Jumaat, 4 November 2016

SPMV dimansuhkan -- IT mata pelajaran baru dalam sistem terbuka SPM

ARKIB : 09/10/1998
KUALA LUMPUR 8 Okt. - Kementerian Pendidikan hari ini mengumumkan bahawa Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) akan dimansuhkan mulai tahun depan, seiring dengan pelaksanaan sistem pensijilan terbuka Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2000.

Menterinya Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ekoran pemansuhan tersebut, mata pelajaran dalam pendidikan vokasional ini akan diserapkan ke dalam senarai 12 pakej yang ditawarkan dalam sijil terbuka SPM.

Di bawah sistem sijil terbuka, sijil SPM tidak lagi menggunakan perkiraan agregat dan pangkat, sebaliknya gred pencapaian akan ditunjukkan bagi mata pelajaran yang lulus sahaja.

Salah satu daripada mata pelajaran yang ditawarkan dalam pakej tersebut termasuklah mata pelajaran baru iaitu Teknologi Maklumat (IT).

Kata Najib, pemansuhan SPMV tidak bererti sekolah vokasional dihapuskan.

''Perubahan penting dalam pelaksanaan sistem pensijilan terbuka ialah menyepadukan peperiksaan SPMV di bawah satu payung sistem peperiksaan penamat iaitu SPM.

''SPMV dimansuhkan dan semua mata pelajaran vokasional dimasukkan dalam senarai pakej SPM sepertimana bagi mata pelajaran aliran agama dan teknikal,'' katanya ketika menyampaikan ucap utama mengenai sistem baru itu di Seminar Pensijilan Terbuka SPM, anjuran Lembaga Peperiksaan Malaysia di sini, hari ini.

Kini terdapat 69 buah sekolah vokasional di seluruh negara ini. Pendidikan vokasional diwujudkan antara lain untuk menghasilkan pelajar yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan asas dalam bidang teknikal.

Menjelaskan mengenai sistem baru itu Najib berkata, pelajar yang menduduki tingkatan empat mulai tahun depan akan ditawarkan 12 pakej gabungan mata pelajaran.

Melalui sistem baru itu, calon perlu memilih satu pakej yang terdiri daripada enam mata pelajaran teras dan bebas mengambil mata pelajaran elektif mengikut minat dan kemampuan masing-masing.

Enam mata pelajaran teras itu ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Agama Islam atau Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik dan Sains.

Najib menambah, pada prinsipnya semua pakej boleh ditawarkan di semua sekolah tetapi penawarannya bergantung kepada keupayaan sesebuah sekolah itu.

''Skop kombinasi pakej yang luas disediakan bagi memberi banyak pilihan kepada pelajar dengan mengambil kira minat dan kebolehan mereka,'' katanya.

Melalui sistem baru itu juga katanya, syarat minimum pemberian sijil ialah lulus Bahasa Melayu.

Sebelum cadangan pensijilan terbuka SPM, sistem yang hampir sama telah diperkenalkan bagi peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada tahun 1982 dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 1993.

Najib berkata, perubahan secara revolusi kepada sistem peperiksaan itu merupakan persediaan negara menghadapi abad ke-21 dan sebagai asas kepada pembentukan masyarakat berilmu dan berbudaya saintifik.

Sejajar dengan sasaran menentukan nisbah pelajar sains dan teknologi mencapai 60 peratus, penawaran pakej ke sekolah akan ditentukan berdasarkan kemampuan dan matlamat sesebuah sekolah didirikan.

Katanya, sekolah-sekolah berasrama penuh boleh menawarkan pakej sains tulen, teknologi maklumat dan sains teknikal manakala sekolah biasa boleh menawarkan pakej sains tulen, sastera ikhtisas, sains tambahan, kemanusiaan, sains teknikal dan sains-sastera ikhtisas.

''Sistem pensijilan terbuka itu mempunyai ciri-ciri positif kerana ia lebih fleksibel, tidak terlalu membebankan pelajar lemah dan boleh memberi rangsangan kepada pelajar yang pandai dan bermotivasi tinggi,'' katanya.

Pensijilan terbuka juga memberi peluang pelajar membaiki keputusan mata pelajaran tertentu melalui kaedah tampalan (patching) iaitu mengulang hanya bahagian mata pelajaran yang gagal tanpa perlu mengambil semula keseluruhan mata pelajaran itu.

Sebagai contoh pelajar yang gagal ujian lisan mata pelajaran bahasa Melayu hanya perlu mengulang ujian lisan dan bukan keseluruhan mata pelajaran itu.

Najib memberi jaminan sistem baru itu tidak akan menurunkan taraf sijil SPM di peringkat antarabangsa kerana perubahan hanya melibatkan pelaporan agregat dan pangkat keseluruhan.

''Kurikulum, sukatan pelajaran, kertas ujian, taraf penyoalan serta penentuan piawai mata pelajaran masih dikekalkan,'' jelasnya.

Oleh: MARHAINI KAMARUDDIN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4P5Li71mq © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan