Sabtu, 1 Oktober 2016

Sejarah tercipta di KL'98



ARKIB : 22/09/1998

TUMBUKAN Sapok Biki yang menghasilkan emas pada Sukan Komanwel XVI (KL '98) sudah pasti memberi kesan kepada anjakan paradigma kepada perkembangan sukan ke arah bertaraf dunia.

PENUTUPAN Sukan Komanwel XVI (KL '98) oleh Ratu Elizabeth II malam tadi dalam suasana penuh warna-warni sekali gus mencipta sejarah tersendiri terutama dalam lipatan sejarah Malaysia dari segi penganjuran sukan bertaraf dunia.

Malah KL '98 sudah pasti meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia kerana kemampuan yang dibuktikan dalam menjayakan kejohanan berkenaan. Tiada siapapun dapat menafikan, KL '98 menjulang nama Malaysia sebagai tuan rumah paling berjaya dan bergaya dalam sejarah sukan berkenaan sejak diperkenalkan.

Kejohanan yang bersejarah dan terbesar pernah dianjurkan oleh Malaysia pasti memberi kenangan paling manis kepada semua lapisan masyarakat seiring dengan slogan 'Malaysia Boleh'.

Penganjuran KL '98 sememangnya mempunyai sejarah tersendiri kerana semua atlet dan pegawai mendapat layanan paling istimewa sebagai tetamu terbesar Malaysia. Pastinya, rasa bangga rakyat Malaysia dengan penganjuran KL '98 akan tersemat di sanubari mereka sepanjang hayat serta menjadi satu lipatan sejarah terpenting negara.

Dengan tumpuan hampir seluruh dunia sepanjang sepuluh hari kejohanan berlangsung sedikit sebanyak dapat mengubah senario tanggapan masyarakat dunia terhadap Malaysia.

Kejayaan KL '98 bukan sahaja menjadi buah mulut rakyat Malaysia malah atlet dan pelancong luar negara kagum dengan pencapaian negara termasuk semangat patriotik meskipun terdiri daripada pelbagai kaum.

Sudah pasti semua ini akan menaikkan nama Malaysia setelah membuat persiapan rapi sejak sekian lama dalam memastikan KL '98 paling cemerlang.

Dalam pada itu, KL '98 juga sudah pasti tersemat dalam catatan sejarah sukan dunia apabila terdapat rekod dunia dan kejohanan diperbaharui semasa temasya berlangsung.

Namun apa yang lebih membanggakan ialah kejayaan Malaysia menjayakan KL '98 bukan sahaja sekadar nama tetapi lebih daripada yang dijangkakan.

Atlet Malaysia juga turut cemerlang seiring dengan keharuman negara menganjurkan kejohanan berkenaan malah melangkaui sasaran awal sebelum KL '98 berlangsung.

Kutipan 10 emas, 14 perak dan 12 gangsa bukan sahaja mencipta sejarah kepada negara tetapi membuktikan kemampuan Malaysia dalam menyediakan atlet bertaraf dunia.

Malah kutipan emas dalam acara tinju, menembak, olahraga dan gimrama sememangnya menceriakan kem Malaysia kerana sebelum ini belum ada atlet negara mencapai ke tahap sedemikian.

Dalam acara tinju misalnya hanya menampilkan peninju kurang bermaya selepas acara berlangsung tetapi kali ini tumbukan anak Malaysia turut menggegarkan lawan mereka. Tumbukan peninju negara, Sapok Biki yang menumbangkan jaguh dari Kenya sememangnya menggambarkan petanda baik kepada kejayaan lebih gemilang skuad negara.

Kejayaan Sapok adalah di luar jangkaan tetapi semangat yang ditunjukkan tidak ada siapa yang boleh menafikannya. Kelibat Muhamad Hidayat Hamidon dalam acara angkat berat kategori (69kg) clean & jerk juga cemerlang kerana turut memperbaharui rekod kejohanan selepas 48 tahun bertakhta.

Kebanggaan negara di Lapang Sasar Menembak Antarabangsa di Langkawi juga menyaksikan Nurul Huda Baharin meraih pingat emas juga memperbaharui rekod kejohanan. Beregu boling lelaki negara, Kenny Ang dan Ben Heng turut cemerlang dengan meraih pingat emas dan Kenny sekali lagi meraih emas kepada negara.

Seperti yang diduga badminton terus unggul dengan menyaksikan emas diperolehi selepas skuad berpasukan lelaki menewaskan England.

Wong Choon Hann juga membantu menambah emas selepas menewaskan rakan senegara, Yong Hock Kin dalam acara perseorangan.

Kegemilangan negara terus menyinar dalam acara badminton apabila pasangan Choong Tan Fook/Lee Wan Wah menyumbang emas dengan menewaskan rakan senegara, Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock.

Turut menjadi kejutan ialah pasukan gimrama negara yang terdiri daripada, Sarina Sundara Rajah, Thye Chee Kiat, El Regina Tajudin dan Carolyn Au-Yong menempah emas buat kali pertama dalam sejarah acara berkenaan.

Pelumba jalan kaki negara, G. Saravanan juga membuat kejutan dengan meraih emas dalam acara 50km jalan kaki lelaki sekali gus mencipta sejarah tersendiri dalam olahraga.

Semangat atlet negara yang sentiasa disusuli oleh sokongan padu rakyat Malaysia menjadi saksi apabila mereka membanjiri Kompleks Sukan Bukit Jalil terutamanya sepanjang KL '98.

Kemampuan menjayakan temasya berkenaan tanpa ada sebarang kekecohan serta perkara yang buruk berlaku menggambarkan Malaysia sememangnya selamat dan mampu untuk menganjurkan kejohanan yang lebih besar selepas ini.

Sebagai negara Asia pertama menganjurkan kejohanan berkenaan juga menjadi satu anjakan paradigma kepada kemajuan sukan secara keseluruhan di Malaysia. KL '98 sudah pasti menjadi hadiah paling bermakna kepada semua lapisan masyarakat sekali gus mencatatkan kebanggaan tersendiri pada jiwa rakyat masing-masing.

Temasya berkenaan yang merupakan pesta gilang gemilang dan terbesar pernah dianjurkan secara tidak langsung membangkitkan semangat tersendiri sekali gus merealisasikan pembangunan negara secara keseluruhan.

Kebanggaan kepada rakyat Malaysia sudah pasti seiring dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020.

Pesta terbesar dan paling meriah pada penghujung abad ini sekali gus menaikkan rasa bangga rakyat Malaysia dan menjadi satu lipatan sejarah tersendiri dalam diari dunia.

Kejayaan berkenaan sedikit sebanyak akan dapat menaikkan nama Malaysia yang merupakan negara Asia pertama diberi kepercayaan menganjurkan temasya sukan kedua terbesar di dunia.

Kuala Lumpur pasti akan tersemat di sanubari semua atlet dari 70 negara yang datang ke sini bagi membuktikan keunggulan mereka. Begitu juga dengan ratusan wakil media dari negara-negara peserta yang bertungkus-lumus sepanjang sepuluh hari itu. Semua kenangan ini akan dibawa pulang ke negara masing-masing dan kita berharap merka akan datang lagi.

Suasana ceria dengan kebanjiran atlet amat dirasai di Kompleks Sukan Bukit Jalil tanpa sebarang rasa prejudis antara satu sama lain.

Menyingkap kembali bagaimana Malaysia melobi dalam mendapatkan hak menganjurkan KL '98 sehingga berakhir dengan jayanya adalah sesuatu yang amat membanggakan.

KL '98 juga mencipta sejarah tersendiri apabila buat kali pertama kesemua negara Komanwel menyertai temasya paling besar pernah diadakan dalam sukan Komanwel.

Menyingkap negara yang pernah menjadi tuan rumah Sukan Komanwel, Malaysia boleh dianggap sebaris dan setanding dengan negara yang sudah berjaya menganjurkannya. Negara yang menjadi penganjur seperti England, Kanada, Scotland, Wales, Australia, New Zealand dan Jamaica sudah pasti gembira dengan kejayaan Malaysia menganjurkan sukan kedua terbesar di dunia. Penghormatan yang diberikan kepada Malaysia adalah penghormatan kepada Asia untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel.

Sukan Komanwel yang menggunakan Sukan Olimpik sebagai model secara tidak langsung memberi gambaran Malaysia mampu menganjurkan kejohanan yang lebih besar. Bermula dengan perasmian KL '98 oleh Yang di-Pertuan Agong sehingga penutupan oleh Ratu Elizabeth II semalam menandakan sejarah tersendiri kepada Malaysia.

Penantian 2002 Sukan Komanwel di Manchester sudah pasti akan menanti dengan penuh harapan tetapi KL '98 tetap akan dikenang dengan kehebatan tersendiri. Biarlah KL '98 menjadi satu mercu tanda kepada harapan Malaysia untuk menganjurkan Sukan Olimpik 2008 yang sudah pasti akan menaikkan imej negara.

Tidak ada apa yang mustahil kerana rekod cemer-lang Malaysia menjayakan KL '98 menjadi satu kelebihan dalam usaha melobi untuk mendapatkan hak penganjuran sukan Olimpik.

Kejayaan negara dalam menganjurkan KL '98 akan dikenang seumur hayat terutama kepada rakyat Malaysia yang berpeluang melihat jaguh dunia beraksi di hadapan mereka.

'Tahniah dan Selamat Berjaya Malaysia'.

Oleh: BAKARUDIN BUSU

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4Lt6jxqeK© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan