Sabtu, 12 November 2016

Pak Lah menteri luar paling berjaya

ARKIB : 27/01/1999
PADA hari Isnin 11 Januari, 1999, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meninggalkan jawatan menteri luar setelah hampir 8 tahun memegang terajunya.

Sungguhpun diberi tugas yang baru, namun beliau telah meninggalkan satu jawatan yang penuh dengan 'sentuhannya' dan sukar ditandingi. Beliau berada di Kementerian Luar sewaktu dasar luar Malaysia memasuki tempoh waktu yang paling terbuka, progresif dan memberangsangkan.

Dengan berkat visi (wawasan) dan misi (mision) yang dipeloporkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, Abdullah yang lebih mesra dipanggil Pak Lah telah berjaya mengemudi dan melaksanakan dasar-dasar dan yang paling berjaya dalam sejarah hubungan antarabangsa Malaysia.

Pada waktu ini, Malaysia dapat menunjukkan taringnya dalam memperjuang hak asasi manusia dan kebajikan umat Islam dan masyarakat Dunia Ketiga serta seluruh dunia. Tidak sia-sia dan kena pada tempatnya bila pengarang buku pernah melambangkan beliau sebagai ''pejuang kemanusiaan sejagat'' dalam buku dengan judulnya sama. Malah hari ini kita tahu dan pasti bahawa Pak Lah adalah lebih daripada itu.

Kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada Pak Lah apabila diserahkan dengan tugas baru yang mencabar ini dipercayai terbit dari rekod perkhidmatan dan perwatakan beliau yang cemerlang. Malah pengalaman beliau datang pada waktu arus globalisasi memudarkan sempadan negara bangsa. Ini akan menolong Malaysia dan UMNO.

Negara-negara lain di dunia pada waktu ini pun sedang meminta pengalaman daripada Menteri Luarnya dalam mentadbirkan kerajaan masing-masing.

Contohnya, Perdana Menteri Rusia, Yevgeny Primakov, Perdana Menteri Jepun Keizo Obuchi, serta Edward Shevernandze Presiden Georgia adalah bekas Menteri Luar.

Sememangnya percaturan politik Perdana Menteri sangat bijak dan berani. Sewaktu Malaysia dan UMNO sedang mencari ketenangan beliau memilih seorang yang dianggap sebagai ''diplomat di kalangan ahli-ahli diplomat'' (diplomat's diplomat) untuk mewujudkan perpaduan dan merapatkan barisan dalam UMNO dan Barisan Nasional demi menghadapi pilihan raya sebelum bulan April 2000.

Pemilihan Pak Lah untuk menerajui jawatan yang kedua penting dalam negara membawa imej baru. Pak Lah mencerminkan watak seorang yang selalu 'rendah diri', 'sederhana' dalam tindakan dan percakapan.

Sehari sebelum dilantik, beliau pernah berkata dalam ceramah sebelum bersembahyang tarawih bahawa perjuangan ini adalah ''ketakwaan kepada Allah'' yang tidak terputus-putus.

Sumbangan beliau tidak ternilai dan kemuncak dari sentuhan diplomasinya, beliau telah membolehkan Malaysia memenangi kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk tahun 1999-2000. Asia sebulat suara secara menyokong Malaysia dan diakhiri pengundian Malaysia mendapat undi terbanyak.

Kejayaan ini mencermin populariti Pak Lah dan keuntungan Malaysia menjadi jurucakap dunia ketiga dan dunia Islam. Di bawah tunjuk ajar Perdana Menteri beliau telah meletakkan Malaysia ke tahap yang paling disegani seantero dunia.

Sebagai pelaksana dasar luar yang prihatin dan berdisiplin, Pak Lah telah berjaya mengantarabangsakan isu Bosnia dan Kosovo serta Somalia. Beliau bersama Malaysia telah mengangkat masalah ini sebagai masalah dunia yang perlu ditangani segera.

Usaha sesetengah pihak seperti NATO dan negara-negara Eropah mewilayahkannya dapat ditangkis dengan baik. Malah Malaysia dapat menunjuk kepada dunia bahawa negara yang kecil ini boleh menghantar tentera dan polis untuk kerja-kerja keamanan di Bosnia.

Pencapaian Pak Lah yang ketiga besarnya ialah dengan mendedahkan kepada dunia Islam yang cerah (enlightened) progresif, berperikemanusiaan dan propembangunan. Sedikit sebanyak beliau telah meningkatkan martabat Islam di mata dunia terutama Barat.

Prasangka lama sedikit demi sedikit mulai terhakis. Malah Pak Lah pernah berkata bahawa ''kejayaan Malaysia sebagai negara Islam yang mengamal pembangunan berimbang'' dan ''tolaransi antara kaum dan agama'' amat diiktiraf dunia . Dunia hari ini melihat Islam dengan mata terbuka.

Antara Bosnia, Kosovo dan Somalia serta daerah-daerah lain di dunia, Pak Lah telah membangkitkan kesedaran dunia terhadap Islam. Tak dapat disangkal bahawa beliau adalah pejuang Islam antarabangsa melalui diplomasi dan runding cara. UMNO dan Islam Malaysia bertuah mempunyai seorang pejuang Islam yang telah berbakti kepada dunia.

Sumbangan Pak Lah terhadap rantau ini terutama ASEAN tidak ada tolok bandingnya. Beliau adalah tokoh diplomat yang sangat disegani. Sentuhan beliau telah dapat merealisasikan aspirasi ASEAN sepuluh iaitu kemasukan Myanmar, Vietnam dan Kemboja. Akhir sekali Kemboja dapat masuk selepas mesyuarat di Hanoi pada akhir tahun lepas 1998.

Sewaktu ASEAN dilanda oleh kegawatan ekonomi beliau telah dapat menyatukan sebuah pandangan ASEAN yang bersatu mengenai peri pentingnya struktur baru kewangan dunia.

Malah pendirian Malaysia menolak resipi dari IMF dapat dijelaskan dengan baik kepada rakan-rakan ASEAN. Apabila Malaysia mengambil tindakan mengawal mata wang ringgit dan pengaliran modal, Pak Lah dapat meyakinkan ASEAN.

Sewaktu ada usaha-usaha untuk menukar pendirian ''tidak campur tangan dalam hal ehwal negera orang lain'' Malaysia dan Pak Lah dapat menangkis dengan cermat dan sopan. Akhirnya diplomasi secara senyap lebih berjaya. Negara-negara yang cuba 'campur tangan' dalam hal politik Malaysia terpaksa akur dengan kebenarannya. Dan sekali lagi sentuhan Pak Lah terserlah.

Ini membawa kita kepada perkara yang kelima pentingnya tapi bukan yang terakhir. Pak Lah telah meletakkan ekonomi sebagai tonggak dasar luar Malaysia terutama dalam hal yang ada hubungan dengan selatan-selatan. Sesuai dengan peranan Dr. Mahathir sebagai wira dan jurucakap Dunia Ketiga; Pak Lah sebaliknya melaksanakan dasar luar dengan licin, sopan dan teratur, dagangan antara negara-negara selatan dengan Malaysia meningkat dengan mendadak.

Kejayaan Pak Lah adalah sebahagian daripada kejayaan Malaysia. Apabila Malaysia, Islam dan ASEAN diterima dunia ia adalah sebahagian daripada usaha-usaha Pak Lah. Namun apa yang ada pada Pak Lah adalah sebahagian dari aset yang Malaysia boleh banggakan.

Imej baru yang cuba diterapkan oleh Perdana Menteri sudah lama dirasakan di kalangan diplomat Malaysia. Kita sebenarnya memiliki seorang pemimpin yang lembut, sederhana dan tidak serakah (unselfish).

Beliau sentiasa mempunyai niat baik terhadap orang lain. Ciri-ciri ini akan dapat merapatkan barisan dalam UMNO; terutama sewaktu UMNO sangat-sangat memerlukannya. Kejayaannya sebagai seorang diplomat lahir dari latar belakang sebagai anak seorang Tok Guru. Ini diperkuatkan dengan pendidikan agama di peringkat universiti. Setelah terdedah dengan keluarga politik dari awal hidupnya membolehkan beliau menjadi pejuang bangsa yang amat disegani.

Sesiapa saja yang menemui beliau akan merasakan dirinya sebagai manusia yang terpenting. Beliau selalu mengangkat martabat orang lain ke tahap yang teratas. Sebaliknya, beliau tidak pernah ada prasangka buruk terhadap orang lain. Tepat sekali gambaran seorang peruncit di tengah-tengah Chow Kit, Kuala Lumpur; yang berkata apabila melihat air muka Pak Lah; ''Ia berseri, bersih, lembut dan sejuk mata memandang.''

Sebagai penganalisis politik, saya berpendapat bahawa UMNO dan Malaysia sangat bertuah memperoleh Pak Lah sebagai pemimpin, pejuang dan pentadbir bangsa, negara dan agama. Perdana Menteri telah memberi hadiah Hari Raya yang paling berharga dan tidak ternilai kepada rakyat. Pak Lah adalah Menteri Luar Malaysia yang paling berkesan dan berjaya.

Sebutir nilam dari Pulau Mutiara sedang membawa sinar baru untuk Malaysia dan rakyatnya.

Oleh: PROF. HASHIM HUSSIN YAAKOB

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz4PrIsbtG9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan