ARKIB : 09/01/1999
KUALA LUMPUR 8 Jan. -
Pelantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke jawatan Timbalan Perdana Menteri
(TPM) dilihat oleh pelbagai pemimpin sebagai pemilihan yang tepat dan mampu
mengelakkan sebarang kontroversi.
Abdullah yang mesra dengan
panggilan ''Pak Lah'' termasuk di kalangan pengamal media sebelum ini adalah
antara calon paling disebut-sebut mengisi jawatan itu yang kosong sejak 2
September lalu akibat pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden Gerakan, Datuk Seri
Lim Keng Yaik yang mengalu-alukan pelantikan itu berkata, rakyat perlu memberi
masa kepada Abdullah untuk membuktikan kebolehannya memimpin negara melalui
jawatan baru itu.
''Pelantikan ini mempunyai
banyak kebaikan untuk BN dalam usaha memajukan lagi negara ini.
''Kita yakin selepas ini soal
jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak akan dipertikaikan dan ini akan
memudahkan kita untuk menumpukan usaha untuk memenangi pilihan raya akan
datang,'' katanya kepada Utusan ketika dihubungi di sini hari ini.
Presiden MCA Datuk Seri Dr Ling
Liong Sik berkata MCA menyokong penuh pelantikan Abdullah dan menyifatkan
pelantikan itu sebagai amat wajar untuk mengukuhkan kedudukan negara dan
Barisan Nasional pada masa depan.
''MCA amat gembira sekali
dengan pelantikan itu untuk menjamin Malaysia terus mantap terutama dalam
bidang ekonomi.
''Pelantikan itu kerana Dr
Mahathir menganggap Datuk Abdullah adalah paling sesuai berikutan ketokohan
yang ada padanya itu,'' ,'' katanya kepada pemberita pada majlis angkat sumpah
100 orang anggota Wanita MCA Negeri Kedah di Sungai Petani malam ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan
Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, rakyat negeri itu merasa bangga atas pemilihan
Abdullah dan berharap akan mendapat sokongan penuh dari seluruh negara.
Menurutnya, sesuai dengan
pengalaman yang ada pada beliau sejak berkecimpung dalam politik dan UMNO
sekian lama, beliau yakin Abdullah mampu menjalankan tugas dengan lebih
cemerlang.
Timbalan Ketua Menteri Pulau
Pinang, Datuk Sharif Omar berkata, Abdullah memang layak memegang jawatan
tersebut kerana beliau seorang yang berhemah tinggi.
''Pemilihan ini akan dapat
menstabilkan keadaan politik negara dan seterusnya membolehkan tumpuan
diberikan kepada pemulihan ekonomi,'' katanya ketika dihubungi Utusan malam
ini.
Di SEREMBAN, Menteri Besar Tan
Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, pelantikan Abdullah adalah kena tempatnya
kerana beliau adalah seorang pemimpin yang lama dalam UMNO dan seorang
teknokrat yang berpengalaman.
''Badan Perhubungan UMNO Negeri
Sembilan memberi sokongan penuh terhadap beliau sebagai Timbalan Perdana
Menteri dan Menteri Dalam Negeri,'' tegasnya.
Beliau juga menyifatkan
pelantikan Tun Daim Zainuddin sebagai Menteri Kewangan amat tepat kerana beliau
adalah seorang menteri yang berpengalaman.
Katanya, Daim telah membuktikan
kebolehannya semasa negara ini mengalami kemelesetan ekonomi sebelum ini dan
sehingga sekarang beliau telah memainkan peranan penting dalam Majlis Tindakan
Ekonomi Negara (MTEN) dan Pelan Pemulihan Ekonomi Negara.
Di KOTA KINABALU, Ketua Menteri
Sabah, Tan Sri Benard Dompok berkata, kerajaan negeri menyifatkan pelantikan
Abdullah sebagai paling sesuai dan kena pada masanya.
Beliau yang juga Pengerusi
Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, kerajaan negeri memberi sokongan penuh di
atas pelantikan itu dan akan bersama-sama memberikan kerjasama dalam semua
bidang.
Katanya, Abdullah boleh
diterima oleh semua lapisan masyarakat di negara ini.
''Selain mempunyai hubungan
yang rapat dengan pemimpin kerajaan, Abdullah juga mampu berhadapan dengan
mana-mana pemimpin pembangkang.
''Pada masa yang sama, beliau mempunyai
pengalaman yang luas di peringkat antarabangsa yang boleh digunakan dalam
memastikan perjalanan pentadbiran yang cekap dan licin,'' katanya.
Beliau menambah, pelantikan
semula Daim juga akan memberi keuntungan kepada negara berdasarkan pengalaman
luas bekas Menteri Kewangan itu dalam hal ehwal ekonomi.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk
Dr. Yusof Noor berkata, pemilihan itu adalah tepat kerana ia telah direstui
oleh bakal-bakal calon.
Pemangku Ketua Pergerakan
Pemuda UMNO, Datuk Hishammuddin Tun Hussein berkata, UMNO menyokong penuh
keputusan Dr. Mahathir berhubung dengan pelantikan itu.
Bagaimanapun beliau tidak
menafikan ada pihak yang akan kecewa kerana dalam setiap keputusan yang dibuat
perkara seperti itu akan berlaku.
''Keputusan telah dibuat dan
kita telah beri pilihan kepada Perdana Menteri untuk buat keputusan dan
sekarang adalah masa untuk semua pihak menyokong keputusan itu,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4Pho3sL00
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan