Khamis, 20 Oktober 2016

PEMBUKAAN RASMI IBU PEJABAT RISDA 20.10.2016

Pada hari ini dalam tahun 1981, ibu pejabat RISDA yang terletak di Batu 4 ½, Jalan Ampang, Kuala Lumpur telah dirasmikan pembukaannya oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Mu’adzam Shah. Sebelum berpindah ke bangunan ibu pejabat ini, RISDA menyewa dua tingkat Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang dan beberapa tempat yang berdekatan Jalan Ampang. Tapak ibu pejabat RISDA ini telah dibeli pada 4 Oktober 1973 dengan harga $2.4 juta. Ibu pejabat yang digunakan sepenuhnya pada tahun 1980 ini menelan belanja pembinaan sebanyak $17.8 juta. Ia terdiri daripada  bangunan setinggi 15 tingkat yang berhadapan dengan Jalan Ampang dan setinggi 6 tingkat di belakangnya. Reka bentuk bangunan ini dicipta berasaskan kegunaan dan ciri-ciri masyarakat pekebun kecil di 13 negeri di Malaysia, iaitu bentuk yang sama bagi setiap tingkat yang bermaksud tanggungjawab RISDA kepada pekebun kecil adalah sama walaupun di mana mereka berada; tunggak menara di tengah-tengah kedua-dua bangunan yang melambangkan keteguhan getah dan skop yang penting dari segi kehidupan pekebun-pekebun kecil dan keluarga mereka serta ekonomi negara dan tiga tiang di anjung bangunan yang membawa maksud bahawa perusahaan getah adalah bergantung kepada tiga faktor, iaitu pokoh getah yang sihat, tenaga manusia serta pemasaran dan perkilangan yang memberi faedah kepada tenaga manusia tersebut.

SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan