Jumaat, 4 November 2016

Wanita pertama berpangkat Kolonel

ARKIB : 09/10/1998
KUALA LUMPUR 8 Okt. - Dr. Roshidah Ishak, pakar pergigian (periondontologi) dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), hari ini mencipta sejarah sebagai pegawai wanita pertama dinaikkan ke pangkat Kolonel.

Upacara pemakaian pangkat Dr. Roshidah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Mohd. Zahidi Zainuddin di Wisma Pertahanan, dekat sini.

Dr. Roshidah sebelum ini berpangkat Leftenan Kolonel, dan memiliki kelulusan peringkat ijazah kepakaran lanjutan (pakar gigi dan gusi) yang diperolehi dari United Kingdom pada tahun 1990.

Beliau yang melahirkan perasaan gembira dan bangga, menganggap kenaikan pangkat ini sebagai penghargaan yang tidak ternilai dari Tentera Darat Malaysia (TDM) dan ATM.

''Saya bangga dan terharu dengan penghargaan yang diberi.

''Tetapi saya selalu mengingatkan diri bahawa dengan kenaikan pangkat ini bermakna tanggungjawab saya akan lebih berat,'' katanya ketika ditemui selepas upacara pemakaian pangkat di Wisma Pertahanan hari ini.

Menurut beliau yang telah berkhidmat dalam ATM selama 17 tahun, suaminya, Leftenan Kolonel (Udara) Ahmad Zulkifli Mohd. Zain serta lima anaknya, adalah pendorong utama dalam kerjaya sebagai seorang doktor.

Ditanya mengenai perkembangan perubatan pergigian dalam ATM beliau menjelaskan, teknologi yang sedia ada begitu canggih dan mempercepatkan serta memudahkan proses rawatan.

Bagaimanapun katanya, ada beberapa kes yang begitu sukar dan kronik seperti menanam platinum dalam gusi memerlukan kos yang tinggi, sehingga RM2,000 untuk menanam sebatang gigi.

Kata Roshidah, rawatan gigi penting dan jika seseorang itu mengalami sakit gigi mereka tidak dapat menumpukan perhatian pada kerjanya dan berjumpa doktor gigi adalah jalan penyelesaian terbaik.

Tambahnya, beliau merawat anggota tentera dari pangkat biasa sehinggalah pegawai tertinggi dan pernah memberi rawatan gigi kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

''Saya berbangga dengan kerjaya saya dan akan berkhidmat dalam ATM selagi diperlukan. Terima kasih kepada pegawai atasan dan rakan-rakan yang menyokong saya selama ini,'' katanya.

Turut menerima kenaikan pangkat pada upacara tersebut ialah lima pegawai Tentera Darat iaitu tiga daripadanya ialah pegawai simpanan sukarela yang dinaikkan ke pangkat Kolonel manakala dua pegawai tetap sebagai Leftenan Kolonel.

Mereka yang dinaikkan ke pangkat Kolonel ialah Leftenan Kolonel Profesor Madya Dr. Idris Abdol sebagai Komander 502 Askar Wataniah (AW), Leftenan Kolonel Jonathan Chan (Komander Rejimen 515 AW) dan Leftenan Kolonel Ahmad Fuad Haron (Komander Rejimen 513 AW).

Dua lagi yang dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel ialah, Mejar Ir. Chapiti Redzuan dan dilantik ke jawatan Pegawai Staf I, Penyelaras 'B' Jabatan Perumahan dan Pembinaan, dan Mejar Roslan Abdul Ghani Yahya (Pegawai Memerintah 21 Komando).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_03.htm#ixzz4P5eak2xm © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan