Selasa, 29 November 2016

PTPTN ambil alih urus pinjaman IPT

ARKIB : 10/04/1999
KUALA LUMPUR 9 April - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Kementerian Pendidikan akan mengambil alih fungsi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memberikan pinjaman kepada para pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) mulai sesi pengajian tahun ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkata, bermula pada sesi pengajian 1999/2000 fungsi pemberian pinjaman itu akan dipindahkan daripada Bahagian Latihan JPA ke PTPTN dengan peruntukan tambahan dari kerajaan sebanyak RM900 juta.

''Pemindahan fungsi ini bermakna JPA tidak lagi akan menyediakan pinjaman kewangan kepada pelajar-pelajar IPT,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata Najib, pelajar-pelajar yang sudah diluluskan pinjaman pendidikan oleh JPA akan terus dibiayai oleh badan itu sehingga mereka tamat pengajian.

Selepas ini, kata beliau, JPA hanya akan menyediakan pembiayaan dalam bentuk biasiswa dengan jumlah yang terhad kepada pelajar-pelajar dalam bidang tertentu selaras dengan keperluan negara.

Beliau menjelaskan, pemindahan fungsi itu dibuat ekoran keputusan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang mahukan semua urusan berkaitan dengan pinjaman pendidikan dipusatkan kepada satu badan sahaja bagi mengelakkan pertindihan.

''Oleh kerana sudah ada satu badan khas (PTPTN) ditubuhkan untuk melaksanakan program pinjaman, jadi MTEN buat keputusan supaya lebih baik segala urusan pinjaman pendidikan dipusatkan kepada sebuah badan sahaja,'' jelasnya.

Kata beliau, pemindahan fungsi itu bagaimanapun tidak melibatkan peranan Mara serta agensi-agensi kerajaan negeri seperti yayasan dan lembaga biasiswa negeri.

Mengulas mengenai langkah kerajaan memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM900 juta kepada PTPTN, Najib berkata, perkara itu dilakukan ekoran bertambahnya jumlah pelajar yang layak ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Beliau memberitahu, penambahan peruntukan itu juga bagi memastikan ibu bapa berpendapatan rendah dan sederhana tidak menghadapi masalah pembiayaan pendidikan untuk anak-anak mereka.

''Dengan peruntukan tambahan itu menjadikan peruntukan keseluruhan kepada PTPTN untuk tempoh Rancangan Malaysia Ke-7 sebanyak RM1.526 bilion,'' katanya.

Untuk tahun ini, menurut Najib, kira-kira RM689.3 juta akan digunakan bagi membiayai 63,708 pelajar di 11 buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan empat institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam dua peringkat pengajian iaitu program ijazah pertama dan diploma.

Menurut beliau, permohonan untuk mendapatkan pinjaman itu boleh dibuat sebaik sahaja pelajar-pelajar diterima masuk oleh IPT terbabit.

Najib memberitahu, empat IPTS yang pelajar mereka layak memohon pinjaman dari PTPTN ialah Universiti Telekom (Unitele), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar).

Sementara itu, katanya, pelajar-pelajar di IPTS bertaraf kolej yang mendapat pengiktirafan dari Lembaga Akreditasi Negara (LAN) tidak termasuk dalam skim ini dan mereka boleh mendapatkan pembiayaan melalui Mara.

Menurut beliau, jumlah pinjaman yang diberikan kepada pelajar-pelajar IPTA sama seperti sebelum ini iaitu RM7,000 setahun untuk aliran sains dan RM6,500 sastera.

Bagi IPTS pula, kata beliau, Kementerian Pendidikan telah mengambil keputusan menaikkan jumlah pinjaman dari RM12,500 kepada RM16,500 setahun bagi pelajar aliran sains.

Untuk pelajar aliran sastera di IPTS dinaikkan dari RM12,000 kepada RM16,000 setahun dengan tempoh pembayaran balik yang akan dipanjangkan untuk kedua-duanya.

Di samping itu, kata Najib, kementeriannya juga memutuskan untuk meluaskan skim pinjaman kepada pelajar-pelajar di peringkat diploma di IPTA dan IPTS yang melibatkan 15,000 pelajar pada kadar RM5,000 setahun dan bayaran balik 10 tahun.

PTPTN juga, kata beliau, akan meneruskan tanggungjawab yang dipegang oleh JPA iaitu membiayai secara pinjaman untuk anak-anak diplomat yang memasuki kolej-kolej swasta lain termasuk yang mengikuti program 3+0.

Oleh: AZNAN BAKAR

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4RSpQ8C3G © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan