ARKIB : 16/09/1998
NASIB bukan di pihak Malaysia
sekali lagi apabila terlepas peluang untuk mencipta kemenangan kedua acara hoki
lelaki Sukan Komanwel XVI (KL '98) setelah dikekang 2-2 oleh England dalam
perlawanan kumpulan B di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Kesungguhan skuad negara untuk
mencari kemenangan bagi mencerahkan peluang ke separuh akhir sekalipun cuma
bersemarak dalam separuh masa kedua dan berbalas pada minit ke-45, lenyap
akibat tolakan stroke Jon Wyatt.
Begitupun, skuad negara sebenarnya
perlu menyalahkan diri sendiri kerana membiarkan diri mereka bermain dalam
keadaan tertekan serta dicengkam gementar tanpa sebab sekalipun berada
selangkah pada suatu ketika untuk meraih tiga mata. Ini tampak jelas pada 16
minit pertama apabila England beroleh dua sudut penalti tetapi mujurlah Roslan
Jamaluddin, kubu terakhir negara menyimpangkan ancaman yang muncul menerusi
pukulan tersebut.
Malaysia mencari taktik
serangan kilat untuk mengejutkan anak buah Barry Dancer namun tampanan kurang
kemas oleh Nor Azlan Bakar gagal mendatangkan hasil yang bermanfaat dari sudut
penalti, minit ke-18 dan 25.
Gara-gara gemar bermain dengan
hantaran ke belakang antara R. Shankar dan Maninderjit Singh, Malaysia dihukum
dengan jaringan sulung lawan pada minit ke-20.
Tertekan dalam cubaan
mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, Maninderjit kehilangan kawalannya kepada
Justin Pidcock yang mudah menewaskan Roslan untuk membawa England mendahului
1-0. Namun Chairil yang mulanya dikasari oleh seorang pemain England ketika
cuba mara ke kawasan D dengan larian solo, kembali membawa kedudukan Malaysia
setara menerusi pukulan percuma, 12 minit kemudian.
Rembatan lintang penyerang
kelahiran Terengganu ini tanpa disangka-sangka menyelinap ke celah-celah
benteng England sebelum melepasi penjaga gol, Simon Mason untuk gol penyamaan
yang disusuli sorakan gamat 12,000 penonton.
Gerakan satu sama satu M.
Kaliswaran dan Mirnawan Nawawi mencemaskan seketika England pada minit ke-42
sayangnya tolakan ketua pasukan negara ini menyimpang beberapa inci dari
gawang.
Minit ke-45 menyaksikan
Mirnawan memimpin Malaysia maju 2-1 selepas sungkitannya melonjak ke bumbung
gol England hasil reka helah Saiful dan tampanan Azlan yang kali ini berjaya
membaiki dua kesilapan awalnya menerusi sudut penalti keempat negara.
England pada minit ke-50
bagaimanapun mengekang hasrat Malaysia setelah tampanan tangan Roslan
dipersalahkan pengadil ketika cuba menangkis sudut penalti keempat mereka.
Tolakan ke sebelah kanan oleh Jon Wyatt tidak tergapai kaki kiri Roslan sekali
gus membawa gol penyamaan England.
Jurulatih negara, Paul Lissek
yang hampir kehilangan suara akibat teriakan dari luar padang, agak kecewa
dengan persembahan barisan pertahanan yang bermain dengan rasa gementar dan
tertekan.
"Mereka seperti hilang
keyakinan walaupun suatu ketika sedang mendahului England. Persembahan sebegini
jauh lebih rendah dan berada di bawah tahap sebenar kemampuan mereka.
"Sepatutnya mereka berada
di luar kawasan D dan tidak terlalu dekat dengan penjaga gol,'' kata Lissek
tanpa menamakan siapakah pemain yang dimaksudkannya itu.
MALAYSIA: Roslan Jamaluddin,
Nor Saiful Zaini Nasiruddin, Maninderjit Singh, S. Kuhan, Nor Azlan Bakar,
Chairil Anwar Aziz, R. Shankar, M. Kaliswaran, K. Keevan Raj, Mirnawan Nawawi,
Calvin Fernandez.
ENGLAND: Simon Mason, Jon
Wyatt, Julian Halls, Billy Waugh, Ben Sharpe, Jimmy Wallis, Brett Garrard,
Stuart Head, Mark Pearn, Russel Garcia, Duncan Woods.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4LpnX5DKs©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan