Sabtu, 1 Oktober 2016

Nicol rangkul dua emas



ARKIB : 17/09/1998
Nicol, pemain nombor satu dunia terpaksa berhempas pulas dalam permainan lima set sebelum menumpaskan pemain Kanada, Jonathan Power dalam masa satu jam 20 minit untuk muncul juara kali pertama skuasy diperkenalkan pada KL '98.

Dia tewas dalam set pertama dengan 3-9, tetapi bangkit menguasai dua set berikutnya dengan 9-2, 9-1, sebelum Power menjadikan kedudukan 2-2 apabila mencatat kemenangan 9-2 pada set keempat.

Permainan bertambah tegang pada set penentuan yang turut menyaksikan Power membalingkan raket hampir mengenai muka Nicol ketika pengadil memberikan servis kepada lawannya itu pada kedudukan 2-1.

Itu tidak melemahkan semangat Nicol, pemain pilihan pertama untuk memastikan pingat emas pertama tersebut menjadi miliknya apabila melengkapkan kemenangan dengan 9-2.

Kemenangan ini seterusnya menebus kekalahan enam kali berturut-turut Nicol di tangan Power, dan kali terakhir berkeputusan 3-0 pada perlawanan akhir Terbuka Hong Kong, bukan lalu.

''Pastinya saya gembira menambah emas buat Scotland. Power terlalu emosional dan cuba mengambil kesempatan meraih mata dengan lakonan di gelanggang.

''Nyata itu bukan kelebihan buatnya kerana saya cukup faham taktik yang digunakan dan akhirnya berjaya menewaskannya,'' katanya.

Kekalahan Power bermakna dia memberikan satu pingat perak buat Kanada, manakala Paul Johnson dan Alex Gough masing-masing menghasilkan gangsa buat England dan Wales.

Dalam pada itu, pemain wanita nombor satu dunia, Sarah Fitz-Gerald gagal dalam misinya menebus kekalahan pada Terbuka Singapura apabila tewas kepada rakan senegaranya, Michelle Martin yang meraih emas.

Michelle yang menundukkan Sarah pada kejohanan itu, sekali lagi menunjukkan kehebatan untuk mencatat kemenangan straight set 9-0, 9-6 dan 9-5, serta meninggalkan pencabarnya itu untuk menambah satu lagi pingat perak buat Australia.

''Sebelum bertemu di gelanggang saya sudah bertekad memastikan pingat emas bersejarah ini milik saya dan impian itu nyata berhasil.

''Saya bersimpati dengan Sarah, tetapi setiap pertarungan akhir hanya mempunyai satu tempat selaku juara. Ia menjadi milik saya.

''Dia (Sarah) juga patut berbangga kerana menyumbang pingat perak untuk negara kami, Australia,'' kata Michelle, pemain nombor dua dunia.

Dua pingat gangsa yang ditawarkan dalam acara ini menjadi milik mutlak England menerusi Cassie Jackman dan Sue Wright yang kecundang pada separuh akhir, kelmarin.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4LppbxFS8© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan