Ahad, 2 Oktober 2016

2. Terangkan faktor – faktor yang mendorong pembentukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu pada awal abad ke – 20.



A. Pengenalan
Pada awal abad ke – 20, masyarakat majmuk muncul di Tanah Melayu akibat perkembangan ekonomi British. Penghijrahan orang Cina dan orang India ke Tanah Melayu telah mewujudkan tiga kumpulan masyarakat di Tanah Melayu. Orang Melayu merupakan penduduk peribumi di Tanah Melayu. Menurut J.S Furnival, masyarakat majmuk didefinisikan sebagai satu kelompok masyarakat di mana tidak wujud interaksi atau perhubungan dalam kalangan kaum. Golongan imigran Cina dan India datang ke Tanah Melayu atas beberapa faktor. Antaranya ialah perkembangan perlombongan bijih timah dan industri getah yang memerlukan buruh, maka orang Cina dan orang India dibawa masuk ke Tanah Melayu. Mereka dibawa masuk melalui beberapa cara seperti tiket kredit, sistem kangani dan ejen. Terdapat banyak faktor yang mendorong pembentukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu. Ketiga – tiga kumpulan etnik ini hidup berasingan kerana terdapat beberapa halangan.

B. Isi-isi.
a. Perbezaan fungsi ekonomi.
            Antara faktor yang mendorong pembentukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu ialah perkembangan ekonomi kapitalis yang menyebabkan perbezaan dalam fungsi ekonomi. Perbezaan fungsi ekonomi membawa kepada pengalaman kaum mengikut kegiatan ekonomi mereka. Perkembangan ekonomi komersial didorong oleh golongan imigran Cina yang terlibat dalam bidang perniagaan dan perlombongan bijih timah. Imigran India pula tertumpu di kawasan ladang getah dan sebilangannya tinggal di bandar untuk bekerja sebagai kerani dan buruh di pelabuhan. Orang Melayu masih kekal dalam sistem ekonomi tradisional dengan bekerja sebagai petani dan nelayan. Perbezaan dalam fungsi ekonomi telah memisahkan ketiga – tiga kaum tersebut dan secara tidak langsung mewujudkan masyarakat majmuk.

b. Dasar pecah dan perintah.
            British mengamalkan dasar pecah dan perintah demi menjaga kepentingan politik dan ekonomi mereka di Tanah Melayu. British ingin terus mengekalkan orang Melayu dalam ekonomi tradisional  kerana tidak mahu masyarakat Melayu terdedah kepada pengaruh luar. British berasa bimbang jika pendedahan kepada pengaruh luar akan melahirkan golongan penentang dalam masyarakat Melayu. British juga menggalakkan kemasukan pelabur asing dan penghijrahan golongan buruh dari Cina dan India yang terlibat dalam ekonomi moden. British tidak menggalakkan sebarang usaha asimilasi dalam kalangan tiga kaum di Tanah Melayu pada masa itu.
c. Pengamalan budaya yang berbeza.
            Masyarakat majmuk juga wujud apabila ketiga – tiga kaum mengamalkan budaya yang berbeza. Orang Cina yang berhijrah ke Tanah Melayu bertumpu di kawasan perlombongan bijih timah di sekitar Kuala Lumpur, Ipoh dan Seremban. Mereka hidup berkelompok dalam puak masing – masing. Hubungan sosial dalam kalangan puak Cina juga tidak erat kerana mempunyai dialek yang berbeza. Orang India pula terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik yang berbeza seperti Tamil, Telegu, Punjabi dan sebagainya. Setiap kelompok ini menggunakan bahasa masing – masing, maka pergaulan antara mereka juga tidak erat. Setiap kumpulan masyarakat hidup secara berasingan. Mereka terus mengekalkan budaya masing – masing seperti pakaian, adat resam, makanan, tradisi dan perayaan.
d. Sistem pendidikan.
            Setiap masyarakat juga mempunyai sistem pendidikannya yang tersendiri. Sistem pendidikan tersebut mengukuhkan lagi sifat kemajmukan masyarakat di Tanah Melayu. Masyarakat peribumi, iaitu orang Melayu mendapat pendidikan berdasarkan agama Islam di sekolah – sekolah pondok. British juga menubuhkan sekolah – sekolah Melayu. Sistem pendidikan tempatan kurang berkualiti. Masyarakat tempatan hanya diajar membaca, menulis dan mengira. Pendidikan orang Cina pula berasaskan negara China dan menggunakan bahasa pengantar bahasa Cina. Guru – guru, sukatan pelajaran dan buku – buku digunakan juga dibawa dari negara China. Orang India pula menubuhkan sekolah – sekolah Tamil di ladang – ladang untuk memberikan pengetahuan asas kepada orang India. Mata pelajaran yang diajar juga berdasarkan negara India.
e. Perbezaan agama.
            Satu lagi faktor yang mendorong pembentukan masyarakat majmuk ialah perbezaan agama. Setiap kumpulan etnik menubuhkan institusi dan tempat beribadat masing – masing. Masyarakat Melayu yang beragama Islam membina surau dan masjid. Masyarakat India yang beragama Hindu pula membina kuil di ladang – ladang untuk beribadat dan menjalankan upacara keagamaan. Masyarakat Cina yang mengamalkan agama Buddha dan menyembah nenek moyang pula membina tokong dan pagoda mereka di bandar. Setiap kaum menubuhkan institusi sosial dan persatuan masing – masing untuk menjaga kepentingan sendiri. Penubuhan persatuan – persatuan tidak rasmi juga mampu melindungi dan mengekalkan identiti setiap kaum di Tanah Melayu.
C. Kesimpulan.
    Pembentukan masyarakat majmuk yang wujud semasa penjajahan British hanya diubah setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Perubahan tersebut berlaku sebagai langkah Bristish untuk memberikan kemerdekaan. Perpaduan rakyat yang berbilang kaum dapat menjamin kepentingan ekonomi dan pelaburan British di Tanah Melayu.



sumber-SKEMA PERCUBAAN SEJARAH  STPM P3 NEGERI PAHANG 2016






Tiada ulasan:

Catat Ulasan