik lagi walaupun keputusan mereka yang lulus memperlihatkan penurunan sebanyak 1.3 peratus,'' ujarnya.

Kata Najib, pencapaian di segi kualiti telah bertambah dengan ketara kerana banyak calon yang mendapat pangkat satu dan bilangan sekolah yang lulus 100 peratus meningkat daripada 92 buah kepada 111 buah.

Sementara mereka yang mencapai keputusan cemerlang dengan memperoleh 10A1 bertambah sebanyak 15 orang iaitu daripada 50 orang pada 1997 kepada 65 orang pada 1998, jelasnya.

Katanya, sekolah yang lulus 100 peratus itu ialah 34 buah sekolah berasrama penuh, 10 sekolah menengah biasa, 20 sekolah menengah kebangsaan agama, 10 sekolah menengah teknik, 14 MRSM, sembilan sekolah menengah agama negeri, sebuah maktab tentera dan empat sekolah swasta.

Beliau juga berpuas hati dengan pencapaian kelulusan bagi peperiksaan SPVM yang meningkat sebanyak 3.7 peratus, iaitu 84.7 peratus berbanding 81.0 peratus pada tahun 1997.

Menurut Najib, daripada 9,486 calon SPVM, seramai 2,449 pelajar atau 26.3 peratus mendapat pangkat satu manakala 2,889 (31.0 peratus) mendapat pangkat dua sementara 2,552 (27.4 peratus) mendapat pangkat tiga.

Di samping itu, kata Najib, 25 buah sekolah aliran vokasional mencapai keputusan lulus melebihi 90 peratus dan buat pertama kalinya sebuah sekolah yang menawarkan calon SPVM mencapai kelulusan 100 peratus, iaitu Sekolah Menengah Teknik Segamat, Johor.

Najib berpuas hati dengan prestasi keputusan kedua-dua peperiksaan itu dan merakamkan penghargaan kepada guru-guru yang telah berkhidmat dengan penuh gigih.

Oleh: SOPHA SULAIMAN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4RPT6v9Ax © Utusan Melayu (M) Bhd

Rizal buktikan anak Malaysia boleh

ARKIB : 02/04/1999
KUALA LUMPUR 1 April - Keyakinan bahawa anak Malaysia mampu menandingi kebolehan pelajar-pelajar asing, mendorong Mohamad Rizal Mohamad Radzi, 22, menamatkan kursus profesional perakaunan di luar negara dalam masa empat setengah tahun.

Rizal yang baru menghabiskan pengajian di Kolej Perakaunan dan Perniagaan Dublin, Ireland (ABC Dublin) akhir tahun lepas sepatutnya menghabiskan kursus tersebut dalam tempoh enam hingga tujuh tahun.

''Saya terpaksa bekerja keras untuk menamatkan kursus ini dalam tempoh yang lebih singkat dan berkat ketabahan saya menghadapi cabaran belajar di luar negara akhirnya saya berjaya,'' kata Rizal di sini, hari ini.

Terdahulu Rizal yang diiringi oleh bapanya Mohamad Radzi Awang menerima penghargaan daripada Pengerusi Mara, Ruhanie Ahmad berikutan pencapaian cemerlangnya itu.

Ruhanie juga merupakan Pengerusi Yayasan Pelajaran Mara (YPM) iaitu kolej yang bertanggungjawab mengendalikan kursus profesional perakaunan di negara ini dengan kerjasama ABC Dublin.

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara Perlis itu pada mulanya bercita-cita untuk menjadi pakar bedah saraf tetapi tidak dapat meneruskannya berikutan keputusan mata pelajaran Matematik Tambahan yang kurang memberangsangkan.

Beliau yang memperoleh pangkat satu dengan 16 agregat dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kemudian memilih untuk mengikuti kursus perakaunan di YPM.

Selepas tiga tahun mengikuti kursus di peringkat diploma di YPM, Rizal memilih untuk mengambil kursus profesional dalam bidang perakaunan di Dublin.

Menurutnya, daripada 60 pelajar tajaan Mara, Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) dan Kumpulan DRB-Hicom, hanya 30 pelajar layak meneruskan pengajian ke peringkat profesional.

Beliau berkata, program perakaunan anjuran YPM-ABC Dublin begitu menarik dan para pensyarah yang terlibat mengendalikan program tersebut di Malaysia dan Dublin adalah berkaliber.

Rizal berkata, beliau telah ditawarkan pekerjaan di firma perakaunan di Dublin dan akan menyambung pengajian di peringkat sarjana dengan pembiayaannya sendiri.

''Saya mungkin akan menerima tawaran tersebut untuk membuktikan rakyat Malaysia boleh bekerja di luar negara, di samping mengumpul wang untuk membiaya pelajaran,'' katanya yang akan kembali ke Dublin akhir bulan ini.

Sementara itu Ruhanie yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong dalam ucapan ringkasnya melahirkan perasaan bangga di atas kejayaan Rizal.

Beliau berkata, Mara sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatannya terhadap para pelajar terutamanya yang sedang menuntut di luar negara.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Presiden ABC, Diarmuid Moroney.

Oleh: NORAINI ABDUL RAZAK

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_04.htm#ixzz4RPPmUyIE © Utusan Melayu (M) Bhd

SAS catat sejarah 113 dapat gred 1


 

ARKIB : 02/04/1999
PARA pelajar SAS bersorak riang setelah berjaya mencapai keputusan 100 peratus pangkat satu SPM 1998 di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 1 April - Sekolah Alam Shah (SAS) di sini mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya, kesemua 113 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1998 sekolah itu mendapat pangkat satu.

Agregat terendah yang dicatat ialah 21.

Selama dua tahun berturut-turut, pada SPM 1996 dan 1997, sekolah itu kecewa kerana gagal mencatat rekod secemerlang SPM 1998.

Penolong pengetuanya, Mohd. Idrus Abd. Hamid bersyukur dengan pencapaian itu dan menyifatkannya sebagai satu cabaran kepada warga sekolah termasuk guru-guru, kakitangan sokongan, ibu bapa dan pelajar untuk mengekalkan rekod.

''Kini setelah berjaya mencapainya, kami berazam untuk mengekalkan prestasi berkenaan pada masa-masa yang akan datang,'' katanya.

Katanya, selain sistem mentor dan latih tubi, di bawah program Muridku Sayang (MKS), setiap guru dipertanggungjawabkan mengawasi sekumpulan pelajar yang terkebelakang dari segi akademik turut banyak membantu kejayaan itu.

Kejayaan berkenaan juga katanya, telah membuktikan kepada ibu bapa bahawa penglibatan anak-anak mereka di dalam kegiatan kokurikulum sebenarnya memberi kesan positif kepada akademik anak-anak.

Pelajar terbaik, Nazri Idzlan Abd. Malek yang mendapat 9A1 menyifatkan sikapnya yang meletakkan ibu bapa dan guru-guru sebagai insan teratas yang perlu dihormati, adalah rahsia besar kejayaannya.

''Saya tidak akan selesa untuk belajar sekiranya menyedari telah melakukan perkara-perkara yang boleh mengecewakan mereka walaupun tanpa disengajakan,'' katanya.

Dia berhasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Petroleum di United Kingdom.

Rakan sekelasnya, Ridzuan Zulkifli, yang memperoleh 8A1 berkata, sikap bantu membantu sesama rakan terutama yang lemah di dalam mata pelajaran tertentu merupakan salah satu faktor kejayaannya.

''Contohnya, kalau saya mahir subjek Matematik, saya akan mengajar beberapa orang kawan yang agak lemah di dalam mata pelajaran tersebut dan begitulah sebaliknya,'' katanya.

Seorang lagi pelajar 8A1, Mohd. Husni Abd. Raof berpegang kepada formula DUIT iaitu doa, usaha, istiqomah dan tawakal bagi mengejar cita-citanya untuk muncul pelajar cemerlang.

''Orang kata, kalau ada wang, semua boleh jadi. Begitu juga dengan formula DUIT yang saya cipta untuk memotivasikan diri sendiri,'' katanya.

Nornikman Shah Nordin yang juga memperoleh 8A1 berpendapat, tiada jalan mudah bagi seseorang pelajar untuk menempa sesebuah kejayaan.

Di Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS), pelajar terbaiknya yang memperoleh 7 agregat, Mohd. Nazrul Alias mahu menjadikan kejayaan tersebut sebagai dorongan kepada adik-adiknya yang masih kecil.

''Sebagai anak sulung, saya harus menunjukkan teladan yang baik untuk dicontohi oleh lima adik saya,''katanya.

Pelajar terbaik Sekolah Menengah Teknik, Cheras, Lim Tseng Yang yang memperoleh 7A1 mengucapkan jutaan terima kasih di atas sokongan berterusan para guru dan keluarganya sepanjang tahun lalu sehingga membuahkan kejayaan cemerlang.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4RPONyfKV © Utusan Melayu (M) Bhd

Operasi kedua NATO -- Serangan udara terhadap pasukan keselamatan Yugoslavia diperhebat

ARKIB : 29/03/1999
BRUSSELS 28 Mac - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengisytiharkan akan memperhebatkan serangan udaranya terhadap pasukan keselamatan Yugoslavia dengan melancarkan serangan fasa kedua.

Setiausaha Agung NATO, Javier Solana berkata, beliau telah mengarahkan pemerintah tertinggi pakatan ketenteraan itu, Jeneral Wesley Clark, ''melancarkan operasi udara lebih meluas terhadap Republik Persekutuan Yugoslavia.''

Sasaran NATO dalam serangan kali ini ialah tentera Yugoslavia di dalam dan sekitar Kosovo. Ini berikutan serangan balas sengit oleh tentera Yugoslavia, termasuk menembak jatuh pesawat tercanggih yang mempunyai rekod tempur terbaik, Stealth F-117, milik Amerika Syarikat.

Menurut para diplomat, fasa kedua itu dijangka membawa sehingga fasa kelima sekiranya Presiden Yugoslavia, Slobodan Milosevic, masih berdegil enggan menandatangani perjanjian damai Kosovo serta tidak menghentikan keganasan ke atas penduduk etnik Albania.

Serangan itu memerlukan penggunaan pesawat yang terbang rendah, pesawat pemusnah kereta kebal dan helikopter.

Jurucakap NATO, Jamie Shea berkata, kereta perisai, meriam dan pusat-pusat pemerintahan tentera Yugoslavia akan dijadikan sasaran serangan.

Dalam kenyataannya ketika mengumumkan operasi fasa kedua itu, Solana berkata:

''Saya mengambil keputusan ini dengan sokongan semua kerajaan anggota, yang bertekad menghentikan keganasan di Kosovo dan mencegah malapetaka kemanusiaan yang seterusnya.

''Dengan matlamat itu, operasi secara lebih meluas akan membolehkan para pemerintah tentera NATO meningkatkan tindakan mereka terhadap pasukan keselamatan Yugoslavia.''

Ini bermakna serangan fasa kedua akan memasuki dimensi baru kerana serangan sebelum ini hanya terhad kepada kemudahan tentera.

Kira-kira 90 kemudahan tentera termasuk sistem pertahanan udaranya telah diserang oleh NATO sejak Rabu lalu.

Dalam pada itu, NATO turut menyatakan kebimbangannya tentang laporan-laporan bahawa tentera Serb membunuh, mengganggu dan mengacau etnik Albania di Kosovo.

Para perwakilan politik Tentera Pembebasan Kosovo (KLA) menyambut baik serangan udara NATO yang kini memasuki hari keempat tetapi menggesa supaya tentera darat NATO segera campur tangan.

''Kami mengalu-alukan serangan itu tetapi kami menuntut tentera darat NATO datang ke Kosovo secepat mungkin,'' kata jurucakap KLA.

NATO menyatakan baru-baru ini ia tidak mempunyai rancangan untuk menghantar askarnya ke Kosovo.

Sumber-sumber etnik Albania di Kosovo menyatakan keganasan tentera Serb terhadap mereka semakin meningkat sejak NATO melancarkan serangan udaranya.

Perwakilan politik KLA, Bardhyl Mahmuti berkata, 70 orang telah terbunuh dalam dua rumah di bandar Djakovica.

Beliau berkata kerajaan Yugoslavia menjalankan ''pembersihan etnik'' dan terdapat banyak kes di mana kaum lelaki di bunuh di hadapan anak-anak mereka.

Seorang wanita etnik Albania di bandar Pristina, ibu negeri Kosovo, merayu pertolongan kepada seorang saudaranya di luar negara ketika dihubungi menerusi telefon.

''Lakukan sesuatu untuk kami sekarang atau lupakan kami buat selama-lamanya.''

NATO berkata, kekejaman itu memang telah lama dirancang oleh Presiden Yugoslavia, Slobodan Milosevic, dan bukannya disebabkan oleh serangan pakatan ketenteraan Atlantik Utara itu.

Jurucakap NATO berkata, mereka yang didapati bertanggungjawab terhadap kekejaman itu akan dianggap sebagai penjenayah perang dan dihadapkan di hadapan Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas Yugoslavia di The Hague. - Reuters

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4ROkoLRyx © Utusan Melayu (M) Bhd

UIA: Idea Dr. Mahathir

ARKIB : 27/03/1999
UIA: Idea Dr. Mahathir

TERSERGAM indah sebahagian daripada kompleks bangunan kampus UIAM di Jalan Gombak, Kuala Lumpur.

CADANGAN untuk menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) lahir daripada idea Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 12 Januari 1982. Namun, idea untuk menubuhkan universiti itu telah pun dikemukakan oleh beliau pada Konvensyen Pendidikan Muslim Sedunia Pertama di Mekah pada tahun 1977.

Sehubungan itu, pada 12 Februari 1982, satu kertas kerja mengenai penubuhan universiti itu disediakan dan dipersetujui oleh Perdana Menteri. Perkara itu kemudian dibawa ke mesyuarat kabinet dan turut mendapat restu kabinet.

Selepas itu, sebuah pasukan petugas dibentuk untuk menyelaraskan penubuhan UIAM.

Pengarah Pejabat Perhubungan Awam UIAM, Mohd. Razif Mamat berkata, cadangan itu juga mendapat perhatian negara lain dan beberapa negara dari pertubuhan Islam bersetuju menaja bersama universiti itu.

Menurutnya, usaha ke arah menjadikan penubuhan UIAM satu realiti dilakukan sepanjang tahun 1983. Beliau berkata UIAM ditubuhkan secara rasmi pada 10 Mei 1983 manakala pada 27 Mei 1983, mesyuarat pertama Lembaga UIAM diadakan.

''Sejarah penubuhan UIAM terus dicatat apabila pada 1 Julai 1983, Sultan Pahang dilantik sebagai Ketua Perlembagaan UIAM pertama. Pengambilan pelajar pertama UIAM pula diadakan pada 15 Julai 1983 melibatkan 153 pelajar dan empat tahun kemudian, mereka menjadi kumpulan pertama menamatkan pengajian di UIAM,'' katanya kepada Utusan.

Perkembangan menarik sepanjang penubuhan universiti itu terus berlaku apabila pada 3 September 1983, Tun Hussien Onn dilantik sebagai Presiden UIAM dan senat universiti ditubuhkan tiga belas hari kemudian.

Menurutnya, penaja bersama penubuhan UIAM ialah kerajaan Malaysia, Maldives, Bangladesh, Libya, Pakistan, Turki, Mesir, Arab Saudi dan Pertubuhan Persidangan Islam. Mengenai objektif penubuhan UIAM, Mohd. Razif berkata, universiti itu ditubuhkan untuk menghidupkan kembali konsep pembelajaran secara Islam.

''Konsep itu menghendaki pelajar menganggap menuntut ilmu pengetahuan sebagai ibadah sebagaimana yang dianjurkan oleh kitab suci al-Quran,'' katanya.

Beliau menjelaskan, universiti itu juga ditubuhkan untuk memperkukuhkan kembali keunggulan Islam dalam segenap bidang ilmu sejajar tradisi Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh ulama dan ahli fikir Islam.

Selain itu, kewujudan UIAM di Malaysia bertujuan mengembalikan kesedaran tradisi pengajian Islam secara klasik iaitu ilmu pengetahuan disebar dan dituntut dengan semangat mentauhidkan diri kepada Allah s.w.t.

Menurutnya, objektif lain ialah meluaskan bidang pilihan kepada umat Islam dalam pengajian tinggi.

''Untuk mencapai objektif itu, UIAM menawarkan kursus pengajian peringkat ijazah sarjana muda dan ijazah tinggi yang diiktiraf dalam pelbagai bidang pengajian. Sebab itulah, bidang pengajian yang ditawarkan tidak terhad kepada kursus-kursus Islam dan teologi Islam sahaja,'' katanya.

Selain itu, konsep pembelajaran dan pengajaran akademik, penyelidikan dan program perkembangan pelajar juga berprinsipkan Islam. Ciri-ciri Islam dapat dilihat pada pelaksanaan prinsip pendidikan Islam secara keseluruhan di universiti itu.

Katanya, adalah perlu bagi pelajar dan kakitangan UIAM mematuhi cara hidup Islam ketika menjadi warga kampus. Malah pelajar dan kakitangan bukan Islam juga perlu menghormati peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam ketika berada di kampus.

Selepas kira-kira 16 tahun UIAM ditubuhkan, universiti itu kini semakin berkembang sejajar perubahan masa.

''Jumlah pelajar pada hari ini ialah 13,162 orang termasuk 1,623 pelajar asing dari 94 buah negara. UIAM kini mengeluarkan 3,000 graduan setahun dan kebanyakan mereka tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan pekerjaan,'' ujarnya.

Pelajar itu kini ditempatkan di kampus UIAM di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Kuala Terengganu, Kuliyyah Perubatan UIAM, Kuantan, Pusat Matrikulasi UIAM di Lembah Pantai, Petaling Jaya dan kampus induk di Gombak.

Beliau berkata, selepas 10 tahun ditubuhkan, UIAM kemudian mengorak langkah baru dengan memulakan episod pembangunan universiti.

''Pada tahun 1993, satu projek besar melibatkan pembangunan kampus induk di Gombak bermula dan pembangunan fasa pertama siap pada akhir Jun 1997,'' katanya. Pembangunan fasa kedua bermula pada tahun 1996 dan fasa seterusnya akan dilakukan secara berperingkat sehingga tahun 2005.

''Pembangunan kampus Gombak menelan belanja kira-kira RM1.2 bilion manakala Kuliyyah Perubatan UIAM Kuantan pula bernilai RM208.597 juta. Sebuah Kampus Pendidikan UIAM juga akan dibangunkan di Gombak dan pembangunan kampus itu memakan belanja RM15.034 juta,'' katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan kampus Gombak, Mohd. Razif menjelaskan kampus seluas 287.3 hektar itu direka bentuk bagi menampung 15,000 pelajar.

Reka bentuk bangunan bercirikan Islam di kampus Gombak sesuai dengan objektif penubuhan unversiti itu. Seperti universiti lain, UIAM juga menyediakan pelbagai kemudahan seperti antaranya, perpustakaan, masjid, Kompleks Pusat Pentadbiran Utama, Pusat Penyelidikan, kompleks sukan, perumahan untuk pelajar bujang dan kelamin, perumahan kakitangan, Rumah Tetamu, Rumah Kelab, Pusat Pendidikan Lanjutan, Pusat Kebudayaan dan Aktiviti, Pusat Perkhidmatan Perubatan, Pusat Komersial mengandungi kemudahan perkhidmatan bank, kedai dan lain-lain, kafeteria dan Pusat Penjagaan Kanak-Kanak untuk anak-anak kakitangan.

Mohd. Razif berkata, sebanyak 490 unit pangsapuri didirikan untuk perumahan kelamin.

''Pangsapuri itu boleh memuatkan 1,000 pelajar yang sudah berkahwin manakala 110 unit pangsapuri juga didirikan untuk kakitangan UIAM,'' katanya.

Selain itu, beberapa jenis rumah juga disediakan untuk 400 kakitangan akademik dari luar negara yang berkhidmat di UIAM. Kampus Gombak kini menempatkan pelajar Kuliyyah Kejuruteraan, Ekonomi dan Pengurusan, Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu & Sains Kemanusiaan, Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar.

''Apabila siap sepenuhnya, kampus UIAM Gombak akan menempatkan semua kuliyyah kecuali matrikulasi yang kekal di kampus UIAM di Lembah Pantai dan Petaling Jaya manakala perubatan di Kuantan,'' katanya.

Sejarah ringkas penubuhan UIAM

12 Januari 1982 - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan UIAM ditubuhkan.

12 Februari 1982 - Kertas-kerja mengenai penubuhan UIAM dipersetujui oleh Perdana Menteri dan direstui oleh kabinet.

10 Mei 1983 - UIAM ditubuhkan dengan rasmi.

20 Mei 1983 - UIAM menerima perintah penubuhan daripada Yang Di-Pertuan Agong

27 Mei 1983 - Mesyuarat Pertama Lembaga UIAM diadakan.

1 Julai 1983 - Sultan Pahang dilantik sebagai Ketua Perlembagaan UIAM pertama.

15 Julai 1983 - Pengambilan pertama pelajar UIAM melibatkan 153 orang.

3 September 1983 - Tun Hussein Onn dilantik sebagai Presiden UIAM pertama.

16 September 1983 - Senat universiti ditubuhkan.

Oleh: ROHANA MAN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4ROeIYPuJ © Utusan Melayu (M) Bhd