Sabtu, 8 Oktober 2016

PERASMIAN IBU PEJABAT FELDA

Pada hari ini dalam tahun 1983, majlis upacara perasmian bangunan ibu pejabat FELDA telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad di Jalan Perumahan Gurney, Kuala Lumpur.  Dalam ucapannya, Dr. Mahathir menyatakan bahawa terdirinya Ibu Pejabat FELDA yang baru ini perlu dijadikan titik permulaan kepada tekad dan kegigihan yang tinggi bukan sahaja kepada anggota organisasi FELDA tetapi juga kepada para peneroka dan masyarakat desa amnya.  Dalam majlis tersebut juga, Dr. Mahathir telah menyampaikan Pingat Semai Bakti kepada kakitangan FELDA dan Pingat Emas kepada Ketua-Ketua Peneroka.  FELDA atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan merupakan sebuah agensi pembangunan tanah utama di Malaysia.  Ia telah ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Akta Kemajuan Tanah 1956 hasil daripada syor Jawatankuasa Kerja Kerajaan.  Sehingga kini, FELDA telah membuka dan membangunkan lebih kurang 480 buah kawasan baru berjumlah seluas 853,313 hektar yang dijadikan sebagai kawasan pertanian, perladangan dan penempatan.  Sesungguhnya, FELDA memainkan peranan penting dalam usaha untuk meningkatkan pembangunan ekonomi dan sosial serta membawa kepada kestabilan politik negara.

SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan