Sabtu, 1 Oktober 2016

Pelaksanaan garis panduan baru ke IPTA tahun depan



RKIB : 17/09/1998
KUALA LUMPUR 16 Sept. - Satu garis panduan baru bagi memudahkan urusan kemasukan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan dilaksanakan tahun depan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, garis panduan itu akan menggabungkan penggunaan sistem UPUinfoLINE yang mula diperkenalkan tahun ini serta prosedur lama kemasukan pelajar ke IPTA.

Katanya, pihak kementerian yang baru selesai menjalankan post-mortem terhadap kaedah pengambilan pelajar yang dilaksanakan tahun ini bersetuju supaya rombakan dilakukan kepada sistem yang sedia ada.

''Ini bagi membolehkan Unit Pusat Universiti melaksanakan sistem yang lebih berkesan,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan kementeriannya di sini, hari ini.

Menurut Najib, pihaknya akan memasukkan data mengenai permohonan para pelajar lepasan SPM di dalam laman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM-Net) bagi membolehkan semakan dibuat di Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.

Katanya, borang yang digunakan menerusi peraturan baru itu juga akan dipermudahkan bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan pelajar ketika mengisi borang.

Beliau berkata, permohonan juga akan dibuka selepas keputusan peperiksaan SPM diumumkan, tidak seperti sekarang ini, para pelajar boleh memohon untuk memasuki IPTA menggunakan keputusan peperiksaan percubaan.

Jelasnya, kementerian juga akan memperkenalkan semula penggunaan kad akuan penerimaan seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini.

''Ada beberapa cara lain akan diumumkan sedikit masa lagi sebab pihak kami sedang mengemas kini beberapa ciri baru dalam garis panduan yang telah ditetapkan,'' ujarnya.

Selain itu, katanya, talian UPUinfoLINE juga akan diperluaskan kepada perkhidmatan talian Celcom.

Mei lepas, urusan kemasukan pelajar ke IPTA menjadi kelam-kabut berikutan banyak masalah yang timbul apabila sistem UPUinfoLINE yang baru diperkenalkan gagal berfungsi secara berkesan.

Keadaan itu menyebabkan kemasukan pelajar ke IPTA dilewatkan kira-kira dua minggu

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4Lpr2sxRN© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan