Selasa, 29 November 2016

Rizal buktikan anak Malaysia boleh

ARKIB : 02/04/1999
KUALA LUMPUR 1 April - Keyakinan bahawa anak Malaysia mampu menandingi kebolehan pelajar-pelajar asing, mendorong Mohamad Rizal Mohamad Radzi, 22, menamatkan kursus profesional perakaunan di luar negara dalam masa empat setengah tahun.

Rizal yang baru menghabiskan pengajian di Kolej Perakaunan dan Perniagaan Dublin, Ireland (ABC Dublin) akhir tahun lepas sepatutnya menghabiskan kursus tersebut dalam tempoh enam hingga tujuh tahun.

''Saya terpaksa bekerja keras untuk menamatkan kursus ini dalam tempoh yang lebih singkat dan berkat ketabahan saya menghadapi cabaran belajar di luar negara akhirnya saya berjaya,'' kata Rizal di sini, hari ini.

Terdahulu Rizal yang diiringi oleh bapanya Mohamad Radzi Awang menerima penghargaan daripada Pengerusi Mara, Ruhanie Ahmad berikutan pencapaian cemerlangnya itu.

Ruhanie juga merupakan Pengerusi Yayasan Pelajaran Mara (YPM) iaitu kolej yang bertanggungjawab mengendalikan kursus profesional perakaunan di negara ini dengan kerjasama ABC Dublin.

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara Perlis itu pada mulanya bercita-cita untuk menjadi pakar bedah saraf tetapi tidak dapat meneruskannya berikutan keputusan mata pelajaran Matematik Tambahan yang kurang memberangsangkan.

Beliau yang memperoleh pangkat satu dengan 16 agregat dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kemudian memilih untuk mengikuti kursus perakaunan di YPM.

Selepas tiga tahun mengikuti kursus di peringkat diploma di YPM, Rizal memilih untuk mengambil kursus profesional dalam bidang perakaunan di Dublin.

Menurutnya, daripada 60 pelajar tajaan Mara, Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) dan Kumpulan DRB-Hicom, hanya 30 pelajar layak meneruskan pengajian ke peringkat profesional.

Beliau berkata, program perakaunan anjuran YPM-ABC Dublin begitu menarik dan para pensyarah yang terlibat mengendalikan program tersebut di Malaysia dan Dublin adalah berkaliber.

Rizal berkata, beliau telah ditawarkan pekerjaan di firma perakaunan di Dublin dan akan menyambung pengajian di peringkat sarjana dengan pembiayaannya sendiri.

''Saya mungkin akan menerima tawaran tersebut untuk membuktikan rakyat Malaysia boleh bekerja di luar negara, di samping mengumpul wang untuk membiaya pelajaran,'' katanya yang akan kembali ke Dublin akhir bulan ini.

Sementara itu Ruhanie yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong dalam ucapan ringkasnya melahirkan perasaan bangga di atas kejayaan Rizal.

Beliau berkata, Mara sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatannya terhadap para pelajar terutamanya yang sedang menuntut di luar negara.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Presiden ABC, Diarmuid Moroney.

Oleh: NORAINI ABDUL RAZAK

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_04.htm#ixzz4RPPmUyIE © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan