Isnin, 31 Oktober 2016

ATM haramkan arak

ARKIB : 19/09/1998

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengharamkan arak di semua kem dan unit-unit ATM di seluruh negara berkuatkuasa 16 September lalu.

Menurut Panglima Angkatan Tentera, Jen. Tan Sri Ismail Omar, arahan mengenainya dikeluarkan bersempena dengan sambutan Hari Angkatan Tentera ke-65.

Katanya, ia merupakan satu contoh yang baik dan wajar diikuti oleh agensi-agensi lain.

''Dengan berkuatkuasanya larangan itu, semua jenis arak tidak lagi dibenarkan di seluruh premis ATM termasuk di mes-mes pegawai, kapal-kapal dan pesawat-pesawat.

''Langkah itu adalah sejajar dengan seruan kerajaan untuk mendaulatkan Islam sebagai satu cara hidup,'' katanya kepada pemberita selepas menunaikan fardhu Jumaat di Masjid KEMENTAH di sini, hari ini.

Terdahulu, semasa menyampaikan khutbah Jumaat, Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Kolonel Najmi Ahmad turut menyentuh perkara itu.

Sementara itu, Ismail turut mengulas mengenai penguatkuasaan larangan menggunakan ruang udara negara ini oleh pesawat-pesawat Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) bermula hari ini.

Katanya, larangan itu hanya membabitkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara tetapi tidak menjejaskan perjanjian Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA).

Arahan mengenai larangan itu telah diumumkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Syed Hamid Albar semalam.

Dengan pengumuman itu, semua peraturan dan pelepasan khas termasuk bagi tujuan latihan dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) yang sekarang diberi kepada pesawat-pesawat RSAF di ruang udara Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak, ditarik balik.

Menurut Hamid, larangan itu telah dimaklumkan serta-merta kepada kerajaan Singapura, semalam.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0919&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_07.htm#ixzz4OjRBTYRs © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan