Sabtu, 1 Oktober 2016

Sapok Biki pastikan 7 emas jadi kenyataan



 
ARKIB : 21/09/1998
Sapok Biki pastikan 7 emas jadi kenyataan
PENINJU negara, Sapok Biki (kiri) kegembiraan selepas pengadil mengangkat tangannya untuk mengumumkan sebagai pemenang pingat emas KL'98 kategori light flyweight kategori 48kg sebaik dia menewaskan peninju Kenya, Moses Kinyua di Stadium Melawati, Shah Alam, semalam.

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Peninju negara, Sapok Biki memastikan sasaran awal negara untuk memenangi tujuh pingat emas menjadi kenyataan hari ini selepas beliau memenangi pingat unggul itu di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor.

Pingat emas itu diperoleh selepas Sapok menewaskan peninju pilihan dari Kenya, Moses Kinyua pada acara akhir light flyweight 48kg dengan kiraan 19-13.

Emas yang diperoleh Sapok, adalah yang pertama dari sukan tinju sejak negara menyertai Sukan Komanwel sejak tahun 1930 di Hamilton, Kanada.

Sapok yang beraksi dengan tenang di hadapan penonton bertindak bijak, sesekali menyerang untuk menambah mata.

Sebaik beraksi di pusingan kelima, Sapok dengan yakin mengangkat tangannya walaupun perlawanan sebenar tinggal beberapa saat.

Detik kejayaan Sapok itu turut disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Datin Seri Dr. Siti Hasmah serta Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sewaktu majlis penyampaian pingat oleh Dr. Mahathir, Sapok mengalirkan air mata dan ketika Jalur Gemilang dinaikkan dan lagu Negaraku diperdengarkan, Sapok terus hiba.

Lebih bermakna lagi apabila Dr. Mahathir memeluk 'wira' tinju itu sebagai tanda ucapan tahniah di atas kegigihan Sapok untuk membuktikan acara yang dipelopori peninju Kenya sejak 16 tahun itu kini dikuasai oleh Malaysia.

Kejayaan Sapok itu turut sama diraikan oleh kedua ibu bapanya, Biki Kinyau dan Limah Jamba yang memberi semangat pada anak mereka itu.

Turut sama mengiringi ibunya ialah bapa saudara serta emak saudara Sapok, Bawing a/l Jamba dan Jatok a/p Tenung.

Sehingga malam ini Malaysia sudah mengutip tujuh emas, sebelas perak dan 10 gangsa.

Empat tahun lalu di Victoria, Kanada, Malaysia menduduki tangga ke-13 dengan dua emas, tiga perak dan dua gangsa, berharap menduduki tempat 10 teratas di Kuala Lumpur dan memperoleh tujuh pingat emas.

Bagaimanapun sasaran itu telah diubah menjelang temasya ini berikutan kecederaan ke atas seorang peserta harapan acara menembak, Nurul Huda Baharin yang terbabit dengan kemalangan jalan raya sebelum temasya bermula.

Sejak 1930 hingga 1994, Malaysia telah menang sejumlah 12 pingat emas, 13 perak dan 11 gangsa.

Kejayaan mendapatkan pingat emas sebelum ini dihasilkan daripada acara badminton dan angkat berat, tetapi kali ini ia turut disumbangkan oleh sukan yang lain juga.

Malaysia memenangi pingat emas pertama menerusi boling tenpin beregu selepas Kenny Ang dan Ben Heng menang emas.

Kenny juga mendapatkan pingat emas perseorangan lelaki.

Pingat-pingat emas yang lain diperoleh dari acara badminton lelaki berpasukan, Mohamad Hidayat Hamidon angkat berat dan gimnastik berirama melalui pasukan wanita.

Nurul, yang hampir terlepas peluang menyertai temasya ini kerana lengannya yang patah, berjaya memenangi pingat emas menembak dengan memecahkan rekod baru.

Sementara acara badminton perseorangan lelaki, pemain negara, Wong Choon Hann dan Yong Hock Kin akan bermain sesama sendiri pada perlawanan akhir esok untuk memperoleh pingat emas dan perak.

Bagi acara beregu pula, pasangan negara Choong Tan Fook/Lee Wan Wah mara ke akhir selepas menewaskan Simon Archer/Christoper Hunt dari England, 15-13, 15-11 dan Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock menumpaskan Julian Robertson/Nathan Robertson dari England, 15-2, 12-15, 15-8.

Pasangan beregu negara ini juga akan beraksi sesama sendiri untuk menentukan pingat emas dan perak, esok.

Walaupun tidak rasmi, Malaysia kini memperoleh sembilan pingat emas dengan mengambil kira pingat yang diperoleh menerusi acara badminton ini.

Beregu wanita Chor Hooi Yee/Lim Pek Siah gagal dalam usaha mereka memburu emas namun kejayaan meraih pingat perak sudah memadai untuk memahat nama sebagai beregu wanita pertama mara ke pusingan akhir badminton Sukan Komanwel.

Hari ini juga menyaksikan peserta wanita acara boling padang perseorangan, Saedah Abdul Rahim memenangi pingat perak.

Sementara itu, dalam acara gimrama hari ini, Thye Chee Kiat sekadar menduduki tempat keempat individu keseluruhan dengan 37.239 mata, sementara Carolyn Au-Yong yang mengutip 36.594 mata menduduki tempat keenam.

Di arena menembak, kesemua peserta negara yang bertanding tidak memperoleh sebarang pingat pada acara terakhir hari ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0921&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4LsksazVw© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan