Sabtu, 5 November 2016

Allahyarham Fuad Stephens Tokoh Wartawan Negara

ARKIB : 27/10/1998
KUALA LUMPUR 26 Okt. - Tokoh yang memainkan peranan utama dalam kejayaan pembentukan persekutuan Malaysia, Allahyarham Tun Mohammed Fuad Stephens, hari ini dianugerahkan Tokoh Wartawan Negara oleh Institut Akhbar Malaysia (IAM).

Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan anugerah terulung kewartawanan Malaysia itu kepada balu Allahyarham, Toh Puan Rahimah Stephens, pada perasmian Persidangan Kesatuan Akhbar Komanwel, di sini.

Ini adalah kali keempat sejak 10 tahun lepas, anugerah terulung kewartawanan Malaysia diberikan. Penerima sebelum ini ialah tokoh wartawan veteran Tan Sri A.Samad Ismail (1988), Tan Sri Lee Siew Yee (1991) dan Allahyarham Datuk Ishak Haji Mohammad (1995).

Allahyarham Mohammed Fuad, yang dilahirkan pada 14 September 1920, pernah menjadi Ketua Menteri Sabah.

Penglibatannya dalam dunia kewartawanan bermula apabila beliau menyumbang penulisan kepada satu-satunya akhbar di negeri kelahirannya - North Borneo News - dengan menggunakan nama pena Vox Populi.

Selepas sepucuk surat yang dikenali sebagai Blood is Thicker than Water, (Darah Lebih Pekat Daripada Air), yang mana beliau mengkritik penjajah kerana diskriminasi terhadap kakitangan awam tempatan, Allahyarham dipelawa menulis artikel untuk akhbar itu.

Setelah meraih banyak pengalaman semasa bersama North Borneo News, Allahyarham Mohammed Fuad kemudian membuka syarikat akhbarnya sendiri, Sabah Times, dengan modal awal hanya sebanyak RM1,000.

Edisi pertama akhbar harian itu di Borneo Utara dipasarkan pada Mac 1952 dengan beliau berperanan sebagai editor, wartawan, jurutaip, penyusun huruf dan penghantar akhbar.

Dua tahun kemudian, beliau membeli North Borneo News dan menggabungkannya dengan Sabah Times. - Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_07.htm#ixzz4P8DoCvmy © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan