HAFIZAHRI L HAMID | 30
Oktober 2016 6:00 PM
Benua SUNDA 14,000 - 30,000
tahun dahulu semasa zaman ais.
BENUA SUNDA 14,000 - 30,000
tahun dahulu semasa zaman ais.
TIADA perkataan yang lebih
tepat untuk kita memahami siapa dan apa itu Melayu selain memahami bait-bait
puisi bertajuk "Melayu" yang dikarang oleh Sasterawan Negara
tersohor, Usman Awang.
Sememangnya apa yang diungkap
oleh Usman dalam puisinya itu sangat bertepatan dan sinonim dengan ciri-ciri
dan sifat orang Melayu itu sendiri.
Apatah lagi apa yang cuba
disampaikan beliau melalui puisinya itu begitu menggamit kebenaran selain
membuktikan kehebatan bangsa ini berdiri di atas kakinya dalam menyelusuri dan
mencipta sejarah bangsanya.
Antara bait puisinya yang
begitu terkesan bagi mereka yang bernama Melayu;
Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah
zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala
kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Namun kini agak malang bagi
orang Melayu itu sendiri yang sehingga kini masih terdapat mereka yang alpa
malah lebih menyedihkan ada juga yang malu tentang asal usul bangsanya.
Apatah lagi terdapat beberapa
teori menyatakan bahawa bangsa Melayu itu bukan bangsa teras dan berasal dari
China khususnya Yunnan atau New Guinea. Dengan itu ada antara orang Melayu itu
sendiri berasa malu dan terasing dengan dirinya sebagai Melayu.
Namun hakikatnya, asal usul
orang Melayu memang seringkali menimbulkan polemik serta perdebatan dalam
kalangan ahli akademik dunia. Ada pelbagai teori mengenai asal usul orang
Melayu. Sehingga kini dikatakan ada tiga teori utama yang telah diketahui umum mengenai
asal usul orang Melayu.
Teori pertama mengenai asal
usul orang Melayu adalah berdasarkan teori penghijrahan beramai-ramai orang
Melayu yang menggunakan sampan dari daerah Yunnan di selatan China dan keluar
melalui Sungai Mekong ke Laut Cina Selatan. Ia dikenali sebagai "Teori
Keluar Dari Yunnan" dan dikemukakan pada tahun 1890.
Teori kedua, yang dikemukakan
pada tahun 1965, mengatakan orang Melayu seorang pelayar yang unggul, yang
bekerja sebagai kelasi kapal dan buruh untuk para pedagang antarabangsa yang
terdiri daripada orang Arab, China dan India selama lebih 2,000 tahun yang
lalu. Teori ini yang digelar "Keluar Dari New Guinea", dikemukakan
pada tahun 1965.
Akibat interaksi dan
perkahwinan campur dengan bangsa India, China dan Arab, mereka selepas itu
menjadi maju lalu menubuhkan sebuah bangsa baharu yang dikenali sebagai bangsa
Melayu. Teori ini dilihat paling menghina orang Melayu kerana kekurangan bukti
dan kajian saintifik mengenainya selain hanya sekadar mampu menjadi hamba dan
buruh bagi bangsa lain.
Teori ketiga dan paling popular
dalam kalangan orang ramai, ialah "Teori Keluar dari Taiwan" yang
berdasarkan teori lingustik dan bukti arkeologi. Teori ini mengatakan bahawa
orang Melayu-Polynesian atau Astronesian atau rumpun Melayu berasal daripada
Taiwan. Teori ini yang turut dikenali "Teori Kereta Api Ekpress ke
Polynesia", mengatakan orang Melayu, telah keluar daripada Taiwan sejak
6,000 tahun dahulu, dan kemudiannya mereka bertebaran ke serata dunia.
Mereka dikatakan merantau dari
Pulau Madagascar di Timur sehinggakan ke Pulau Easter di Barat, dan dari Jepun
di utara sehinggakan ke New Zealand di selatan. Teori ini dipelopori oleh Peter
Bellwood, seorang pakar lingustik dan disokong bukti arkeologi oleh Eusibio
Dizon. Teori ini dikemukakan kepada dunia pada tahun 1997, dengan terbitnya
buku The Austronesian oleh Peter Bellwood dan Eusibio Dizon.
Namun terdapat satu lagi teori
yang telah dikemukakan 20 tahun lalu oleh pakar antropologi Profesor Wan Hashim
Wan Teh dan pakar arkeologi Profesor Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman.
Bangsa teras
Menjadikan kajian ini lebih
kukuh dan diterima sebagai paling tepat tentang asal usul Melayu ialah apabila
beberapa sarjana Barat turut menyokong dapatan tersebut.
Dr. Steven Oppenheimer, pakar
Paleontologi Wilhelm G. Solheim dan Professor Arysio Nunes dos Santos telah
mengambil bukti-bukti geologi dan mitologi, dan digabungkan dengan bukti
arkeologi, genetik dan linguistik bersetuju untuk mengatakan, orang Melayu sebenarnya
berasal dari sebuah tamadun yang hilang, yang dinamakan Benua Melayu Sunda atau
Tamadun Sunda. Bangsa ini hakikatnya telah wujud sejak 15,000 tahun Sebelum
Masihi berdasarkan kajian mereka.
Lebih membanggakan orang Melayu
itu bukan sahaja bangsa teras malah dikatakan Benua Sunda Melayu itu juga
adalah benua tamadun Atlantis yang hilang.
Perkara ini telah dinyatakan
oleh Oppenheimer dalam bukunya bertajuk, Eden in the East, The Drowned
Continent of Southeast Asia keluaran tahun 1999. Beliau yang juga tenaga
pengajar di Universiti Oxford turut mengemukakan teori bahawa migrasi moyang
kepada rumpun Melayu dari kabilah Negrito, Asli Semang dan Senoi adalah secara
terus menerus dari benua Afrika melalui Timur Tengah ke benua Melayu Sunda.
Berdasarkan kajian yang dibuat
oleh Prof. Wan Hashim, Prof. Nik Hassan dan Zaharah Sulaiman dalam bukunya;
Sejarah Tamadun Melayu, Asal Usul Melayu, Induknya di Benua Sunda, kedudukan
Asia Tenggara kuno ketika Zaman Ais bukan seperti yang ada sekarang.
Malah Asia Tenggara kuno
disatukan oleh Pentas Sunda yang menghubungkan Sumatera, Semenanjung Tanah
Melayu, Jawa, Borneo dan Filipina. Asia Tenggara ketika itu bercantum sebagai
satu benua dengan tanah besar Asia dan Pentas Sahul yang menghubungkan
Australia.
Dengan perairannya yang cetek
dan mudah dilalui telah mewujudkan beberapa laluan penghijrahan bebas untuk
manusia dan haiwan di tanah besar Asia atau apa yang dikenali pada hari ini
sebagai Gugusan Kepulauan Melayu Nusantara.
Keluasan gugusan ini atau Benua
Sunda dihitung dua kali lebih besar daripada Benua India. Laut Champa, Teluk
Siam dan Laut Jawa ketika itu kering kontang menjadi dataran pelantar bagi
menghubungkan beberapa bahagian benua tersebut.
Menurut Oppenheimer, di Benua
Sunda inilah bermulanya tamadun manusia yang menyuburkan budaya-budaya hebat di
China, India, Mesopotamia, Mesir dan Kepulauan Crete (Greek) kira-kira lebih
6,000 tahun lampau. Malah menurut Prof. Wan Hashim yang dipetik daripada kajian
Da Silva, bangsa Melayu itu sudah wujud dan terbentuk pada 15,000 tahun Sebelum
Masihi.
Maka di sini jelaslah bahawa
bangsa Melayu itu bukan baharu tertubuh setelah penjajahan Barat. Atau bangsa
Melayu itu hanya berpusat di Selat Melaka seperti yang didakwa oleh Anthony
Reid yang sekali gus menolak "Teori Keluar Dari Taiwan" dan
"Teori Dari New Guinea" yang menolak sama sekali kewujudan bangsa
Melayu sebagai bangsa teras dan hanya sekadar bangsa 'menempel'.
Kajian ini turut menyimpulkan
bahawa Benua Sunda Melayu ini terpisah akibat fenomena kejadian banjir magnitud
besar. Akibat kejadian ini maka wujudlah kedudukan yang terdapat kini di Asia
Tenggara. Malah menurut kajian Oppenheimer lagi kejadian banjir besar ini
mencadangkan bahawa legenda purba Bandar Atlantis yang tenggelam itu adalah
tinggalan Benua Melayu Sunda.
Apatah lagi tamadun awal di
benua Sunda ini diibaratkan Eden in the East. Hal ini telah pertama kali
dinyatakan oleh ahli falsafah terkenal Yunani, Plato dalam bukunya Timaeus and
Critias. Beliau menyebut para penduduknya dianggap sebagai dewa atau superior
tetapi telah lenyap dalam masa satu hari yang malang.
Beliau menyatakan bahawa telah
berlaku berbagai kejadian letupan gunung berapi, gempa, banjir besar, pencairan
ais yang menyebabkan permukaan bumi tenggelam. Dan bahagian bumi yang hilang
ini disebut sebagai Atlantis. Antara lokasi yang dinyatakan sebagai Atlantis
adalah di Laut Champa, utara Indonesia dan Laut Jawa.
Yang menjadi permasalahan utama
adalah banyak penulisan tentang sejarah dan asal usul Melayu diterbitkan oleh
bangsa asing. Mereka ini hanya menjalankan kajian berdasarkan pemahaman dari
jauh dan rambang. Kemudian diberi kesimpulan dan spekulasi mengkategorikan
Melayu yang berbilang suku kaum ini sebagai etnik berasingan tanpa fakta kukuh
dan tiada kewajaran hipotesis dalam banyak hal.
Hakikatnya, sama ada mahu
menerima realiti atau tidak kesemua mereka ini adalah sebangsa dari latar
belakang rumpun yang tidak jauh beza. Dalam erti kata lain, Jawa itu Melayu,
Siam itu Melayu, Moro itu Melayu, Minang itu Melayu, Dusun itu Melayu, Iban itu
Melayu, Filipina itu Melayu dan Dayak itu Melayu.
Suku kaum kepada etnik bangsa
Melayu adalah sebaka dan serumpun. Maka kita boleh simpulkan kesemua Melayu
Asli (orang asal) ini sebenarnya tidak berasal dari Yunnan atau Taiwan.
Sebaliknya orang Taiwan dan Yunnan itu sebahagian besarnya adalah berasal dari
Asia Tenggara.
Akhir kata orang Melayu tidak
perlu lagi malu dan berasa terasing dengan sejarahnya kerana telah terbukti
kita adalah teras dan serumpun. Hanya orang luar yang memutarbelitkan sejarah.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/rencana/asal-orang-melayu-dari-atlantis-1.401264#sthash.jKUni7LU.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan