Rabu, 5 Oktober 2016

PEMBENTUKAN MAJLIS KERJA TERTINGGI PERIKATAN 6.10.2016

Pada  hari ini  dalam  tahun  1957,  Perikatan  Tanah  Melayu,  yang  terdiri  dari  parti-parti  UMNO, MCA dan MIC  telah  membentuk  Majlis  Kerja  Tertinggi.  Majlis  ini  di anggotai  oleh  6  orang  daripada  UMNO, 5 orang  daripada MCA  dan  3  orang  daripada  MIC.  Perdana  Menteri Persekutuan Tanah  Melayu  yang  pertama  iaitu  Tunku  Abdul  Rahman  bertindak  sebagai  Pengerusinya  manakala  Encik  T.H.Tan  sebagai  Setiausaha. Tujuan  pembentukan  Majlis  Tertinggi  Perikatan  adalah  untuk  mengukuhkan  kerajaan  Persekutuan  Tanah  Melayu  yang  baru  dua  bulan  mencapai kemerdekaan.  Kemenangan  Perikatan  bagaimanapun  tidak  menjamin  kekuatannya  lantaran  digugat  oleh  perbalahan  di kalangan  anggota-anggotanya.  Pembentukan  majlis ini  perlu untuk  mengukuhkan  disiplin  di  kalangan  ahli agar  isu-isu  sensitif  tidak  digunakan  bagi  kepentingan  politik  perseorangan. Majlis  Kerja  Tertinggi  telah  diberi  mandat  untuk  memecat mana-mana  ahli  Parti  Perikatan  yang  melanggar  disiplin,  juga  menentukan  dasar  kerajaan  melalui  cadangannya  dalam  bidang  ekonomi  sosial, pelajaran  dan  pembangunan. Objektif  Majlis  Kerja  Tertinggi  Perikatan tercapai apabila Parti  Perikatan  menang  besar  dalam  Pilihanraya Umum  1959.  Kerjasama  yang  rapat  di  antara  pemimpin daripada  parti  UMNO-MCA-MIC  ini  telah  dapat menyelesaikan  sebarang  perselisihan  faham  bagi  menjamin  kemerdekaan  negara  dipertahankan.

SUMBER- http://www2.arkib.gov.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan