Jumaat, 11 November 2016

Jen. Zahidi Penglima ATM yang baru

ARKIB : 17/12/1998
KUALA LUMPUR 16 Dis. - Jeneral Datuk Seri Mohd. Zahidi Zainuddin akan dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera yang baru menggantikan Jeneral Tan Sri Ismail Omar, yang akan bersara pada 31 Disember ini.

Pelantikan Mohd. Zahidi, 50, yang sekarang ini adalah Panglima Tentera Darat, merupakan Panglima Angkatan Tentera yang ke 14 dalam sejarah Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika menggumumkan demikian berkata, jawatan Panglima Tentera Darat pula, akan diisi oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Hashim Hussein.

Berikutan pelantikan itu, Mohd. Hashim, 51, akan dinaikkan ke pangkat Jeneral pada 1 Januari ini.

''Kedua-dua pelantikan itu berkuatkuasa pada 1 Januari 1999 ini,'' katanya pada sidang akhbar di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Menurut Syed Hamid, kedua-dua pelantikan itu telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, setelah mendapat kelulusan Majlis Angkatan Tentera Malaysia.

Bagaimanapun katanya, penyandang jawatan Timbalan Panglima Tentera Darat yang akan dikosongkan oleh Mohd. Hashim serta kenaikan pangkat pegawai-pegawai kanan ATM yang lain akan diumumkan kemudian.

''Jawatan-jawatan lain akan diisi tahun depan. Kita telah mempunyai senarai nama dan terpulanglah kepada Majlis untuk membuat keputusan,'' kata Syed Hamid.

Mohd. Zahidi yang berpengalaman luas sebagai Pegawai Memerintah, Pegawai Staf dan Latihan, telah dilantik sebagai Panglima Tentera Darat pada 1 Januari tahun ini dan jawatan Timbalan Panglima Tentera Darat sejak 1 Jun 1997.

Beliau yang dilahirkan pada 30 April 1948 di Kuala Kangsar, Perak dan mendapat pendidikan awal di Ipoh sebelum memasuki Maktab Tentera Diraja (MTD) di sini pada tahun 1964, pernah dilantik sebagai Ketua Pasukan Pemerhati Gencatan Senjata Iran-Iraq PBB (UNIMOG) pada Ogos 1988.

Ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 13 April 1968 dan beliau pernah mengikuti kursus-kursus berkaitan pertahanan dan ketenteraan di Australia, Amerika, Filiphina dan Pakistan.

Sementara Mohd. Hashim yang dilahirkan di Johor Bahru pada bulan Jun 1947, merupakan pegawai kanan ATM yang pertama memimpin kumpulan sulung Batalion Malaysia (Malbat 1-UNPROFOR) untuk berkhidmat di Bosnia Herzegovina di bawah Panji-panji Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada November 1993.

Ketika masih berkhidmat di Bosnia, beliau telah dinaikkan ke pangkat Brigedier Jeneral dan telah diberi kepercayaan sebagai pegawai kanan yang pertama memimpin Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) ATM di bawah Briged ke-10 (Para) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 10 Oktober 1994 di Langkawi.

Mohd. Hashim yang ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Batalion ke-9 RAMD pada 1966, pernah terlibat secara langsung dalam tugas-tugas operasi membanteras kegiatan pengganas komunis ketika itu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_03.htm#ixzz4PgjpQSH7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan