Jumaat, 14 Oktober 2016

PERASMIAN PUSAT LATIHAN DUSUN TUA

Pada hari ini 14.10.1969, Pusat Latihan Belia Pelupur-Pembina Negara di Dusun Tua telah dibuka dengan rasminya oleh Pengarah Majlis Gerakan Negara Tun Abdul Razak b. Dato' Hussein.  Penubuhan pusat belia itu menunjukkan bukti keazaman kerajaan untuk membentuk semula masyarakat Malaysia atas asas-asas dan sendi-sendi yang kukuh lagi teguh supaya dapat melahirkan satu masyarakat yang dinamis, produktif, makmur bahagia. YAB Tun Abdul Razak dalam ucapan perasmiannya telah menyarankan bahawa zaman selepas tragedi 13 Mei adalah menandakan satu zaman baru berkehendakkan sikap dan pemikiran baru dari rakyat berbilang kaum di negara ini. Dalam kehidupan zaman baru sekarang, penuh dengan cabaran serta tergugatnya keselamatan negara disebabkan oleh kegiatan-kegiatan subversif, anti-nasional, komunis dan penyalahgunaan dadah maka setiap golongan masyarakat mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing mengikut kebolehan dan taraf dalam masyarakat. Belia sebagai golongan masyarakat Malaysia yang terbesar maka tenaga belia amatlah diperlukan untuk membantu kerajaan melaksanakan rancangan membentuk satu masyarakat yang berdisiplin, berbakti, aktif, giat dan cekap serta berkelayakkan. Dengan adanya satu masyarakat seperti ini dapatlah kita menjamin negara Malaysia dalam keadaan aman dan maju jaya. Untuk kepentingan negara pada masa hadapan adalah mustahak dan wajar supaya tenaga belia yang banyak dan berguna serta penting itu diberi perhatian oleh kerajaan bagi membolehkan tenaga mereka digunakan sepenuhnya dalam sistem masyarakat, kesedaran kebangsaan dan pembangunan negara. Dengan sebab itu kerajaan telah menubuhkan Pusat Latihan Belia agar dapat disemaikan semangat cinta dan kasih kepada bangsa dan negara, semangat taat setia yang tidak berbelah bagi kepada raja dan negara. Dalam peringkat pertama seramai 3,000 orang belia daripada semua kaum telah diambil menjalani latihan selama tiga bulan di pusat latihan tersebut.  Mereka diberi latihan jiwa dan semangat, disiplin, latihan rohani dan jasmani untuk memberi mereka kesihatan dan kekuatan yang baik serta semangat jiwa yang kuat. Juga latihan-latihan kemahiran dan ketenteraan supaya mereka menjadi warganegara yang berdisiplin sedar akan tanggungjawab dan peranan dalam pembangunan negara. Latihan-latihan itu dapat menanamkan perasaan muhibah, saling hormat menghormati dan membolehkan para belia menyesuaikan diri menjalankan peranan mereka dengan lebih tegas dan bermakna dalam lapangan perindustrian, pertanian dan perdagangan. Sesungguhnya pusat latihan ini adalah bertanggungjawab untuk menjalankan latihan kemahiran, projek-projek ekonomi, khemah kerja, perkhidmatan masyarakat dan lain-lain aktiviti yang boleh membentuk rohani dan jasmani setiap belia ke arah tercapainya cita-cita kerajaan di samping mempunyai kesedaran penuh terhadap diri sendiri, masyarakat, bangsa dan negara sejajar dengan laungan "Belia harapan bangsa dan negara".

SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan