Sabtu, 1 Oktober 2016

1. Huraikan peranan pembesar di Tanah Melayu sebelum campur tangan British.



A. Pengenalan.
         Sehingga pertengahan abad ke-19, para pembesar memainkan peranan penting dalam sistem politik di Tanah Melayu.  Setiap pembesar mempunyai peranannya dalam politik, ekonomi dan sosial. Peranan mereka jelas dalam setiap tahap pemerintahan.
B. Isi-isi.
POLITIK
-           Pembesar memainkan peranan utama dalam politik. Mereka membantu sultan dalam aspek perundangan, adat resam dan kehakiman. Mereka merupakan golongan yang memonopoli segala kuasa politik dalam kerajaan. Golongan ini mempunyai kuasa melantik raja, contohnya empat Undang (Jelebu,Sg Ujong, Rembau, Johol) di Negeri Sembilan akan melantik Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan.
-           Pembesar membantu raja dalam menjalankan pemerintahan dan pentadbiran negeri mereka serta mempunyai cop mohornya sendiri.
-           Pembesar juga menjadi penasihat atau menjadi ahli Jemaah penasihat Sultan. Pada tahun 1800, Sultan Muhammad 1 (Sultan Kelantan) telah melantik seramai 7 orang pembesar untuk memudahkan dan melicinkan pentadbirannya, Sultan Abu Bakar (1862-1895) telah melantik Jemaah Menteri untuk menasihati Sultan Johor.
-           Pembesar turut membantu raja mentadbir kawasan-kawasan tertentu di luar wilayah yang dipanggil “pegangan” yang merupakan anugerah sultan kerana jasa dan kecemerlangannya atau menjadi daerah/jajahan. Misalnya Dato Bahaman menguasai kawasan Semantan dengan gelaran Orang Kaya Semantan; Tok Gajah mentadbir Pulau Tawar; Ngah Ibrahim menguasai Larut.
-           Pembesar juga memainkan peranan penting menjaga keamanan dan keselamatan Negara. Contohnya Jemaah Menteri Peperangan di Kelantan menguruskan hal ehwal peperangan,ketenteraan, pertahanan dan keamanan; Lembaga di negeri Sembilan menjaga keselamatan dan keamanan kawasan anak buahnya. Pembesar juga memastikan penduduk di bawah jagaannya taat setia kepada pemerintah.
-           Pembesar juga bertanggungjawab menyediakan dan membekalkan tenaga ketenteraan untuk mempertahankan negara dan juga untuk meluaskan empayar (jika berkenaan).
-           Pembesar juga memainkan peranan penting menjadi penghubung antara rakyat dengan pemerintah.

EKONOMI
-           Pembesar turut memainkan peranan penting dalam hal-hal yang berkaitan dengan memungut cukai. Contohnya pembesar di pelabuhan (Syahbandar) mengutip cukai daerah/jajahan mengutip cukai daripada rakyat di kawasannya dengan bantuan penghulu.
-           Pembesar juga menguasai sumber ekonomi seperti lombong bijih timah dan juga hasil eksport lain. Mereka juga menggunakan sistem kerah dan sistem serah untuk mendapatkan hasil. Pendapatan mereka juga lumayan dan kadang kala melebihi sultan dan menyebabkan mereka lebih kaya. Contohnya Long Jaafar dan Ngah Ibrahim yang menguasai Larut.
-           Pembesar juga mesti memastikan urusan perdagangan dalam negeri berjalan lancar termasuk menentukan timbangan dan sukatan yang betul.
-           Dengan keizinan sultan pembesar juga melibatkan diri dalam perdagangan. Mereka menjadi pengeluar modal. Perniagaan dan perdagangan pembesar diuruskan oleh wakil-wakilnya. Mereka juga diberi monopoli dalam aktiviti perdagangan dan perniagaan.
-           Pembesar juga turut bertanggungjawab menjaga perairan daripada pencerobohan lanun, mengawasi pedagang-pedagang, menjaga hal ehwal pedagang asing, mengaturkan tempat perniagaan dan menyediakan gudang untuk menyimpan barang-barang.


SOSIAL
-           Pembesar turut bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan anak buahnya dan memastikan supaya seluruh penduduk di kawasnnya taat setia kepada sultan.
-           Mereka juga dikehendaki menjaga keamanan kawasan jagaannya.
-           Pembesar turut menjadi hakim dalam sesuatu perbicaraan contohnya bagi meleraikan perselisihan.
-           Selain itu mereka turut mengetuai kerja-kerja sosial seperti pembinaan surau, masjid, balai raya, jambatan dan sebagainya..
-           Pembesar turut menjalankan adat istiadat istana. Di Kedah contohnya pembesar akan menjunjung duli semasa hari raya.

C. Kesimpulan
-           Golongan pembesar memainkan peranan penting sebagai penggerak dalam sistem pemerintahan di negeri-negeri Melayu sebelum campur tangan British. Namun campur tangan British dan pengenalan sistem pentadbiran barat telah menjejaskan kedudukan politik, ekonomi dan sosial pembesar Melayu. Walau bagaimanapun perkhidmatan sebahagian para pembesar Melayu, seperti penghulu tetap digunakan oleh British untuk membantu pegawai-pegawainya.
          SUMBER-SKEMA PEPERIKSAAN P3 NEGERI PAHANG 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan