Rabu, 31 Januari 2018

Institusi Khalifah.

1.5 Institusi Khalifah.
Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
Pemilihan Khalifah
Hasil Pembelajaran; Menghuraikan konsep dan ciri-ciri khalifah serta kaedah pemilihan khalifah.
Khalifah al-Rasyidin dan Umayyah abad ke-7-8M (601-799M)
a)Konsep khalifah
Selepas zaman Nabi Muhammad s.a.w, pemerintahan dan pentadbiran negara Islam diterajui oleh empat orang khalifah iaitu Abu Bakar al-Siddiq, Umar bin al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib. zaman tersebut dikenali sebagai “Zaman Khulafa al-Rasyidin'.PemerintahanKhulafa,al-Rasyidin merupakan contoh terbaik dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran Islam selepas zaman Nabi Muhammad s.a.w.

Khilafah  ialah institusi pemerintahan dan pentadbiran Islam yang bermula selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.Orang yang mengetuai institusi ini dipanggil khalifah.Khalifah membawa maksud pengganti Nabi Muhammad SAW oleh sebab tugas menerima wahyu sudah selesai dengan kewafatan baginda,maka tugas seorang khalifah adalah:
(a)menurut al-Mawardi dalam kitab al-Ahknmal-Sultaniyyah, memelihara agama (syariah)   dan mentadbir dunia.
(b) menurut Ibn Khaldun dalam kitab Muqaddimah- menegakkan agama dan mentadbir  dunia mengikut hukum syariah untuk kebaikan di dunia dan di akhirat.
Hampir semua mazhab dalam lslam,kecuali serpihan mazhab Khawarij  dan Muktazilah, mewajibkan masyarakat Islam mewujudkan institusi khilafah,atau dalam istilah Syiah disebut
Imamah bagi memelihara agama Islam dan mentadbir negara dan masyarakat Islam.

Pelaksanaan sistem berkhalifah bermula pada zaman Khulafa al- Rasyidin, diikuti oleh khilafah Umayyah,Abbasiyah,Fatimiyyah dan berakhir pada pemerintahan Uthmaniyah dengan tertubuhnya Kerajaan Republik Turki pada tahun 1923.[1]

a)Sistem khilafah –isntitusi pemerintahan Islam berdasarkan al-Quran dan Hadis.

b)Hukum menegakkan khilafah
Umat Islam bersepakat bahawa menegakkan atau melantik khilafah atau imamah adalah wajib.Dalil kewajipan menegakkan khalifah adalah berasaskan kepada ijmak para sahabat, para tabiin dan ulamak-ulamak Islam.
c)Jawatan penggantian khalifah.
Semasa kewafatan Abu Bakar dan perlantikan Uma, tiada seoang pun dalam kalangan mereka yang menyatakan tidak perlu kepada khalifah,imam atau pemimpin. Inilah ijmak paa sahabat yang merupakan dalil yang kuat untuk menetapkan kewajipan meneggakkan khilafah atau imamah.[2]
d)Pelaksanaan sistem khilafah dengan sepenuhnya berlaku pada zaman Khulafa al-Rasyidin.
e)Institusi khilafah berakhir pada zaman Mustafa Kemal Attatuk apabila beliau mengistiharkan kerajaan Republik Turki pada tahun 1924.
Ciri-ciri Khalifah
Pelantikan khalifah memenuhi ciri-ciri kelayakkan tertentu
1 Khalifah merupakan ketua negara. Sebagai khalifah, kuasa beliau tidak terhad pada aspek keagamaan sahaja, malahan juga aspek keduniaan.
2 Dalam melaksanakan tanggungjawabnya mentadbir negara lslam, khalifah mesti menjadikan al-Quran dan as-sunnah sebagai panduan, seperti semasa pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w.
3 Oleh itu, pemilihan seorang khalifah atau calon khalifah mestilah berdasarkan kepada beberapa ciri. Antaranya ialah:
(a) beragama Islam
(b) lelaki merdeka
(c) adil
Keadilan dalam semua aspek atau perkaa seperti percakapan, perbuatan atau tindakan dengan berpaksikan al-Quan dan sunnah. Seseorang pemimpin yang adilialah pemimpin yang bercakap benar, bersikap amanah, sabar, menjaga batas pergaulan, menjauhi dosa dan menjaga mauah. Keadilan akan mmewujudkan kemajuan, kesejahteraan dan keharmonian rakyat dan negara.
(d) berilmu
Ilmu membolehkan seseorang khalifah memutuskan sesuatu hukum atau membuat keputusan tepat terhadap masalah agama dan masalah duniawi. Khalifah bukan sahaja memerlukan ilmu agama tetapi juga memiliki ilmu keduniaan seperti ilmu perundangan,kewangan dan  sosial.Ilmu akan melicinkan urusan pemerintahan dan pentadbiran.
(e) mempunyai pemikiran yang waras dan tajam
(f) mempunyai wawasan yang jelas terhadap masa depan negara (siasah)
(g) tidak cacat/sihat
Seseorang khalifah hendaklah memiliki tubuh atau fizikal yang sihat atau tidak berpenyakit.Kesihatan seseorang khalifah sangat perlu bagi menjamin pelaksanaan pemerintahan dan pentadbiran berjalan dengan lancar demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat dan negara.[3]
(h) warak
(i) berani
      Kepentingan seorang ketua negara dalam Islam tidak hanya dari aspek siasah, tetapi juga mengutamakan soal akhlak. Ini kerana, beliau akan menjadi contoh kepada takyatnya.[4]

Tanggungjawab khalifah.
Kuasa dan Tanggungjawab Khalifah
Menurut Ibn Khaldun, tugas khalifah ialah "menegakkan agama dan mentadbir dunia mengikut hukum syariah untuk kebaikan dunia dan akhirat".
Seorang khalifah bertanggungiawab dalam mengendalikan urusan pentadbiran negara dan juga melaksanakan hukum-hukum agama dengan adil. Pelaksanaan hukuman tersebut pula mestilah mengikut hukum seperti yang telah terkandung di dalam al-Quran. Di samping itu, perkara-perkara yang berkaitan dengan perundangan seperti pelantikan hakim, saksi dan pelaksanaan hukuman mesti dikawal dengan betul.
3 Dalam membuat sebarang keputusan berhubung urusan negara, seorang khalifah juga mesti berdasarkan syura (permesyuaratan)
Dalam membuat sebarang keputusan berhubung urusan negara, seseorang khalifah mesti berlandaskan syura. Dalam melantik pegawai untuk menjalankan tugas pula, khalifah perlu menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada individu yang amanah dan jujur dalam melaksanakan tugasnya. Tujuannya supaya tugas yang dilakukan berjalan dengan sempurna.
Dalam aspek ekonomi, khalifah perlu melaksanakan sistem ekonomi yang selaras dengan kehendak Islam. Tujuannya adalah untuk menjamin sumber pendapatan yang diperoleh kerajaan dan rakyat bersih mengikut syariat. Beliau juga bertanggungjawab memungut cukai, zakat serta menguruskan pendapatan baitulmal secara berhemat
      Khalifah bertanggungjawab menyebarkan ilmu kepada rakyat di samping menyediakan kemudahan awam untuk kebajikan rakyat seperti sekolah, masjid dan hospital. Selain itu, beliau juga perlu memastikan perpaduan dalam kalangan masyarakat adalah utuh.Khalifah juga bertanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan rakyat serta negara daripada ancaman musuh sama ada dari dalam mahupun luar negara. Untuk itu, khalifah perlu mengambil langkah-langkah tertentu bagi mengukuhkan keselamatan negara. Contohnya, ketika pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab, beliau telah memperkemas pasukan tentera Islam bagi melindungi keselamatan negara daripada ancaman kuasa asing, iaitu Byzantine dan Parsi.[4]
Pentadbiran agama-menegakkan agama dan memimpin rakyat mengikut ajaran Islam untuk kebaikan dunia dan akhirat.Pentadbir  negara seperti mengetuai pentadbiran negara, membangunkan negara, memajukan ekonomi dan sebagainya.[5]




[1] Ibid,45
[2 Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2,57.
[3] Mahdi Shuid. Et.al, Teks STPM Sejarah Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi :Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd,2013),70.
[4] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,36.

Kaedah pemilihan Khalifah

Oleh- AHMAD BIN YAAKOB
Syariat Islam tidak menentukan bagaimana sistem pemilihan secara syura dilaksanakan secara terperinci. Disebabkan itu, terdapat berbagai-bagai bentuk syura yang dilaksanakan sepanjang pemerintahan Khulafa' al-Rasyidin.
C)Kaedah perlantikan Khulafa al-Rasyidin
a)Pelantikan secara demokrasi/musyawarah.
b)Pemilihan khalifah oleh rakyat melalui majils syura.
c)Mendapat baiah dari rakyat.

Kaedah pemilihan Khulafa al-Rasyidin
a)Khalifah Abu Bakar r.a –kaedah perundingan
b)Khalifah Umar r.a – kaedah wasiat khalifah terdahulu.
c)Khalifah Uthman r.a kaedah mengusulkan sekumpulan calon.
d)Khalifah Ali r.a kaedah pengusulan oleh sekumpulan masyarakat.

Kaedah pemilihan Khalifah Bani Umayyah
a)Perlantikan khalifah berdasakan warisan atau keturunan.
Berbentuk monarki, ketuunan atau waisan- melantik puteranya Yazid sebagai pengganti.
b)Putera Mahkota
Khalifah Marwan melantik puteanya Abdul Malik sebagai putera mahkota.
c)Dipekenalkan oleh Muawiyyah pada tahun 661M
d)Kelemahan dan kelebihan kaedah warisan,
e)Kaedah ini diteruskan pada zaman pemerintahan kerajaan Islam yang lain.[1]




[1]“Pemilihan Khalifah” dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),15.

Isnin, 29 Januari 2018

USAHA NABI MUHAMMAD SAW SELEPAS MENUBUHKAN KERAJAAN ISLAM DI MADINAH


USAHA NABI MUHAMMAD SAW SELEPAS MENUBUHKAN KERAJAAN ISLAM DI MADINAH
OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pendahuluan
Sebelum Nabi berhijrah ke Madina, penduduk Madinah yang terdiri dari kaum Aus, Khazraj dan Yahudi hidup berpuak-puak dan mengamalkan agama yang berbeza.Apabila Nabi berhijrah ke Madinah, tindakan awal yang dilakukan ialah  menyatukan penduduk Madinah di bawah satu aqidah..Nabi Muhammad telah membentuk Piagam Madinah dan mewujudkan sebuah institusi pemerintahan yang tersusun dan teratur di Madinah.
USAHA-USAHA NABI
Memakmurkan masjid
Pada peringkat awal, baginda telah mendirikan Masjid Quba dan Masjid Nabawi yang berfungsi sebagai pusat ibadat dan tempat pertemuan masyarakat untuk membincangkan hal-hal semasa termasuk urusan agama, politik, ekonomi, dan sosial. Justeru, masjid berperanan sebagai tempat asas pertemuan dalam pembentukan masyarakat Madinah yang bersatu padu. Menjadikan al-Quran dan hadis sebagai asas pemerintahan
 Nabi Muhammad s.a.w. menjadikan al-Quran dan hadis sebagai pegangan dan panduan dalam mentadbir negara. Keadilan dijadikan asas dalam segala bentuk tindakan. Keadaan tersebut dapat melahirkan masyarakat yang bersatu padu tanpa mengira bangsa dan agama. Menguatkuasakan Sahifah Madinah (piagam Madinah)
 Menggubal Perlembagaan Madinah yang mampu memperkukuhkan kedudukan pelbagai kaum kerana undang-undang menjadi asas dan teras kepada pemerintahan dan pembentukan masyarakat Madinah yang bersatu. Golongan Yahudi dan Nasrani menerima status mereka sebagai golongan zimmi dan patuh kepada Perlembagaan Madinah.
Memperkukuhkan suku Aus dan Khazraj Baginda telah menyatukan sukuAus dan Khazraj menjadiAnsar. Justeru, persaudaraan lslam telah menggantikan semangat assabiah. lni merupakan titik tolak kepada pembentukan masyarakat Madinah yang bersatu padu dan bekerjasama.[1]
Memperkukuhkan golongan Ansar dan Muhajirin
 Nabi Muhammad s.a.w. telah mempersaudarakan kaum Muhajirin yang berpindah dari Makkah ke Madinah dengan penduduk Ansar melalui semangat persaudaraan lslam yang mendalam sehingga mereka tidak merasa wujudnya perbezaan antara golongan Muhajirin dengan Ansar. Perpaduan tersebut telah mempercepatkan lagi pembentukan masyarakat Madinah yang mantap.
Mengawal dan membendung kegiatan kaum munafik
Pembentukan masyarakat Madinah sedikit rumit kerana kaum munafik merupakan kaum yang berpura-pura memeluk lslam dan berniat jahat untuk memecahbelahkan dan menghancurkan masyarakat lslam. Melaluiwahyu, baginda menasihati para sahabat supaya berwaspada terhadap niat jahat kaum munafik. Langkah baginda berjaya kerana tiada permusuhan secara terbuka dan kematian  ketuanya, iaitu Abdullah bin Ubay melenyapkan cita-cita kaum munafik. Menyingkirkan kaum Yahudi di Madinah
Kaum Yahudi, iaitu Bani Qunaiqa', Bani Nadhil dan Bani Quraizah telah disingkirkan dari kota Madinah kerana melanggar Piagam Madinah. Penyingkiran mereka dibuat secara perundangan berteraskan keadilan. Langkah baginda ini berjaya memperkukuhkan kedudukan lslam di Madinah. Dengan itu, masyarakat Madinah akhirnya terdiri daripada umat lslam sahaja.
Memimpin melalui teladan
 Nabi Muhammad s.a.w telah menunjukkan dan mengamalkan sifat kepimpinan yang unggul seperti siddiq, amanah, tabligh, dan fatanah dalam pemerintahan dan pentadbiran baginda sebagai ketua negara. Kepimpinan tersebut berjaya menyatukan dan membangunkan masyarakat Madinah yang mantap dari mencapai kejayaan dunia dan akhirat.
Tindakan lain
 Menegakkan keadilan dalam masyarakat dengan memperkenalkan sistem perundangan dan syura. Menjalin hubungan antarabangsa dengan menghantar surat kepada pemimpinpemimpin luar dan surat kepada pendakwah. Memperkasakan sistem pertahanan. Menggalakkan kegiatan perniagaan dan melaksanakan sistem ekonomi lslam.
Kesimpulan Kepimpinan cemerlang Nabi Muhammad s.a.w. diterjemahkan melalui usaha-usaha baginda melalui dasar perundangan, ekonomi, sosial, dan politik.



[1]Koleksi Kertas Soalan STPM 2013-2015 Penggal 1.2.3 Sejarah (940)

Sabtu, 20 Januari 2018

Pengaruh dan pemikiran Saidina Ali di Alam Melayu

ARKIB : 16/03/2009
Oleh ALLAHYARHAM HJ. WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
DALAM surat sebaran Borang Pendaftaran Seminar Khazanah Pemikiran Islam yang dianjurkan oleh InfoTaiment Enterprise, pada 21 Julai 1996, jelas disebutkan, “Di dalam Perspektif Sejarah Islam di Alam Melayu, Saidina Ali lebih ditonjolkan sebagai manusia yang perkasa ...” Mengenai yang tersebut adalah merupakan pengaruh sebuah hikayat yang tidak diketahui nama pengarangnya, hikayat tersebut dikenali dengan judul Hikayat Ali Hanafiyah. Hikayat tersebut terdapat beberapa versi, ditulis dalam tulisan Melayu/Jawi dan sejak dulu telah diusahakan penglatinan/pengrumiannya.

Dalam ruangan ini penulis tidak akan membicarakan perkara yang sudah cukup banyak dikenal oleh masyarakat, terutama oleh para pengkaji sastera, tetapi cuba untuk memperkenalkan tulisan-tulisan klasik yang bersumberkan dari beberapa tulisan para ulama’ alam Melayu sendiri. Ini bererti adalah merupakan sumber yang kukuh jika dibandingkan dengan Hikayat Ali Hanafiyah yang tidak jelas nama pengarang yang disebutkan di atas.

Sungguhpun demikian yang ditulis oleh para ulama’ bukanlah merupakan kitab yang khusus membicarakan seluruh aspek yang bersangkutpaut dengan Saidina Ali, tetapi adalah merupakan tulisan-tulisan yang dimasukkan dalam karya-karya dalam berbagai-bagai disiplin ilmu, terutama: tarikh, akidah dan tasauf. Selain itu juga dalam karya-karya berupa fiqh, hadis, dan lain-lain.

Pengaruh Saidina Ali di Alam Melayu boleh dikatakan sangat besar, meliputi dalam berbagai-bagai jurusan. Bermula dari pengaruh beliau sendiri hinggalah keturunan-keturunannya sebagai penyebar Islam di alam Melayu, dan juga mereka telah berhasil menjadi sultan (ketua pemerintahan) dalam banyak kerajaan di alam Melayu ini.

Untuk menulis tentang pengaruh beliau di alam Melayu tidaklah begitu sukar, tetapi untuk mengemukakan pemikiran beliau memang merupakan persoalan yang sukar jika kita tidak tekun dalam dunia pengkajian.

Adapun mengenai pemikiran keturunan beliau juga bukanlah persoalan yang sukar sangat untuk membuktikannya, tidak dapat kita nafikan bahawa sangat ramai keturunan Saidina Ali di Alam Melayu menjadi ulama yang mengarang kitab.

Sebagai contoh termasuk Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Abdus Samad al-Falimbani, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Nawawi al-Bantani, Sheikh Abdul Hamid Kudus dan ramai lagi, adalah ulama-ulama besar Alam Melayu yang nasabnya bersambung kepada Saidina Ali bin Abi Talib.

Dua nama yang tidak terdapat pada sahabat- sahabat selain beliau

Terdapat dua sebutan atau gelaran yang ada pada Saidina Ali yang tidak terdapat pada para sahabat Nabi Muhammad SAW, yang dimaksudkan barangkali bukan hanya dunia Melayu saja, tetapi juga di seluruh dunia Islam.

Dua nama itu ialah: “Karramallahu wajhah”, dan “Imam Masyariq wal Magharib”.

Mengenai gelaran pertama di hujung nama Saidina Ali dengan “Karramallahu wajhah”, memang tidak pernah digunakan untuk sekian ramai sahabat Nabi Muhammad SAW, gelaran tersebut khusus untuk beliau seorang saja.

Untuk sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW selain Saidina Ali, sama saja baik memangku pangkat tertinggi sebagai khalifah mahupun sebagai sahabat biasa, hanya menggunakan nama “Radhiyallahu ‘anhu”.

Kebanyakan karya ulama tradisional Melayu, dalam apa saja disiplin ilmu yang mereka tulis, apabila terdapat nama Saidina Ali adalah memakai nama “Karramallahu wajhah” itu. Bahkan demikian juga jika kita buka semua kitab-kitab golongan sunni selain yang ditulis oleh ulama Alam Melayu.

Sama ada disedari mahu pun tidak, diakui ataupun tidak, ini adalah satu bukti bahawa Saidina Ali bin Abi Talib, memang ada ciri khas daripada sahabat-sahabat yang lain. Bahawa beliau mendapat tempat tersendiri di dalam perasaan lubuk hati yang tersembunyi umat Islam dunia Melayu khasnya dan umat Islam antarabangsa amnya.

Bahkan kadang-kadang sewaktu tuan guru-tuan guru Melayu mengajar dijelaskan juga sebab-sebab dinamakan dengan “Karramallahu wajhah” itu, iaitu dua sebab. Pertama: Kerana beliau seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah menyembah berhala semenjak kecil dan beliau masuk Islam secara fitrah sejak kecil lagi. Sebab yang kedua ialah: bahawa Saidina Ali bin Abi Talib tidak pernah melihat kemaluannya sendiri.

Gelaran yang sangat menonjol untuk Saidina Ali yang kedua ialah: “Imam Masyariq wal Magharib”, yang membawa maksud; Imam seluruh kawasan timur dan barat. Gelaran ini pun tidak pernah wujud untuk sahabat-sahabat yang lain selain beliau. Sebelum munculnya era pembaharuan Islam di Alam Melayu, sebutan itu sentiasa dibaca dalam khutbah yang kedua setiap hari Jumaat.

Sehingga sekarang pun sebutan itu di beberapa tempat di Alam Melayu yang masih belum begitu terserap pengaruh pembaharuan tajdid masih digunakan dalam khutbah yang kedua setiap hari Jumaat. Mengenai ini juga dapat diambil kira sebagai pengaruh Saidina Ali yang begitu besar bagi masyarakat Islam dunia Melayu sehingga tetap mengakui sebagai “Imam Timur dan Barat”.

Keagungan nama dalam karya sejarah

Sejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW sangat banyak dihasilkan oleh ulama Alam Melayu, tetapi sejarah yang bercorak lengkap mulai lahir hingga wafat boleh dikatakan sangat langka. Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani boleh dikatakan termasuk dalam kategori ulama Alam Melayu peringkat awal menulis sejarah Nabi Muhammad SAW mulai lahir hingga wafat.

Terkumpul dalam kitab berjudul, Badrut Tamam wan Nujumuts Tsawaqib, diselesaikan 9 Rabiulakhir 1307 H di Mekah, bahawa Fasal Yang Kedua membicarakan: “Manaqib Saidatina Fatimah Radhiyallahu ‘anha”. Diikuti dengan Fasal Yang Ketiga mengenai: “Manaqib Dua Penghulu Sekelian Orang Muda-muda Ahli Syurga Saidina Hasan dan Saidina Husein Radhiyallahu ‘anhuma”, dan yang terakhir sekali, iaitu Fasal Yang Ketujuh mengenai: “Manaqib Panglima Yang Amat Berani Saidina Ali Karramahullahu Wajhah”.

Kitab yang memperkenalkan kehebatan Saidina Ali pula ialah karya berjudul, Nurul Anwar, diselesaikan pada 16 Rejab 1320 di Thaif, oleh Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani.

Dalam karya ini separuh daripada kandungannya menceritakan kisah Saidina Ali. Judul-judul perbicaraan ialah “Fasal Saidina Ali Islam Dalam Usia 13 Tahun”, “Fasal Saidina Ali Mempunya Perkataan Jadi Pengajaran”, “Fasal Setengah Daripada Berani Perang Saidina Ali”, “Fasal Perang Jamal, “Fasal Perang Siffin”, “Fasal Bersangat Besar Berperang Dan Sebab Jatuh Berbaik Antara Dua Askar”, dan “Fasal Menyatakan Perang Saidina Ali Akan Orang Khawarij”.

Penulis akui sebelum kedua-dua karya tersebut, memang telah ditulis banyak maklumat mengenai Saiyidina Ali dalam bahasa Melayu ditulis oleh Seikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tetapi bukan merupakan dalam karya sejarah yang khusus melainkan ditempatkan dalam karya-karya akidah.

Dalam Fathul Mannan, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengawali perbahasan mengenai Saidina Ali, beliau menulis, “... adalah kuniyahnya Abul Hasan dan Abu Turab anak Abi Talib anak Abdil Mutalib anak Hasyim anak Abdi Manaf. Dan ibunya Fatimah binti Asad anak Hasyim anak Abdi Manaf. Dan Islam ia padahal umurnya tujuh tahun, kata qil sembilan [tahun], kata qil sepuluh tahun ...”.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyebut juga bahawa anak Saidina Ali semuanya 15 orang lelaki dan 19 perempuan, jadi jumlah semua 34 orang. Mereka ialah: Hasan, Husein, Muhsin, Zainab, Ummu Kaltsum, ibu mereka ialah Saidatina Fatimah. Muhammad Akbar, Muhammad Hanafiyah, Abdullah, Abu Bakar, ibu mereka ialah Laili. Abbas, Utsman, Ja’far, Abdullah, ibu mereka ialah Ummul Banin anak Hazam. Muhammad Asghar, ibunya adalah dari seorang sahaya. Yahya, Aun ibunya ialah Asma’ binti Umaisy. Umar Akbar, Ruqaiyah, ibunya ialah Sahba’.

Muhammad al-Ausat, ibunya ialah Umamah binti Abil ‘As. Ummul Husein, Ramlah, ibunya Ummu Sa‘id binti Urwah. Umamah, Khadijah, Ummul Kiram, Ummu Ja‘far, Humanah/Jumanah, Nafisah dan seorang lagi anak beliau yang perempuan mati kecil (Fathul Mannan, hlm 35). Walaupun jumlah sebenarnya 34 orang, tetapi yang disebut oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam kitab tersebut hanya 27 orang saja.

Sungguhpun kitab Badrut Tamam karya Sheikh Ahmad al-Fathani tidak begitu tebal, namun terdapat beberapa riwayat yang menarik dan jarang dijumpai dalam buku-buku moden sekarang ini.

Di antara peranan Saidina Ali yang diceritakan dalam Badrut Tamam, yang masih berpengaruh kepada masyarakat Alam Melayu, dan banyak diceritakan orang ialah peristiwa ketika Rasulullah akan berhijrah dari Mekah ke Madinah yang pada malam itu ditugaskan Saidina Ali mengganti beliau tidur di atas tempat tidur baginda. Sheikh Ahmad al-Fathani dalam memaparkan cerita tersebut merujuk kepada perkataan Ibnu Ishaq (Badrut Tamam, ibid hlm. 19).

Dalam Badrut Tamam juga Sheikh Ahmad al-Fathani menceritakan peranan Saidina Ali dalam upacara ketika baginda Rasullullah wafat. Beliau menulis, “Dan memandikan dia SAW oleh Saidina Ali bin Abi Talib, dan Saidina al-Abbas bin Abdul Mutalib, dan al-Fadhal bin al-Abbas, dan Qatsam bin al-Abbas, dan Usamah bin Zaid dan Syaqran sahaya Rasulallah SAW.

“Maka adalah Saidina Ali menyandarkan dia dan membasuhkan dia. Dan al-Abbas, dan al-Fadhal, dan Qatsam membalik-balikan dia. Dan Usamah dan Syaqran menuangkan air atasnya. Dan sekalian mata mereka itu dibarutkan.

“Diriwayatkan daripada Saidina Ali, bahawasanya berkata ia, “Telah berwasiat akan daku oleh Rasulullah, bahawa tiada memandikan dia lain daripadaku. Maka bahawasanya tiada melihat seseorang akan auratku, melainkan dihimpuskan dua matanya” (Badrut Tamam, hlm. 25).

Ketika mengkebumikan Nabi Muhammad SAW, menurunkannya ke kubur juga dilaksanakan oleh Saidina Ali bin Abi Talib, yang dibantu oleh al-Abbas, al-Fadhal, Qatsam dan Aus bin Khauli nenek Bani ‘Auf. (Badrut Tamam, hlm. 26).

Memperhatikan riwayat di atas dapat dinilai bahawa Saidina Ali adalah berperanan terhadap Rasulullah dalam keseluruhan perjuangan beliau, sama ada ketika hidup hinggalah tamat riwayat baginda.

Perkara yang dipetik tersebut adalah termaktub dalam Fasal Pertama Badrut Tamam, ada pun pada bahagian biografi Saidina Ali sendiri (Fasal Ketujuh dalam Badrut Tamam) lebih banyak maklumat mengenai Saidina Ali. Dimulai daripada beliau di dalam kandungan sehingga kewafatannya.

Adapun Nurul Anwar karya Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani nampaknya lebih banyak memperkenalkan peperangan-peperangan yang diperanani oleh Saidina Ali, sama ada peperangan itu bersama-sama Rasulullah SAW ataupun peperangan yang dipimpin oleh Saidina Ali sendiri.

Sangat banyak juga perkara yang disebutkan oleh Sheikh Utsman al-Funtiani yang tidak tersebut dalam buku-buku sejarah Islam moden. Ini sebagai bukti pembacaan ulama silam dunia Melayu memang luas.

Di antara yang menarik bagi penulis, bahawa disebut dengan jelas nama musuhnya setiap peperangan yang terjadi antara Saidina Ali dengan lawannya. Dalam peristiwa perang antara pihak penyokong Saidina Ali dengan Mu’awiyah bin Abi Sufyan, nampaknya sangat lengkap nama disebut satu persatu. Bererti daripada kitab ini kita dapat menyenaraikan siapa di antara sahabat Nabi Muhammad SAW yang menjadi penyokong Saidina Ali dan siapa pula sebagai penyokong Mu’awiyah.

Demikian halnya perselisihan antara Saidina Ali dengan Saidatina Aisyah r.a semua yang berpihak dan penentang disebut dengan jelas. Dalam sekian banyak kitab Melayu/Jawi dalam kajian penulis, kitab Nurul Anwar tersebut adalah satu-satunya kitab yang membicarakan perkara itu.

Bahkan bagi pengamatan penulis bahawa sampai sekarang buku yang ditulis dalam bahasa Indonesia atau Melayu moden memang belum dijumpai perbicaraan yang agak jelas seperti itu.

Penutup

Perbicaraan mengenai pengaruh dan pemikiran Saidina Ali di alam Melayu ini masih banyak yang perlu diperkenalkan lagi.

Oleh itu disebabkan keterbatasan ruangan ini, maka perbicaraan tersebut pula akan dilanjutkan pada keluaran seterusnya dengan menyentuh mengenai nama Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks hadis Nabi SAW pada konteks ilmu kalam dan pada konteks ilmu tasawuf.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz54m5HX8k2

© Utusan Melayu (M) Bhd

Brunei gugur Limbang

ARKIB : 17/03/2009
 
ABDULLAH Ahmad Badawi dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bertukar-tukar Surat Pertukaran selepas majlis menandatanganinya di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan, semalam.

BANDAR SERI BENGAWAN 16 Mac – Brunei Darussalam hari ini secara rasmi menggugurkan tuntutan ke atas Limbang di Sarawak selepas Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menandatangani Surat Pertukaran bagi menyelesaikan isu sempadan dan tuntutan bertindih.

Berita menggembirakan itu dinyatakan oleh Abdullah kepada pemberita Malaysia selepas upacara tersebut yang ditanda tangani pada kira-kira pukul 12.05 tengah hari di Istana Nurul Iman di sini.

Peristiwa bersejarah itu turut disaksikan oleh Tuanku Mahkota Brunei, Al-Muhtadee Billah; Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan rakan sejawatnya, Putera Mohamed Bolkiah; Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

“Hari ini adalah hari yang cukup bersejarah kerana Brunei telah menggugurkan tuntutan ke atas Limbang dan dengan ini Limbang akan menjadi sebahagian dari wilayah kita.

“Apa yang lebih menggembirakan lagi ialah isu-isu sempadan dan perkara-perkara pokok yang berlarutan begitu lama sejak 1995 telah dapat diselesaikan,” kata Perdana Menteri kepada pemberita Malaysia di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini.

Isu Limbang selama ini meletakkan kedua-dua negara dalam keadaan dilema kerana wilayah itu agak unik kerana memisahkan dua kawasan daratan di Brunei.

Selain masalah persempadanan darat di Limbang, penemuan sumber baru minyak di kawasan seluas 150 kilometer oleh Petronas turut mencetuskan masalah persempadanan maritim kedua-dua negara berjiran itu.

Pada sidang akhbar yang sama, Perdana Menteri berkata, penyelesaian kepada perkara-perkara pokok dalam isu-isu berkaitan sempadan dan tuntutan bertindih itu akan membawa banyak kebaikan kepada kedua-dua negara.

Menurut beliau, hubungan Malaysia dan Brunei selepas ini akan melalui era baru dalam kerjasama dua hala tanpa dihantui lagi oleh perkara-perkara yang boleh menimbulkan prasangka.

“Oleh itu, saya dan kerajaan Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Sultan Brunei atas kerjasama yang diberikan atas semangat yang sama iaitu tidak mahu isu-isu tersebut menghantui hubungan sesama negara anggota ASEAN,” tegas Abdullah yang terpaksa pulang ke tanah air segera kerana ada acara lain di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), petang ini.

Abdullah yang tiba di sini malam tadi diiringi oleh isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah.

Sementara itu, dalam pernyataan bersama oleh pemimpin kedua-dua negara yang dikeluarkan sempena majlis menandatangani Pertukaran Surat tersebut menyebut antara lain persetujuan mengenai isu persempadanan maritim, penentuan kawasan komersial (CAA) bagi sumber minyak dan gas.

Turut dipersetujui adalah memberi hak (unsuspendable rights) kepada penduduk Malaysia menyeberangi sempadan perairan Brunei - dari atau ke arah destinasi di Sarawak - tapi masih terikat dengan undang-undang serta peraturan negara jiran itu.

Malaysia dan Brunei juga mencapai penyelesaian kepada perkara-perkara yang sebelum ini menimbulkan ketidaktentuan di sempadan maritim dan di Zon Ekonomi Eksklusif (EEC).

Melalui persetujuan itu, kedua- dua negara boleh menguatkuasakan undang-undang atau peraturan sendiri di kawasan zon maritim masing- masing.

Pemimpin kedua-dua negara itu berharap penyelesaian kepada isu-isu tersebut akan merintis kerjasama lebih besar dalam pelbagai bidang terutama perdagangan, pelaburan, sumber tenaga dan hidrokarbon, pelancongan, industri halal dan sebagainya.

Pada perkembangan sama, Ketua Menteri Sarawak melahirkan rasa gembira dengan penyelesaian isu-isu sempadan yang bakal memberi banyak manfaat kepada penduduk kedua-dua negara.

Menurut Taib, Limbang akan dimajukan termasuk membangunkan sumber tenaga melalui pembinaan empangan. – Utusan
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm#ixzz54m89keth

© Utusan Melayu (M) Bhd

Abdullah nyaris disembelih

ARKIB : 16/03/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
JIKA ditakdirkan hidup seseorang itu menjadi yatim piatu, sebenarnya mereka sangat bertuah. Sekalipun keperitan begitu dirasai akibat kehilangan ibu dan bapa sehingga merasakan hidup ini seperti tiada maknanya lagi. Namun, bayangkan Nabi Muhammad SAW yang sedari kecil baginda juga telah kehilangan kedua-dua orang tua yang sangat dikasihi.

Pernahkah kita menemui kisah, Nabi SAW menghabiskan usianya dengan meratap hiba atas kehilangan kedua-dua manusia yang paling bermakna dalam hidupnya itu? Tentu sama sekali kita jarang menemui kisah sedih seperti itu.

Tetapi jika kita hayati seluruh kisah perjuangan Rasulullah, seolah-olah baginda ingin memberitahu bahawa sebagai anak yatim piatu, baginda terbukti sangat berjaya dalam hidup dan seharusnya semua anak-anak yatim juga begitu! Baginda sedia menjadi contoh atau suri teladan untuk golongan ini.

Jadi tidakkah bertuahnya mereka kerana mempunyai Rasulullah untuk mereka contohi bagi menjejak kejayaan dalam hidup? Justeru mereka ini sebenarnya merupakan yang paling mengenali Rasulullah kerana menjadikan baginda sebagai pengganti kepada ibu bapa yang telah tiada.

Dengan kata lain, jika baginda yang yatim dan piatu itu begitu berjaya mengukir nama dan sejarah, mengapa tidak bagi anak-anak yatim yang lain, mereka juga boleh berjaya sebagaimana yang dicapai oleh Rasulullah!

Disayangi ramai

Begitupun kita begitu mengenali Abdullah bin Abdul Mutalib dan Siti Aminah binti Wahab sebagai orang tua yang melahirkan baginda Rasulullah ke dunia ini! Tetapi mungkin sekadar mengenali nama dan mungkin tidak pelbagai kisah yang berlaku di sebalik riwayat hidup mereka.

Datuk Nabi Muhammad, Abdul Mutalib mempunyai 10 anak lelaki, iaitu Al Harith, Al Zubayr, Abu Talib, Abdullah, Hamzah, Abu Lahab, Al Ghaydaq, Al Miqwam, Saffar dan Al Abbas. Malah dikatakan Abdul Mutalib mempunyai seorang lagi anak yang dikenali Qutham. Malah ada yang mengatakan beliau mempunyai 13 anak lelaki kesemua dengan dua lagi dikenali sebagai Abdul Kaabah dan Hajal. Namun dikatakan Abdul Kaabah merupakan nama gelaran untuk anaknya yang bernama Al Miqwam dan Hajal pula merupakan gelaran kepada Al Gaydaq.

Selain anak lelaki, Abdul Mutalib mempunyai enam anak perempuan, Ummu Hakim atau Al Bayda, Barrah, Atiqah, Safiyyah, Arwa dan Umaymah.

Begitulah kayanya datuk Rasulullah ini kerana mempunyai keturunan yang ramai. Di tambah, beliau seorang yang sangat dikenali di kalangan penduduk Arab atas kemuliaan tugasnya bagi meneruskan tradisi Bani Hasyim sebagai yang bertanggungjawab memberi makan dan minum kepada mereka yang datang ke Mekah untuk mengerjakan haji.

Ini menjadikan beliau seorang yang terhormat dan ditaati serta mempunyai kedudukan yang tinggi di kalangan masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam itu.

Bapa nabi, Abdullah dikatakan anak Abdul Mutalib yang terbaik. Ini kerana Abdullah adalah anak yang paling sopan, paling baik budi pekertinya sehingga begitu disayangi ramai.

Bercerita mengenai bapa Rasulullah ini, sejarah pasti sesuatu yang sangat berbeza jika peristiwa Abdullah hendak disembelih oleh bapanya sendiri akibat hendak membayar niat nazar benar-benar terjadi.

Begitupun sangat menarik untuk kita mengetahui kisah penyembelihan itu bagi menunjukkan betapa kuatnya elemen-elemen jahiliah, termasuk menggunakan anak panah sebagai menentukan nasib dalam aspek budaya dan sosial masyarakat Arab pra Islam itu.

Akibat peristiwa nazar itu, bapa Rasulullah ini turut dikenali dengan gelaran Al Dhabih (mangsa penyembelihan), iaitu akibat dari nazar yang dibuat oleh Abdul Mutalib kerana mempunyai anak-anak lelaki yang begitu beliau banggakan. Sehinggakan beliau sanggup menyembelih di sisi dinding Kaabah salah seorang anak lelakinya itu.

Sebagaimana tradisi Arab Jahiliah yang begitu berpegang kuat kepada ramalan dan tilik nasib, Abdul Mutalib juga tidak terkecuali. Beliau telah menulis nama kesemua anak lelakinya itu pada anak-anak panah dan diberikan kepada penjaga Hubal, sebuah patung berhala besar yang boleh didapati berhampiran Kaabah.

Si penjaga berhala itu juga seorang yang berfungsi sebagai yang mencabut anak-anak panah bagi menentukan nasib yang mesti dihadapi oleh mereka yang meramal menggunakan anak panah ini.

Lalu selepas menggoncang anak-anak panah itu, maka anak panah yang dipilih dan dicabut keluar mencatatkan nama Abdullah, anak yang paling disayangi oleh Abdul Mutalib.

Namun akibat niat bernazar yang kuat, Abdul Mutalib tidak ada pilihan kecuali terpaksa menyerahkan juga anak yang paling disayanginya itu untuk disembelih.

Lalu tanpa banyak berkata-kata lagi, Abdul Mutalib pun membawa Abdullah ke Kaabah dan sebilah pisau tajam yang hendak digunakan untuk menyembelih anaknya itu. Tindakan Abdul Mutalib itu benar-benar menimbulkan kegemparan di kalangan penduduk kota Mekah ketika itu.

100 ekor unta

Mereka berusaha sedaya upaya untuk menghalang Abdul Mutalib daripada meneruskan niatnya untuk menyembelih Abdullah itu. Bapa-bapa saudara Abdullah sebelah ibunya (Fatimah binti Amru bin Aidh bin Imran bin Makhzum bin Yaqzah bin Murrah) daripada kalangan Bani Makhzum dan terutamanya saudaranya Abu Talib begitu menghalang Abdul Mutalib daripada terus menyembelih Abdullah.

Tetapi Abdul Mutalib seorang yang berpegang kepada nazarnya, tetap akan meneruskan niatnya itu kecuali terdapat cadangan lain yang dapat menebus nazar tersebut.

Lalu mereka mencadangkan supaya Abdul Mutalib menemui seorang ahli tilik wanita untuk meminta nasihat daripadanya mengenai masalah nazar itu.

Wanita itu mencadangkan menuliskan nama Abdullah pada anak panah itu dengan tebusan 10 ekor unta. Jika nama yang keluar ialah nama Abdullah maka hendaklah ditambah 10 ekor unta lagi sehingga Tuhan merestuinya. Jika anak yang dicabut pula ialah unta maka hendaklah disembelih unta-unta itu.

Namun yang terjadi selepas itu, nama Abdullah yang sentiasa ‘naik’ pada cabutan sehinggalah 10 kali cabutan yang menyebabkan setiap satunya terpaksa ditambah dengan 10 ekor unta lagi. Ini menjadikan kesemuanya 100 ekor unta menjadi tebusan kepada nyawa Abdullah.

Maka terlepaslah nyawa Abdullah dengan dibayar 100 ekor unta yang kemudiannya diberi kepada orang lain tanpa halangan atau disembelih.

Sebelum ini bayaran diat di kalangan orang Arab hanya 10 ekor unta tetapi sejak peristiwa itu bayaran diat bagi nyawa manusia menjadi 100 ekor unta yang kemudiannya diterima dalam Islam.

Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda: “Aku adalah putera dua orang yang disembelih (iaitu Nabi Ismail dan bapa Baginda, Abdullah)”.

Abdul Mutalib tentu sahaja gembira dengan penebusan nyawa anaknya itu, beliau kini beroleh kembali anaknya itu daripada bakal disembelih oleh tangannya sendiri.

Sebagai meraikan anaknya itu dan kebetulan Abdullah didapati sudah sesuai untuk mendirikan rumah tangga, lalu Abdul Mutalib menjodohkan anaknya dengan Siti Aminah binti Wahb bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab menjadi isteri. Ketika itu Aminah dianggap wanita bangsa arab Quraisy yang paling mulia dari segi keturunan dan kedudukan. Bapanya ialah ketua Bani Zuhrah dari segi hubungan nasab dan kemuliaan.

Lalu berkahwinlah Abdullah dan Siti Aminah lalu mereka menetap di Kota Mekah.

Tidak lama mereka berkahwin, Abdullah bersama rombongan kafilah dagangan menuju ke Madinah bagi menjalankan perniagaan di sana. Sesetengah meriwayatkan Abdullah sebenarnya hendak menuju ke Syam tetapi di pertengahan jalan, beliau kemudiannya jatuh sakit lalu meninggal dunia berhampiran Madinah.

Jenazahnya dikebumikan di Dar al Nabighah al Ja’di dikatakan dalam usia yang sangat muda iaitu 25 tahun.

Kematian Abdullah ini dikatakan pada dua bulan sebelum keputeraan anakandanya, Rasulullah menyebabkan si anak menjadi yatim sejak dalam kandungan ibunya lagi, Siti Aminah.

Kematian Abdullah benar-benar diratapi dengan penuh sedih oleh Siti Aminah, tentunya kerana mengenangkan nasib anaknya yang tidak sempat melihat wajah si bapa.

Sambil meratap hiba itu, Aminah sempat melagukan sebuah syair pilu seperti yang tersiar dalam keluaran lalu.

Pemergian Abdullah telah meninggalkan kepada isterinya itu iaitu lima ekor unta, beberapa ekor kambing dan seorang hamba perempuan berketurunan Habsyah bernama Barakah yang digelar Ummu Ayman yang kemudiannya pernah mengasuh Rasulullah semasa Baginda masih kecil!.

lPetikan daripada Sirah Nabawiyah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz54lrUKRd8

© Utusan Melayu (M) Bhd