AKSI kelam-kabut di hadapan
pintu gol Selangor.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Shah Alam: Juara Liga Super,
Johor Darul Ta’zim (Johor DT) menutup kempen dengan penuh bergaya apabila
menundukkan Selangor 2-1 pada perlawanan terakhir liga di Stadium Shah Alam,
malam tadi.
Kemenangan itu memastikan skuad
juara Liga Super tiga kali berturut-turut itu melakar satu lagi sejarah sebagai
pasukan juara liga utama yang tidak pernah kalah dalam saingan liga sejak 1979.
Aksi terakhir semalam hanya
sebagai pelengkap jadual apabila Johor DT sudah dinobatkan selaku juara lebih
awal selepas gagal dihambat pencabar terdekat FELDA United.
Tuan rumah yang mahu memberi
fokus kepada misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia di final 30 Oktober
ini di Stadium Shah Alam menentang Kedah, hanya menurunkan hampir semua pemain
skuad kedua kecuali kapten Muhammad Shahrom Kalam.
Pasukan pelawat kendalian Mario
Gomez pula menyenaraikan semua pemain import namun merehatkan kapten Safiq
Rahim selepas kekalahan di tangan Bengaluru FC dalam saingan separuh akhir
Piala AFC, Rabu lalu.
Johor DT yang memburu rekod
bersih musim ini lebih banyak menguasai permainan pada babak pertama dan
seharusnya mendahului sekurang-kurangnya tiga gol.
Bagaimanapun, ketangkasan
Norazlan Razali di gawang Selangor menafikan beberapa percubaan bahaya Harimau
Selatan termasuk rembatan Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-7 dan Amri Yahyah
(m-38).
Pintu gol Selangor akhirnya
bolos pada minit ke-64 apabila Diaz bijak memperdayakan Norazlan sebelum
melepaskan rembatan ke gawang.
Penyerang kebangsaan Ahmad
Hazwan Bakri berjaya memadam kelebihan itu apabila menyumbat gol pada minit-70
menerusi larian menarik di sebelah kiri.
Bagaimanapun, pemain gantian
Amri melengkapkan malam gemilang Johor DT dengan gol kemenangan, enam minit
kemudian.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Ahad, 23 Oktober 2016 @ 5:18 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan