Sabtu, 1 Oktober 2016

Memori 1975 berulang



ARKIB : 18/09/1998
           
PRESIDEN Persekutuan Hoki Malaysia, Sultan Azlan Shah bergambar bersama skuad hoki negara yang layak ke separuh akhir hoki KL '98 selepas menewaskan Kanada 2-1.

Tiada kata mampu diungkap lagi apabila menyaksikan pegawai meluru ke padang dan berpelukan penuh gembira sesama pemain negara sebaik sahaja hon terakhir berbunyi.

Namun yang pasti ialah sorakan gamat penonton yang meraikan kejayaan semalam saling tak tumpah imbasan ulangan suasana gemilang di Padang Kilat apabila Malaysia mara ke separuh akhir Piala Dunia 1975 dengan menewaskan Belanda.

Dua jaringan skuad negara menerusi Nor Saiful Zaini Nasiruddin dan Calvin Fernandez sekalipun dicabar dengan pembalasan daripada Peter Milkovich, memimpin Malaysia untuk menerajui kumpulan B sekali gus memintas England dengan kelebihan perbezaan gol.

Seawal permainan, Malaysia sesekali mengancam kubu lawan dengan tiga gerakan padang menerusi S. Kuhan, Mirnawan Nawawi dan M. Kaliswaran dalam 15 minit pertama namun semuanya masih sipi.

Saiful yang berplaster dan masih bengkak di mata kiri akibat penangan pemain Pakistan, Ahad lalu, tidak mensia- siakan peluang menerusi sudut penalti kedua Malaysia untuk merembat kencang menewaskan Mike Mahmood pada minit ke-27.

Malaysia terus bertahan dengan kedudukan itu selama 26 minit sebelum tolakan penalti stroke oleh ketua pasukan lawan, Peter Milkovich menangguhkan hasrat skuad negara buat sementara.

Minit ke-65 melaksanakan impian yang dinanti-nantikan ribuan peminat hoki negara apabila Calvin dengan pukulan kilasnya menembusi Mahmood selepas menerima rembatan percuma yang deras daripada Saiful, beberapa inci dari kawasan D.

Gol ini dibantah oleh pemain Kanada yang menganggap pengadil dari Scotland, David Wallis mulanya mahu memberi sudut penalti sebaliknya masih tetap meneruskan permainan.

Tentu sahaja kejayaan ini menguntum riak gembira tidak terhingga jurulatih Paul Lissek yang ternyata mampu mengubah Malaysia bertambah baik dalam masa tiga bulan selepas hambar pada Piala Dunia di Utrecht, Mei lalu.

''Saya lihat anak buah saya kini benar-benar bermain sebagai suatu pasukan. Malaysia mampu menyerang dengan mengambil risiko serta turut utuh ketika bertahan.

''Kini kami mensasarkan sebutir pingat dan saya yakin kita memang mampu untuk melakukannya,'' tambah Lissek pada sidang berita selepas perlawanan.

Jurulatih Kanada, Shiaz Virjee pula berkata, dia akur dengan permainan cemerlang skuad negara malah turut memuji kehebatan Lissek mengubah taktik dan formasi pemain.

''Saya rasa perlawanan segetir ini perlukan pengadil yang lebih baik. Saya kecewa tidak dapat meneruskan peluang meraih pingat selepas hampir mencapai antara keenam terbaik ketika Piala Dunia,'' ujar Virjee.

Sementara itu, India menyusuli langkah Australia dari kumpulan A untuk mara ke separuh akhir hoki lelaki sekali gus akan menghadapi Malaysia, juara kumpulan B, esok.

Ini berikutan kejayaan mengetepikan New Zealand 3-1 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam yang turut menutup sisa-sisa peluang Afrika Selatan yang memerlukan kedua-dua pasukan itu seri.

Afrika sekalipun mencipta jaringan terbesar kejohanan, 12-3 ke atas Trinidad & Tobago dalam perlawanan terakhirnya semalam, terpaksa pulang lebih awal apabila cuma mengumpul 10 mata berbanding India, 12 mata.

New Zealand yang turut pulang tanpa kemenangan semalam, mendahului menerusi Darren Smith pada minit ke-23 sebelum dijawab tiga gol lawan, Mohamed Riaz, Nandamoori Mukesh Kumar dan Dhanraj Pillay.

Sementara Australia membelasah Wales 4-0 untuk menjamin kedudukannya selaku juara kumpulan A hasil dua jaringan Matthew Smith di samping James Elmer dan Michael Brennan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4LsfThHBo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan