Jumaat, 11 November 2016

Abdullah Timbalan PM -- Dr. Mahathir lepaskan jawatan Menteri Dalam Negeri


 

ARKIB : 09/01/1999
Abdullah Timbalan PM -- Dr. Mahathir lepaskan jawatan Menteri Dalam Negeri
ABDULLAH Ahmad Badawi berjabat tangan dengan Dr. Mahathir Mohamad sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Kuala Lumpur semalam. - Gambar ZULAZHAR SHEBLEE.

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Menteri Luar, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri dalam satu rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di sini lewat petang ini.

Serentak dengan itu, Dr. Mahathir turut melantik Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin sebagai Menteri Kewangan Pertama. Daim turut mengekalkan portfolio yang disandangnya sekarang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Syed Hamid Albar beralih ke Kementerian Luar dan tempatnya diganti oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abang Abu Bakar Mustapha.

Ini merupakan rombakan kabinet pertama dan terbesar selepas pelucutan jawatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah menafikan salah laku seks.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak kekal di portfolio sedia ada.

Dr. Mahathir mengumumkan pelantikan tersebut selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di ibu pejabat parti itu, kira-kira 5 minit sebelum masuk waktu berbuka puasa.

Dengan pengumuman itu bermakna Dr. Mahathir kini hanya memegang jawatan Perdana Menteri sahaja, setelah melepaskan portfolio Menteri Dalam Negeri dan juga Menteri Kewangan Pertama. Bagaimanapun jawatan Menteri Kewangan Kedua kekal dipegang oleh Datuk Mustapa Mohamed.

Dr. Mahathir berkata, pelantikan-pelantikan itu akan berkuat kuasa apabila beliau melaporkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Presiden UMNO itu turut mengumumkan bahawa parti itu tidak mengadakan pemilihan pucuk pimpinan tahun ini yang dijangka diadakan pada Jun.

Beliau juga berkata, jawatan Timbalan Presiden UMNO juga tidak akan diisi sehinggalah pemilihan parti diadakan iaitu dalam tempoh 18 bulan selepas mesyuarat agung parti Jun ini.

Dr. Mahathir berkata, oleh kerana tiada pelantikan Timbalan Presiden dalam masa terdekat, maka ahli-ahli MT sebulat suara berpendapat supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri diisi sekarang.

Sementara itu Abdullah ketika mengulas mengenai pelantikannya itu berkata:

''Saya rasa terharu dan terkejut dengan pelantikan ini kerana rakan-rakan lain yang dipertimbangkan oleh Perdana Menteri juga berkemampuan dan berwibawa.''

Beliau terharu dengan pelantikan itu berjanji akan menjalankan tugas dengan baik dan penuh dedikasi.

Pada masa yang sama, katanya, beliau juga mengharapkan kerjasama daripada rakan-rakan dalam kebinet bagi memenuhi tanggungjawab yang diberikan itu.

Oleh: OTHMAN MOHAMAD dan AZNAN BAKAR

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4Phq6N6Yi © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan